Memang kelihatan hebat apabila dapat berdampingan dengan isteri PM, tapi... |
Ada
logo Jabatan Kebajikan Masyarakatkah di dahiku? Aku semakin tertanya-tanya
mengenai perkara ini khususnya sejak akhir-akhir ini. Atau adakah muka aku
memang muka `sueh’! Masya-Allah, jangan sesekali kau sebut perkataan itu kepada
dirimu. Allah lengkap mencipta segala-galanya. Jadi? Jadi apa? Ini
persoalannya. Persoalan berasaskan peristiwa yang berlaku dalam satu hari iaitu
hari ini.
Sedang sibuk menguruskan Perjumpaan Hari
Raya dan Majlis Tahlil, X Staf IPG Kampus Raja Melewar petang tadi, aku
menerima mesej yang lebih kurang begini bunyinya di telefon bimbit.
“Jawatankuasa … kurang setuju dengan kos
buku program berdasarkan perjanjian. Lagipun tiada promosi dilakukan dan bajet
tidak mencukupi. Jadi saya KIV dahulu bayaran.”
“Perjanjian apa?,” aku bertanya. Perjanjian
telah dilanggar sebelum termetri. Mengikut janji awal, memang kami bersetuju
menguruskan penerbitan buku itu melalui kutipan iklan tetapi pada masa yang
sama kehadiran logo syarikat kami sebagai Rakan Media tidak dibenarkan. Cari
dalam dunia ini, syarikat yang sanggup bersengkang mata mencari duit untuk
orang secara percuma? Ada! Ya, memang ada. Ia bukan syarikat tapi jabatan.
Jabatan apa? Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menariknya (memang aku suka mengalami kisah
thriler begini) semua perkara ini ditimbulkan setelah hajat (kerja)
masing-masing selesai. Dalam bahasa mudahnya, dah lepas tengkuk.
Aku tidak mahu cerita panjang kisah ini
khususnya cerita-cerita di awal perbincangan. Pada masa itu, kami memang
diperlukan walaupun seluruh tenaga staf terpaksa digerakkan untuk mengejar dateline. Bukan mahu riak, cari syarikat
di Seremban yang mampu mencetak buku program 16 halaman warna yang mana bahan
akhirnya diberikan sekitar jam 9.00 pagi dan buku dapat disiapkan kira-kira jam
5.00 petang (buku diperlukan pada sebelah malamnya).
Berbalik kepada kisah perjumpaan Hari Raya
petang tadi, ceritanya hampir serupa. Aku bukannya ahli jawatankuasa malah
tidak pernahpun mengisi borang ahli. Sejak minggu lalu, aku terpanggil membantu
Haji Yunus Ibrahim semata-mata atas rasa simpati. Dia berseorangan untuk
menguruskan majlis itu lalu aku membantu menghubungi rakan yang ada nombornya
di telefon bimbit, mengurus tempat pertemuan (jabatan tempat aku bertugas
sebelum bersara) dan menempah makanan.
Hanya petang kelmarin, angka terakhir dapat
diberikan kepada katerer setelah menggabungkan nama yang mengesahkan penyertaan
yang ada pada diriku, Haji Yunus dan Haji Kadir.
Jumlahnya cuma 47 orang lalu aku menjadikannya
60 orang untuk mengelakkan ada yang `tidak makan.’
Petang tadi, sambil menjadi pengacara, aku
sempat mengira. Jumlah yang hadir melepasi angka 60 dan tentunya sesetengah
juadah yang terhidang tidak mencukupi khususnya nasi himpit dan lemang. Soto berlebihan.
Maka adalah yang bertanya, “Berapa banyak
yang kau tempah?” Aku memberi angka. “Mengapa sedikit sangat?”
Mahu sahaja aku menyuruh mereka bertanya
terus kepada beberapa rakan yang hadir. “Untuk membuat keputusan sama ada
membawa isteri atau suamipun, sehingga hendak bertolak ke tempat jamuanpun
tidak tahu.”
“Untuk mengesahkan hadir atau tidak, juga
memerlukan masa setahun agaknya?”
Ada pula yang menelefon beberapa minit
sebelum majlis bermula. “Aku kena wakil bos dalam mesyuaratlah,” sedangkan
petang kelmarinnya memberitahu akan hadir dan meminta pula supaya membungkus
makanannya kerana masih berpuasa enam.
Pada sebelah pagi pula, aku diminta hadir
untuk membuat rakaman video Konsert Kasih
Dititip, Budi Bersemi yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri. Sehingga
pagi semalam `tauke wayang’ masih tidak dapat mengesahkan term and condition yang diberikan tetapi sewaktu terbaca buku
program pagi tadi, memang aku `tauke videonya.’
Kalau
ikut cara berniaga sebenar, aku boleh melupakan sahaja acara itu. Mengapa aku
perlu bersusah payah mengerah lima staf syarikat untuk melaksanakan tugas yang
belum pasti bayarannya?
“Tolong! Tolong den yo?,” begitulah dialog
yang kedengaran selalunya yang lebih berpihak kepada mereka. Kata-kata lembut
dan berbunga indah hanya lunak `sebelum terlepas tengkuknya.’
Maka bertanyalah aku kembali. Aku ini apa? Aku
ini siapa? Confirm! Memang di dahi aku
ada logo Jabatan Kebajikan Masyarakat? Kena mandi bunga?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan