Tuk Cai 1907-1997
Pada petang 3 Ogos 1997 kembalilah seorang ulamak tersohor dari daerah ini menemui maha pencipta-Nya . Gelaran atau panggilan anak
cucunya kepada ulamak tersebut ialah Tuk Cai. Beliau kembali ke rahmatullah
pada usia 90 tahun menemui maha pencipta-Nya buat selama-lamanya. Dia panggil
saya, Mohamad Ali Hanafiah atau Mohamad Ali sahaja. Mengapa, kurang pasti, saya
tidak pernah bertanya ayah ketika dia masih hidup.
Di sini
saya turunkan beberapa kisah luar biasa yang dialami oleh mereka yang hidup dan
hampir dengan Allahyarham semasa hayatnya daripada Zainab, adik sebapa dan
Azim, menantu pangkat cucu kepada Allahyarham.
Pertama
Pada ketika tengah malam, jenazah terbujur kaku di
tengah rumah. Hanya empat wanita mengadap dan membaca ayat-ayat suci al-Quran
pada dinihari tersebut. Emak saya, Zainab bersama tiga anak perempuannya
sahaja, Habsah, Saodah dan Fatimah berada di sisi jenazahnya. Mak saya, Zainab
binti Dahan, cuma seayah dengan ulamak yang terbujur kaku. Malam itu, emak
bersama tiga anak perempuan tok guru mengaji Quran di sisi mayat. Tengah malam
yang sunyi, ramai yang lain tertidur.
Dalam
keheningan malam tersebut, emak menyedari bau harum menusuk ke lubang
hidungnya, tanpa menyuarakannya kepada sesiapa pun. Bau harum wangi itu ditiup
angin yang sangat lembut dari arah mayat itu - seharum bunga kasturi yang
sungguh menyegarkan hidung yang menyedutnya.
Kedua
Pada pagi keesokannya mayat masih terbujur di
tengah rumah diziarahi oleh sanak saudara, kawan dan anak muridnya. Pada satu
ketika, ziarah seorang tua buta, naik ke atas rumah dan terus ke tengah rumah,
lalu memeluk mayat sambil meratapi dan menangis. Anak-anak Tuk Cai hairan
kerana tidak mengenali hamba Allah tersebut.
Apabila selesai
berbuat demikian, orang tua itu turun dan meninggalkan mayat. Kata Azim,
anak-anak menoleh dan pandang ke bawah tetapi gagal mengesan dan tidak
kelihatan batang tubuh orang tua tersebut.
Apabila ditanya
kepada orang ramai di halaman rumah, tidak ada seorang pun yang menyedarinya.
Orang tua buta itu hilang ghaib begitu sahaja. Soalan kepada mereka yang
menyedari kehadirannya ialah siapakah orang tua buta itu? Malaikat, wali Allah
atau manusia biasa.
Ketiga
Petang selepas solat Asar, solat jenazah dilakukan.
Solat jenazah dilakukan sebanyak empat kali kerana memenuhi ruang dewan
sembahyang madrasah tersebut. Solat jenazah pertama, diimamkan oleh Mufti
Kerajaan Negeri Sembilan, Dato Sheikh Murtadha Sheik Ahmad. Setelah
disembahyangkan, jenazah dibawa keluar, menurut Azim, air hujan turun
renyai-renyai tetapi seolah-olah hujan lalu sahaja dan tidak membasahi jenazah.
Keempat
Petang, selepas jenazah disembahyangkan, jenazah
diusung keluar ke kereta jenazah. Pada mereka yang sedar perbezaan dengan
sebelumnya menampakkan pokok-pokok tunduk. Kata Azim, pokok-pokok rambutan yang
rimbun daunnya di hadapan madrasah itu, kelihatan lebih melentur ke tanah
daripada hari-hari sebelumnya.
Dahan-dahan
pokok rambutan di hadapan madrasah tersebut, seolah-olah kelihatan tunduk
menghormati jenazah Allahyarham. Perbezaan ini dikisahkan oleh Azim, menantu
cucu Tuk Cai.
Kelima
Petang. Kawasan Tanah Perkuburan Kampung Bongek
dibanjiri manusia bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuk
Cai. Satu keluarbiasaan yang dirasai ramai ialah ketika jenazah diturunkan ke
dalam kubur dan disemadikan di liang lahat, cuaca yang panas, tiba-tiba menjadi
redup. Cuaca meratapi kepergian Tuk Cai penuh redha menemui-Nya yang maha
pengampun, pengasih dan penyayang. Alam bersedih pemergian seorang ulamak tersohor
di luak ini. Dari tanah dia datang dan ke tanah dia kembali. Pemergian dan
pengkebumikan jenazah Allahyarham satu kehilangan yang amat besar bagi umat
Mohamad S.A.W di luak Rembau dan negeri ini.
Persoalan
yang timbul dalam minda kita semua ialah, harumkah jenazah kita, tundukkah
tumbuhan, larikah hujan, redupkah cuaca matahari dan beribukah jemaah yang
menyembahyangi jenazah kita?Tentu tidak ada jawapan pada kita semua. Jawapannya
hanya ada pada-Nya.
Mengapa?
Tuk Cai menerima keluarbiasaan itu dari Allah S.W.T. Apakah bezanya Tuk Cai
dengan kita?. Kelebihan dan keistimewaan Tuk Cai di sisi Allah S.W.T. boleh dilihat dengan mata, didengar dengan
telinga, diucap oleh lidah-lidah yang mengenali Tuk Cai, sebagai saudara,
keluarga, sahabat, murid, kawan dan lawannya.
Namun,
mungkinkah Mohamad Ali Hanafiah juga akan mendapat keluarbiasaan seperti
Allahyarham. Tentu tidak mustahil kalau sudah menjadi ketentuan-Nya.
Wallahualam bissawab.
oleh: Mohamad
Abd Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan