"Well Done! Well Done! Well Done!," itu kata Mohamad Hasan kepadaku kira-kira enam tahun lalu. Malam tadi... Foto: Leong Weng Onn |
Selain `sakit tidak bernama’ lebih satu
setengah tahun lalu, masa lebih kuberikan kepada urusan-urusan the day after selain sibuk mengurus
bisnes yang tertinggal, mulai 1 Ramadan lalu.
Ternyata Mohamad yang kukenal sejak kempen
Pilihanraya Umum 1999 dan lebih akrab sejak hari pertama menduduki kerusi
nombor satu Negeri Sembilan Darul Khusus, telah banyak jauh berubah.
Sebelum naik ke pentas, Mohamad sempat
bersalam dengan Mohd Ali Hasbullah, pemilik Ali One Travel & Tours yang
duduk di meja sebelahku.
“Bila dah salam seorang, kena salam
semuanya,” katanya bercanda sambil menjabat tanganku dan beberapa tetamu yang
lain sambil meluru laju ke pentas.
“Saya tidak mahu pertubuhan sukarela
bersifat eksklusif – hanya melayan ahli sedangkan ramai di sekeliling mereka
memerlukan bantuan. Ini termasuk Pertubuhan Khairat Kematian,” tegasnya yang
disambut dengan tepukan gemuruh khususnya dari arah belakang Dewan Sekolah
Menengah Pendeta Za’ba.
Mohamad kulihat bersungguh-sungguh
menjelaskan gagasan untuk membasmi kemiskinan, tajuk yang memang kugemari sejak
muda dahulu.
“Kita mesti perjuangkan nasib proletariat.
Kita jangan jadi borjouis,” kata-kata Allahyarham Malik Mohamad, rakan
sebilikku sewaktu di Felda Jengka 4, lebih 30 tahun lalu bagai bertempik di
telingaku.
Malik, Setiausaha Partai Sosialis Rakyat
Malaya (PSRM) tapi memakai kasut Bally dan
baju Arrow.
“Saya sentiasa berusaha untuk menjadikan
negeri beradat ini negeri yang akan menampung limpahan kemewahan Lembah Kelang.
“Kadang-kadang saya berasa hairan juga
apabila dituduh mencari kepentingan sebagai pemimpin negeri. Apa kesalahan yang
saya lakukan?
“Kalau mencari kepentingan diri, jawatan
Pengerusi Mercedes Benz Asia Pasifik sudah lama menanti. Selain ganjaran yang
lebih tinggi, saya tidak perlu pening kepala untuk menjawab tuduhan itu, ini,”
katanya lagi menjelaskan kedudukan.
“Saya sedia menerima tawaran Tun Mahathir
dulu semata-mata untuk menyumbang sesuatu kepada negeri kelahiran saya.
“Lebih utama, saya ingin membela nasib
rakyat negeri ini yang sebahagiannya masih berada pada paras yang tidak
sepatutnya.
“Itulah sebabnya saya perkenalkan program
Jaringan Sosial yang kini sudah dijadikan model di peringkat kebangsaan,” katanya
penuh semangat bagai terlupa dia ada satu majlis lagi jam 10.00 malam sedangkan
jam di dewan sekolah sudah menunjukkan angka 10.35 malam.
Aku yang turut berada di meja hadapan dan
paling dekat dengan laluan naik-turun ke pentas, bagai dapat menyelam jelas nubarinya.
Tiba-tiba tertancap cetusan, “Sayang! Ramai pemimpin baik ranap baiknya, bukan
kerana kesalahannya tapi kerana orang rapat di sekelilingnya.”
Sewaktu turun dari pentas, aku orang
pertama menyambutnya lalu menjabat erat tangannya.
“Well Done Dato’!,” aku memulangkan kembali
kata yang diucapkan kepadaku kira-kira enam tahun lalu sebelum beredar
meninggalkan majlis Malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Aku pengacara
majlis dan penerbit video klip malam berkenaan.
Bagaimanapun aku pasti Mohamad tidak mendengar kata-kataku. Kata-kata itu berada di kalbu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan