I
Dia
kulihat agak cengkung dan muram ketika aku temui sewaktu `menjolok wang’ di
Plaza Ampangan.
“Apa khabar?,” tanyaku seperti biasa.
“Baik, Haji,” jawabnya agak tidak bermaya.
Sewaktu diajak berbual panjang, dia semacam
enggan lalu kami terus berlalu pergi.
Tidak siapa tidak kenal dia sebelum ini.
Dia yang ceria. Dia yang kacak. Dia yang berpakaian segak dan dia yang pemurah
ketika diminta untuk menderma.
Bagaimanapun sejak sepenggal pilihan raya
dulu, dia tidak seperti dia yang biasa lagi. Dua penggal lalu `pohon
berteduhnya’ tumbang dan hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi
bulan, kewangannya bagai `tumbang’ juga.
Lebih menyedihkan, rumahtangganya turut
tumbang walaupun ia dibina berasaskan kasih suci (itu ceritanya sewaktu kami
berada di Medan dahulu).
Dia hanya seorang pembantu makmal sekolah
sewaktu bertemu isteri, seorang guru. Minat menari dan mewakili pertubuhan
sukarela yang sama membolehkan kasih terus bersemi.
Bukan kecil halangan cinta mereka. Apatah
lagi, bapa mentuanya salah seorang kakitangan penting di Jabatan Pelajaran
Negeri.
Bagaimanapun mengikut ceritanya, kebencian
mentua bertukar kasih sayang apabila dia menjadi orang berada.
“Menantu abah!,” begitulah panggilan bapa
mentuanya sewaktu dihadiahkan kereta.
Itu dulu. Kini setelah jadi orang biasa
kembali, bukan sahaja bapa mentua tidak datang ke majlis perkahwinan cucunya,
malah isterinya juga tidak bersama.
II
Beberapa
kali dia berpusing dengan motosikalnya untuk mengetahui sama ada pinangannya diterima
atau sebaliknya. Dia telah mewakilkan rakannya yang disifatkan sebagai abang
sendiri untuk meminang anak peniaga kedai roti canai sebagai pengganti isteri
yang meninggalkannya.
Calon isterinya adalah rakan sepejabatnya.
Tidak tahulah duduk perkara – sama ada isteri meninggalkannya kerana ada
hubungan teman sepejabat atau teman sepejabat dijadi pengganti setelah
ketiadaannya. Aku tidak mahu usul periksa.
Apa yang pasti, wakil peminangan tidak
diberi layanan sewajarnya lalu sesi yang sepatutnya selesai segera berpanjangan
hingga ke tengah malam.
“Huh! Si… tu,” juih tuan rumah.
Bagaimanapun, kata orang jodoh itu ada,
maka berkahwinlah kedua-duanya tanpa `restu’ bakal bapa mentua. Yang memahami
hubungan dan tahu bahawa jodoh itu di tangan Allah, bakal ibu mentua.
Peliknya, pada satu majlis kenduri doa
selamat, sang peminang tidak ditegur oleh mentua rakannya. Dia bagai musuh
nombor wahid.
Itu dulu. Kini, setelah menantu ada rumah
nilai berjuta, bagai terdengar dia berkata, ”Dia tu menantu saya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan