Selasa, 6 September 2011

Sukar Juga Memiliki Nama Sama


Bersama Mohd Zulkafli Maulud sewaktu mengendalikan latihan di Kundasang.

Sewaktu di sekolah menengah dahulu, ada tiga Zul dalam satu kelas lalu kami dipanggil Zulkifliyak, Zulkifliyok dan Zulkifliyuk oleh seorang cikgu. Tidak tahulah apa relevannya.
     Sewaktu bertugas di IPG Kampus Raja Melewar pula, begitu juga. Ada tiga Zul pada satu-satu masa, malah apabila salah seorang Zul bersara, masuk pula seorang Zul lagi.
     Bagi kalangan pensyarah, tidak sukar mereka mengenali kami. Aku sering dirujuk Haji Zul, seorang lagi Zul Panjang dan seorang lagi Zul Deris.
     Mungkin kalau timbulpun kekeliruan apabila ada rakan pensyarah dari luar yang datang bertanyakan di mana pejabat kami. Kebetulan, kami mempunyai latar belakang hampir sama – sama nama universiti pertama, sama universiti kedua (dengan Zul Panjang), sama jumlah anak (seorang), sama jantina anak (perempuan) dan sama negeri asal (Negeri Sembilan).
     Sebut jumlah anak, sering kedengaran soksek-soksek di kalangan pelajar mengenai kemampuan kelelakian kami.
     “Nama Zul bermakna `tak power’. Buktinya kesemua pensyarah kita yang bernama Zul cuma memiliki satu anak. Tak powerlah tu! Kah! Kah! Kah!,” kedengaran mereka ketawa berdekah-dekah sesama sendiri.
     Kadang-kadang aku terdengar juga cerita mitos itu. Bagaimanapun, aku tidak mengambil hati dan menganggapnya sekadar gurauan.
     Bagaimanapun Zul Panjang bagaikan tidak dapat menerima hakikat itu. Pernah orang bercerita, dia mencabar seorang pelajar wanita yang sedang asyik mempertikaikan kemampuan kami.
     “Geng! Tak Power? Masuk bilik sekarang. Mari kita uji,” katanya menyinga. Pelajar wanita berkenaan dan rakan-rakan yang berada bersama bagaikan tersentak dengan reaksi itu.
     Bagi aku pula, pertanyaan emak sewaktu aku balik kampung menimbulkan kekeliruan juga pada awalnya.
     “Mak nak tanya ni?”
     “Apa halnya mak?”
     “Emak dengar kau nak kahwin lagi.”
     “Setakat ni belum lagi. Siapa cerita?”
     “Budak-budak maktab yang datang berlatih di SMAP dan Sekolah Kebangsaan Labu Ulu yang datang makan di sini,” emak yang membuka gerai makan, memberitahu.
     Aku mula membuat congakan. Siapa? Zul Panjang atau Zul Deris. Mungkin Zul Panjang. Aku pernah juga dengar dia menyimpan isteri kedua secara sembunyi. Zul Deris? Zul Deris ada affair dengan seorang pelajar, begitu cerita orang.
     Jawapan itu tidak sukar dicari. Cukup dengan bertanya salah seorang daripadanya.
     Oleh kerana Zul Panjang lebih rapat denganku, aku segera melontar soalan cepu emas sewaktu keluar minum pagi itu.
     “Geng! Aku dengar kau pasang dua dalam diam-diam?”
     “Ini bukan cerita baru bagi aku. Dah empat tahun aku dengar cerita ini. Berhentikanlah!,” katanya selamba.
     “Kah! Kah! Kah!,” kami ketawa.

Tiada ulasan: