Dr... pernah bersama-sama di sini dahulu |
Bukan
sehari aku mengenalinya – sejak lebih suku abad lalu. Selain bersama-sama
sewaktu mengambil ijazah pertama, dia rakan baikku sewaktu mengambil ijazah
kedua di luar negara.
Bagaimanapun sejak lebih setahun lalu dia
aku lihat telah berubah. Terlalu jauh berubah sejak sebulan dua ini. Dia Dr…
Puncanya, peristiwa Mac 2010. Dia menemui
aku kerana kesulitan wang dan tanpa berfikir panjang, RM5,000 diserahkan. Duit
tidak ada masalah kepadaku ketika itu, wang graduiti masih banyak berbaki.
“Belanja anak-anak belajar terlalu tinggi
kini. Gaji RM6,000 sebulan tidak mencukupi untuk dua orang anak yang masih belajar
di universiti tanpa pinjaman, dia bagai pasrah mengadu.
Siapa yang tidak kenal dia sewaktu di
universiti. Dia seorang orator hebat dan kerana itu dia dipilih sebagai ketua.
“Mari kita bersama-sama bangunkan keluarga
besar ini. Kita mempunyai matlamat yang satu – meningkat maju dalam kerjaya,”
katanya dalam suara seorang lelaki tulen.
Frasa `keluarga besar’ itu kemudiannya
turut aku ciplak dalam siri program motivasiku.
“Ah mengapa dia begini, kini?,” persoalan
itu sering bermain-main di kepalaku. Pengalaman lalu turut menjadi input –
manusia baik boleh sahaja berubah sebaliknya sekiranya tidak dapat berhadapan
dengan kenyataan.
Bagaimanapun serba sedikit maklumat dapat
juga aku kumpul. Antara cerita utamanya, dia percaya beberapa e-mel dari luar
negara yang mengatakan ada wang berjuta perlu dipindahkan ke sini. Dia mungkin
termakan cerita juta-juta pound sterling itu.
“Tapi dia bergelar Dr. – doktor falsafah. Bukankah
seorang yang bergelar Dr. itu juga perlu berfikiran bertaraf Dr. juga?,” aku
mencongak.
Bagaimanapun pengalaman lalu juga sering
memberi indikator – mereka ini cuma Dr. di kertas; bukannya di alam nyata.
Setidak-tidaknya hampir 10 rakan bergelar
Dr. yang rapat denganku mengesahkan tesisku.
Yang seorang itu tidak berani bercakap
mengenai bidangnya sewaktu diminta mengendalikan satu kursus mudah, walhal
baharu sahaja tersengih gagah menerima skrol PhDnya.
Seorang lagi tidak dapat menyelesaikan
masalah keluarganya setelah berkahwin dua dan sering mengadu kesempitan wang
walaupun berjawatan timbalan pengarah.
Lebih hodoh, seorang lagi yang bergelar
yang sama dan mengajar di universiti pula tidak kenal lagi jantina. Jadi, PhD
itu cuma di kertas?
Lalu peristiwa semalam cukup menjengkelkan.
Setelah tiga hari panggilan telefon tidak dijawab walaupun berstatus aktif, sms
mudah ini terpaksa dihantar.
“Berdiam diri dengan tidak menjawab
telefon, tidak akan menyelesaikan masalah. Hadapilah kenyataan.”
Sehingga cerita ini ditulis, nada dering
telefonnya masih berbunyi tapi suara di sebelah sana masih belum kedengaran.