Mungkin motosikal berkuasa tinggi seperti ini pernah dimiliki Arba |
Arba.
Cuma aku satu-satunya manusia yang memanggilnya dengan nama itu. Itu bukan nama
sebenarnya tapi nama penanya. Dia sendiri yang pilih nama itu sewaktu asyik
belajar menulis denganku kira-kira 31 tahun lalu.
Waktu itu dia budak pejabat di Majlis
Perpaduan Malaysia dan tinggal serumah denganku di Taman Clonlee, Tampin.
Arba budak baik. Dia yang membasuh
pakaianku selepas tujuh haribulan setiap bulan. Mengapa tujuh haribulan? Itulah
tempoh dia berduit. Gajinya cukup satu minggu sahaja. Mungkin sebahagian besar
duit gajinya, habis untuk membeli rokok. Tanda kuatnya Arba merokok, lihat
sahaja giginya yang berkarat tebal.
Sebelum tujuh haribulan, jangan suruh Arba
basuh baju. Tentu dia tidak mahu. Kalau selepas tujuh haribulan dan
lebih-lebihnya selepas 20 haribulan, jangankan pakaian kotor, pakaian yang
masih bersih juga dibasuhnya. Janji, ada upah.
Lama juga aku tidak berjumpa Arba
sehinggalah kira-kira 15 tahun kemudian. Bagaimanapun cerita Arba, terbau juga
olehku.
Menurut empunya cerita, Arba sudah berhenti
kerja. Arba sudah kaya. Arba sudah pandai pakai motosikal berkuasa tinggi dan Arba
sudah pandai `simpan duit’ di Jakarta dan Medan.
Puncanya, kawannya yang juga kawanku, bukan
sahaja jadi Ahli Dewan Undangan Negeri tapi Exco Kanan. Arba turut menerima
tempiasnya. Dia dilantik Setiausaha Pemuda Bahagian.
Waktu itulah aku terlihat Arba dari jauh
sewaktu lalu berhampiran Jabatan Pelajaran Negeri sebaik-baik keluar dari pintu
belakang Wisma Negeri.
Aku bagaikan mahu berteriak girang kerana
bertemu rakan lama. Aku jangkakan Arba berlari menyonsong ke arahku sambil
berteriak “Abang!”, panggilan manjanya terhadapku.
Jangkaanku silap. Sebaliknya Arba berlari ke
arah kereta Mitsubishi Pajero, milik Sang Exco lalu duduk di tempat pemandu.
Aku segera mendekatinya dan kami hanya sempat berbual antara `orang dalam
kereta’ dengan `orang luar kereta.’
Empat lima tahun kemudian, sewaktu mantan
Sang Exco mengundangku ke majlis cukur jambul cucunya, aku bertemu Arba
kembali.
Ketika itu aku lihat Arba sedang sibuk
memasang khemah.
“Terpaksalah buat kerja ini bang. Nak
besarkan anak-anak.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan