Rabu, 26 Oktober 2011

Ini Bukan Caranya


Emak tidak sabar untuk menukar pakaian hospitalnya

Ini cuma masalah kecil pengurusan. Letak sahaja papan tanda yang betul.

Setelah berjemaah subuh dan bersarapan ringkas, aku segera ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk memenuhi tuntutan adik-adik; menjaga emak di Wad 2C dan kalau boleh mempengaruhi doktor supaya emak dibenarkan keluar.
     “Kami dah puas memujuk tapi doktor suruh juga buat macam-macam pemeriksaan. Semalam kali pertama emak meraung dicucuk. Kesian,” adu Aros, adik keduaku.

     Misi pertama untuk menjaga emak bukan masalah kepadaku. Aku selesa menemui emak di awal pagi, terus ke hospital setelah menghantar Siti Adibah ke sekolah. Misi kedua memerlukan pertimbangan bijaksana – silap keputusan membazirkan waktu tiga minggu doktor yang mencari punca sebenar sakit emak.
     Emak kulihat tenang pagi itu. Wajah cerianya sudah mula berbunga seperti biasa. Aku cuba memenuhi permintaan emak yang aku dapat baca melalui kata-kata dan perlambangan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
     “Kesian Aci tu tidak dapat Deepavali di rumah tapi anak lelakinya setiap hari menjaganya. Emak suka tengok anak lelakinya memeluk emaknya untuk mengalihkannya di katil,” kata emak.
     Aku faham maksud perlambangan itu. Oleh kerana itu setiap kali datang ke hospital, aku sesatunya anak lelaki emak akan memeluknya untuk mengubah kedudukan di katil. 
    Bagaimanapun perlambangan supaya setiap siang hari aku menemankannya, sehingga hari akhir tidak pernah tertunai.   Andainya emak dipanggil Ilahi, ini akan membolehkan aku kesal sepanjang hayat.
     Untuk memenuhi misi kedua, aku cuba mendapatkan sedikit latar belakang rekod pemeriksaan doktor daripada beberapa jururawat manis di situ. Mereka melayanku dengan baik.
     Dengan itu mudah sahaja aku dapat mempengaruhi Dr. Kho, doktor pakar yang merawat emak.
     “Kalau begitu keputusannya, tolong tandatangan surat tanggungan risiko ini,” katanya.
     Aku terus menurunkan tandatangan dan setelah selesai beberapa urusan pentadbiran, aku segera membawa beg pakaian emak ke kereta.
     “Allah!” Aku terkejut melihat tayar kereta hadapanku pancit sedangkan ia tidak begitu sewaktu di parkir pagi tadi.
     Untuk mempercepatkan penyelesaian masalah, aku segera menelefon adik iparku, Junaidi supaya dia membawa sahaja tayar yang pancit itu ke kedai tanpa perlu menggunakan tayar simpanan di belakang.
     Junaidi yang mempunyai ramai kawan beruntung. Mereka turut membantu. Salah seorang kenalannya adalah kakitangan hospital sendiri.
     “Abang! Lain kali jangan letak kereta di sini. Budak-budak syarikat kawalan lalu-lintas di sini memang macam ini. Dia orang akan pancitkan kereta yang diletakkan di sini,” ceritanya.
     “Tapi di sini tiada tanda tidak dibenarkan meletakkan kereta,” kataku.
     “Bukankah ada di sini tandanya,” katanya pula.
     “Itu papan tanda AWAS, bukan TIDAK BOLEH PARKIR.”
     Kakitangan hospital berusia sekitar 30-an itu cuma mampu tersenyum hambar.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Ahmad Dhani Punya Cerita


Siangnya Ahmad Dhani membanting tulang, malamnya membanting pinggul

Menyedari buruh binaan keturunan Indonesia yang sedang menyiapkan kerja-kerja ubahsuai rumah Shariff Ahmad gemarkan lagu-lagu dangdut, aku sengaja memasang lagu itu di keretaku sewaktu singgah di situ.
     Lagu-lagu itu pula sengaja aku pasang kuat agar mereka bertandak sambil memasang jubin atau memasang lampu.
     Antara mereka, Ahmad Dhani yang bertubuh kecil terlalu gilakan irama yang dirintis Rhoma Irama dulu.
     Oleh kerana lagu-lagu Inul Dharatista turut menjadi koleksi di keretaku, pemasangan lagu-lagu itu benar-benar menyuntik semangat muda Ahmad Dhani.
     “Pakcik, pasang lagi Goyang Inul sama itu lagu Dikocok-kocok,” pintanya sewaktu aku datang.
     Shariff yang suka bersenda dengan mereka, apa lagi – terus menggoyang-goyangkan pinggulnya bagai Inul.
     Aku yang ingin turut bercanda turut menggoyang-goyangkan pinggulku mengikuti irama dan liriknya `Aku tak mahu cintaku dikocok-kocok, Ah!’
     Apa lagi Ahmad Dhani terus membuat penjurian langsung.
     “Pakcik ini lebih hebat dangdutnya,” kata Ahmad Dhani merujukku.
     Shariff yang bagai cemburu dengan pujian itu terus menggoyang pinggulnya lebih `kocok.’
     Melalui Ahmad Dhani aku tahu kocok itu bermaksud goyang kuat setempat. Ia agak berbeza sedikit dengan goyang gerudi si Inul, ratu dangdut Indonesia itu.
     Setelah dua hari mengenal Ahmad Dhani, dia sudah berani bertindak lebih jauh.
     “Pakcik, ikut saya malam nanti,” katanya.
     “Ke mana?,” tanyaku.
     “Di Bandar Baru Nilai. Di sana tempat dangdutnya ramai cewek yang manis-manis.”
     “Ada tidak yang saiznya macam saya,” aku sekadar bergurau.
     “Semuanya ada pakcik. Kalau ikut saya segala-galanya beres. Saya ada petuanya,” kata Ahmad Dhani lebih bersemangat.
     “Apa petuanya?”
     “Ikut saja,” katanya.
     Menyesal aku melayan Ahmad Dhani dengan berlakon sebagai lelaki gila dangdut kerana lakonan itu telah menutup rasa hormatnya kepadaku sewaktu mula berkenalan tiga hari yang lalu.

Apabila Zafar Rindukan Rubinanya



Oleh kerana tidur awal malam tadi, pada kira-kira jam 3.00 pagi aku sudah terbangun dalam keadaan tubuh yang segar. Setelah menunaikan fardhu yang perlu diselesaikan, aku terpaksa mencari isi perut lalu Restoran Syed Maju dituju.

     Ketika meneguk teh tarik halia, budak yang menjaga kaunter terus bersuara, “kawan abang ada di sana.”
     Kawan yang dimaksudkan ialah Zafar, guru dari Rawalpindi yang pernah diceritakan sebelum ini. Aku segera menuju mejanya yang terletak jauh di sudut restoran dan suram pula.
     Sebaik-baik aku tiba, Zafar menghentikan perbualan telefonnya.
     “Tidak apa. Teruskan bercakap,” kataku.
     “Sudah cakap panjang,” kata Zafar dalam wajah muram; tidak seperti biasanya.
     “Cakap dengan siapa?,” tanyaku bersahaja.
     “Rubi.”
     “Girlfriend?”
     “Ya. Bang.”
     “Nama orang Pakistanpun sudah macam nama orang putih?.”
     “Nama penuhnya Rubina. Saya panggil Rubi sahaja,” jawab Zafar, masih dalam suasana muram.
     “Dia kerja apa?,”
     “Cikgu bang tapi dia ada MSc.”
     “Berapa umurnya.”
     “27.”
     “Berapa umur Zafar sekarang?.”
     “33. Sudah tua bang.”
     Melalui perbualan itu, Zafar tidak menyembunyikan apa-apa lagi kepadaku. Persahabatan yang terjalin sejak beberapa bulan ini meningkatkan rasa persaudaraan Islam yang tidak mengenal benua itu.
     Zafar terus mengaku bahawa namaku juga sering disebut dalam perbualan dengan Rubina.
     “Saya selalu cerita, abang sedia menolong saya. Saya kata, abang kawan yang saya temui dalam masjid,” ceritanya terus-terang.
     “Kadang-kadang saya pesimis bang,” tiba-tiba Zafar bersuara bagai tidak dapat menyembunyikan lagi gelisahnya.
     “Saya datang ke Malaysia dengan satu hasrat – hijrah untuk mengubah kehidupan. Bukan saya tidak bersyukur dengan gaji RM45 sehari di sini tapi sampai bila saya boleh begini?
     “Kalau saya kerja bermati-matianpun, inilah gaji saya. Saya buat restoran ini macam restoran saya. Saya tidak mahu cerita panjang tapi saya telah selamatkan antara RM300 hingga RM500 sehari.”
     “Apa maksud Zafar?,”aku mula kehairanan.
     “Bukankah dahulu saya sudah cerita. Sebahagian pelanggan terutama budak-budak muda selalu tidak bayar apa yang sudah dimakan.”
     “Tapi… tidak pula saya jangka angkanya begitu besar.”
     “Itulah keadaan sebenarnya.”
     Berbalik kepada cerita Rubina, Zafar ternyata rindukannya. Janji telah dipadu bahawa Rubina akan dibawa ke Malaysia.
     “Saya telah membina tapaknya. Insya-Allah, saya akan memulakannya tidak lama lagi.”
     Melalui perbualan sebelum ini, serba sedikit aku tahu halatuju Zafar dan aku tahu juga Zafar memerlukan kerjasama aku.
     Zafar sudah lama menyatakan hasrat untuk berniaga di kawasan sekitar Jalan Masjid India dan barangan seperti pakaian, tudung dan pelbagai aksesori wanita menjadi pilihannya.
     “Saya tetap akan membawa Rubi ke sini,” dia bagai berjanji kepada dirinya.
     Ketika itu aku bagai melihat Kapten Veer Pratap Singh (Shahrukh Khan) memegang erat tangan Zaara Hayaat Khan (Preety Zinta) sebaik-baik dibebaskan dari penjara dalam filem Veer Zaara. 

Jumaat, 21 Oktober 2011

Apabila Pak Udin Dapat Juga Memasukkan `Jarumnya’


Dari kiri: Ali, jurufoto sambar jadi, Pak Udin dan Shariff sementara
menunggu keputusan.
"Ayuh! Ayuh! Bersatulah! Bersatulah dengan tali Allah." (lihat selipar kayu Pak Udin)

SEWAKTU Shariff Ahmad memanjangkan mesej Pak Udin bahawa dia layak ke pusingan akhir Pertandingan Akhir Karaoke Karnival Ampangan sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, aku tersentak seketika.
     “Pak Udin berkaraoke?,” aku mula sangsi dengan pesanan ringkas itu. Apa yang aku ketahui, Pak Udin (pekerja binaan Indonesia) yang sedang menguruskan kerja-kerja ubahsuai rumah Shariff warak orangnya.
     “Takkan Pak Udin berkaraoke?,” getus hatiku. Bagaimanapun kekeliruan segera terjawab apabila aku bertemu Shariff, beberapa jam selepas itu.
     Jadi, sebagai tanda sokongan, Shariff meminta aku dan Mohd Ali Hasbullah (Ali Petronas) datang ke tapak karnival berhampiran pejabat Tabung Haji di Ampangan pada sebelah malamnya.
     Sah! Pak Udin sudah bersedia dengan baju hitam ala Ringo Star dari kumpulan The Beatles tapi cuma berselipar.
     Pak Udin segera mengajak aku dan Ali pekena teh tarik dahulu sementara menunggu acara bermula.
     Sedang berbual-bual aku baharu teringat, “mengapa tidak dirakamkan peristiwa bersejarah itu dalam bentuk foto dan video.”
     Oleh kerana keretaku dibawa pulang oleh isteri yang turut berkunjung ke karnival itu selepas maghrib, Pak Udin mengusulkan aku membawa kereta Perodua Kancilnya. Memandangkan masa yang suntuk, aku memecut laju keretanya untuk mengambil kamera di rumah.
     Sebaik-baik sampai kembali ke tapak karnival, peserta kedua sedang membuat persembahan sedangkan Pak Udin adalah peserta keempat. Dengan tangkas aku mengaktifkan kamera video dan meminta salah seorang pekerja kontraknya mengambil gambar foto.
     Nah! Ternyata Pak Udin bergaya di pentas apatah lagi dia memilih lagu berirama dangdut.
     Riuh seketika tapak karnival apabila pengacara mengumumkan peserta keempat iaitu Ahmad Salleh (baharulah aku ketahui nama sebenarnya) akan membawakan lagu yang dipopularkan oleh Rhoma Irama, Bersatulah.
     Siap dengan mukadimah ayat Al-Quran, `Bersatulah Dengan Tali Allah. Bersatulah Dalam Konsep Satu Malaysia’, Pak Udin menyampaikan patah-patah lagu penuh bertenaga.
     Cuma hampir sampai ke korus, Pak Udin terlupa lirik. Dia terlalu yakin tanpa melihat skrin LCD.
     Bagaimanapun sewaktu duduk-duduk minum kembali bersama-sama kami, sementara menunggu keputusan, Pak Udin sempat membuat ramalan. “Budak yang membawa lagu Nike Ardila itu ada harapan menang,” katanya.
     Nah! Betul! Budak perempuan berusia sekitar 13 tahun itu menang tempat kedua manakala Pak Udin orang pertama dipanggil untuk menerima  hadiah saguhati (maknanya, dia mendapat kedudukan terakhir).
     Sewaktu duduk kembali di meja selepas menerima hadiah, kami bersalaman dengan Pak Udin, tanda ucap tahniah. Hampir 10 pekerjanya (Pak Udin kini adalah kontraktor) tetap ceria seperti biasa.
     Ali sempat berbisik kepadaku, “Pak Udin mungkin menang sekiranya berpakaian lebih kemas dan berkasut.”
     Aku menyanggah pendapatnya. “Dia kalah bukan kerana terlupa sedikit lirik dan cara penampilannya tapi kerana jurinya rockers.”
     Pak Udin kelihatan tersenyum, mungkin terdengar perbualan kami. Wajahnya tetap berseri, pancaran seorang yang warak.
     Aku tahu, dia puas. Kalah bukan persoalan. Kepuasannya terletak kepada tanggungjawabnya sebagai Muslim sejati. Dakwah perlu disampaikan, tidak kisahlah di masjid atau di tapak karnival.

Sukar Juga Memiliki Nama Sama II


Aku dan Zul Maulud antara yang `menghantar pulang' sahabat senama
Pekena mi goreng mamak dengan Salleh, bekas pelajarku lebih 20 tahun lalu.
DULU aku ada ceritakan mengenai kesukaran yang timbul apabila mempunyai nama yang sama. Ceritanya mengenai cerita kahwin (lihat ceritanya dalam kategori yang sama). Semalam, timbul pula cerita mati.
     Sewaktu bangun pada kira-kira jam 3.00 pagi, aku melihat pesanan ringkas yang masih belum dibuka di telefon bimbit. Aku segera mengaktifkan telefon dan terlihat pesanan Kak Mahaya Mohd Yassin, ”Salam. Dato’ Ustaz Mohd maklumkan Encik Zulkifli Idris (bekas MPRM) baru kembali ke rahmatullah.” Mesej dihantar pada jam 10.39 malam.
     Seperti biasa, aku membalas pesanan dengan ucapan terima kasih dan memanjangkan mesej itu kepada rakan-rakan yang lain. Begitulah budaya prihatin yang telah meresap kuat dalam diri warga IPG Kampus Raja Melewar walaupun kami sudah bersara.
     Paginya, aku menerima panggilan seorang lagi sahabat senama, Zulkafli Maulud. “Geng! Mari kita bersama-sama ziarah jenazah sahabat senama kita.” Aku terus bersetuju dan tempat pertemuan di kampus Raja Melewar sendiri kerana seorang lagi rakan, Ahmad Roslani Ninggal ingin turut sekereta.
     Setelah puas berpusing-pusing seketika di Taman Seri Pulai 3 untuk mencari rumah Allahyarham Zulkifli Idris, kami akhirnya menemuinya. Jenazahnya sedang dimandikan di surau yang hanya terletak di seberang jalan rumahnya.
     Ustaz Hamid Jaman, seorang lagi rakan sekerjaku dahulu turut berada di situ. Dia segera menegurku.” Tadi, ramai juga yang salah faham. Dia orang ingat Haji yang meninggal,” katanya bersahaja.
     Aku tidak faham maksud kata-kata setiausaha masjid kariahku. “Mengapa aku?.” Aku tinggal di Taman Pinggiran Golf sedangkan Allahyarham tinggal di Taman Seri Pulai 3?          
     Aku tidak ambil pot gurauan Ustaz Hamid itu. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini kematian bukan lagi sesuatu yang menakutkan. Aku datang dari-Mu dan kembali pada-Mu jua.
     Tidak cukup sekadar itu, bekas pelajarku Salleh Abu Hasan yang turut minum bersama setelah ziarah turut terpinga-pinga sewaktu mengadap mi goreng mamak.
     Sebagai bekas pelajar yang rapat denganku, dia ingin berkongsi peristiwa minum bersama dengan memaklumkan kepada rakan-rakan lain melalui telefon.
     “Encik Zul! Saya sengaja telefon kawan-kawan, biar dia orang cemburu saya dapat minum dengan Encik Zul,” kata bekas pelajar yang aku temui kali pertama lebih 20 tahun yang lalu itu. Salleh kini pegawai kanan di Kementerian Pelajaran.
     “Aku minum dengan Encik Zul,” aku terdengar Salleh menjawab bangga.
     “Kau kata Encik Zul sudah meninggal. Bagaimana pula kau kata, kau minum dengan dia?,” jawab suara di pihak sana. Aku lihat Salleh terkebil-kebil seketika.
     Usai majlis `reunion kecil’ tajaan Salleh, Zulkafli Maulud yang duduk di belakang keretaku pula yang terkebil-kebil sewaktu ditahan seorang rakan lamanya berhampiran pintu masuk kampus Raja Melewar. Dia Haji Shaarani, mantan Timbalan Pengarah Kampus Perlis yang datang berkempen untuk program majlis korban di Kampuchea.
     “Zul! Tadi baharu kami bercerita yang kau sudah meninggal,” katanya sambil menghulurkan beberapa brosur.
     Zulkafli Maulud hanya sempat tersenyum hambar.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Bukan Sukar Jadi Jutawan


AGAKNYA lebih lima tahun aku tidak menemui Peter, anak muda yang kukenali sejak kira-kira 20 tahun lalu di sebuah syarikat pisahan warna di Pudu.
     Peter cukup pendiam ketika itu dan hanya sesekali aku berinteraksi dengannya; itupun apabila berselisih.
     Sewaktu syarikat berkenaan membuka cawangan di Seremban, Peter ikut serta bersama-sama adik tauke berkenaan. Aku menyewa pejabat di sebelah pejabatnya di Kemayan Square dan mula mesra.
     Entah kenapa the angry young man ini cuma dapat bertahan beberapa bulan di sini. Setelah menghilang beberapa bulan, tiba-tiba aku menemuinya di Taman AST.
     “Saya sudah buka syarikat sendiri. Datanglah,” senyum Peter sudah jauh berubah.
     Sejak itu aku selalu berurusan dengan Peter dan setelah tujuh tahun di situ, dia membeli satu unit rumah kedai berhampiran kedai lamanya.
     “Kedai ini cukup ong, cikgu,” katanya kelmarin sewaktu bertemu.
     “Dua tahun sahaja di sini, saya sudah dapat bayar kedai dan sekarang ada dua rumah di PD,” katanya.
     “Di mana rumah itu?,” tanyaku.
     “Cikgu tahu tak Klana Seafood? Rumah saya dekat dengan restoran itu.”
     “Saya tahu. Rumah di situ bernilai RM400,000.”
     “Betul. Saya beli rumah itu RM400,000. Hebatlah cikgu boleh tahu dengan tepat harga rumah,” tambahnya.
     Aku cuma mampu tersengih.
     “Saya ada sebuah lagi di Kampung Paya. Saya ingat rumah itu saya hendak jual kerana saya ada tanah tepi air terjun,” ceritanya lagi.
     “Berapa hendak jual?”
     “Saya ingat boleh laku RM200,000.”
     Peter kemudiannya menukar tajuk perbualan.
     “Cikgu. Saya cukup respect sama you. Saya ingat di Seremban you orang nombor satu yang tahu semua hal mengenai printing – dari design sampai jadi buku.
     “Tapi satu sahaja cikgu tak tahu. Tak tahu bisnes. Kalau saya, dulu lagi saya sudah berhenti jadi cikgu dan terus buka bisnes.
     “Saya ingat, saya tinggal tujuh tahun belakang cikgu.
     “Lepas beli kedai ini, dua tahun saja saya sudah jadi jutawan.
     “Pasal cikgu tujuh dulu daripada saya, cikgu patut sudah jadi multi-millionaire,” katanya.
     Mendengar kata-kata itu, hasrat hati ingin mendapatkan kredit seminggu bagi kerja-kerja yang baharu disiapkan yang bernilai cuma RM3,000, aku terus membatalkan hasrat itu.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Majlis Temukembali

BERTEMU kembali setelah berpisah kira-kira lebih 30 tahun adalah saat yang cukup indah. Kesannya majlis yang dijangka hangat agak sejuk dalam tempoh 30 minit awal kerana masing-masing hampir lupa wajah rakan sekelas sendiri.
     Untuk itu majlis memperkenalkan diri terpaksa diadakan sebagai acara awal. Bagaimanapun sahabat tetap sahabat, cerita lebih 30 tahun terungkap kembali melalui usik-mengusik dan derai ketawa.
     Sebagai cikgunya, saya amat bahagia melihat suasana itu.
     Lihat sendiri klip video ini: http://www.youtube.com/watch?v=U7xm7NXaFO0
      Catatan: Sebahagian besar klip video dan foto adalah hasil kerja Siti Adibah, anak bongsu saya (masih dalam tahun dua). Dia masih mempelajari pergerakan kamera yang masih belum dikuasainya.

Selasa, 11 Oktober 2011

Apabila Cerita 31 Tahun Terbongkar

Rafeah mengaku gabra sewaktu melafazkan bait-bait `Pelamin Anganku Musnah.'

Untuk `membalut' luka Rafeah, aku mengajaknya berduet lagu `Jangan Pisahkan'
yang dipopularkan oleh Deddy Dores dan Mayang Sari. Lucunya setelah masuk rangkap
korus "Jangan pisahkan aku dan dia. Tuhan tolonglah..." tiba-tiba sistem audio
karaoke terputus. Foto: Siti Adibah Zulkifli

SEWAKTU diminta memperkenalkan diri, Rafeah Abd Malek dengan selamba memberitahu bahawa dia kini sudah bergelar nenek kepada dua orang cucu. Majlis memperkenalkan diri itu diadakan pada awal acara bagi membolehkan masing-masing mengingat kembali setelah lebih 30 tahun tidak berjumpa.
     “Bukan saya yang hendak cepat bercucu tapi anak-anak yang cepat `gatal’ nak kahwin,” katanya yang disambut gelak ketawa oleh rakan-rakan Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Besar Tampin di majlis temukembali di Intekma Resort, Shah Alam itu, Sabtu lalu.
     “Di sini juga saya ingin membuat pengakuan. Saya harap isteri cikgu tidak berkecil hati,” katanya sambil memandang ke arah meja tetamu yang menempatkan kami.
     “Sudah!,” hatiku bergetus.
     “Sebenarnya… Sebenarnya saya mencintai Cikgu dalam diam sewaktu mengajar saya dahulu,” kata bekas murid 6 Nila yang kuajar pada tahun 1979 yang lalu.
     “Cinta monyet,” akuinya yang diikuti deraian ketawa di kalangan hadirin.
     Aku lihat isteri tersenyum mendengar `Confession Of …’ Rafeah itu.
     Tidak cukup dengan itu, Rafeah bagai sengaja memilih lagu `Pelamin Anganku Musnah’ ketika menyertai acara `Kilauan Emas’ yang dibuat ala Akademi Fantasia yang mana aku turut dilantik sebagai panel jurinya.
     Apa yang menghairankan, Rafeah bukan sahaja sendu melafazkan patah-patah liriknya malah tidak dapat menahan deraian air matanya keluar sebaik-baik lagu tamat.
     Sewaktu menghampiri mejanya sewaktu hendak mengambil makanan, aku sempat mengusik.
     “Penuh perasaan nampak!,”
     “Memang betul Cikgu! Memang saya menyimpan hati kepada Cikgu dahulu,” katanya selamba.
     “Alaah Cikgu. Cinta monyet,” katanya lagi sambil tersengih yang menyebabkan wajahnya yang tembam kelihatan semakin tembam.
     “Sebetulnya saya berhasrat hendak membuat pengakuan itu sewaktu mula menyertai Grup Facebook TBS tapi malu…,” kata Rafeah lagi yang ternyata jujur untuk menyatakan sesuatu.
     Ingatkan kisah itu habis begitu sahaja. Sewaktu aku mendedahkan pengakuan itu yang disambut usikan oleh rakan-rakan sekolahnya yang lain, ini pula yang dicatat Rafeah dalam Facebooknya semalam.
     “yolah jodoh dio ehhhhhhh solly kegabraan terjadi disana maklom owang yg pernah dipuja2 berada didepan mata heheheeheheheh solly cikgu.”
     “heheheh itu pengakuan ikhlas cikgu maklom kanak2 sekolah cinta monyet mmg ada CIKGU MMG HANDSOME DULU KINI DAN SELAMANYA.”

Ikuti pengakuan dalam format video di sini:

Kenapa Aku Memilih Jalan Ini?


Saya dan suami tersayang

1977
Saya pernah ambil buku teks agama Islam  rakan sekelas, tanpa izinnya. Bila sampai di rumah, abang ambil  buku itu lalu membacanya.  Saya masih ingat abang membaca surah Al-Fatihah. Saya kaget sebab abang boleh membaca Al-Quran. Saya tidak tahu dari mana dia belajar.
     Saya pun tidak tahu mengapa saya meminati agama Islam pada masa itu walhal saya baru berumur  lapan tahun. Pernah saya dimarahi oleh Ustaz Selamat kerana  turut serta semasa beliau mengajar  murid-murid Islam pelajaran Pendidikan Islam.
1985
Minat saya terhadap Islam kembali mekar. Ketika itu, saya berumur 17 tahun.  Saya selalu  ke rumah jiran saya, Kak Idah lalu bertanya tentang  agama Islam. Saya tidak sabar untuk memeluk Islam pada masa itu. Kak Idah memberitahu saya yang saya masih belum boleh memeluk agama Islam kerana saya masih di bawah umur.  Kak Idah mengajar saya cara-cara mengambil air sembahyang dan tunjukkan arah kiblat.
     Pada suatu malam, saya ke dapur  untuk mengambil secawan air  suam. Saya terlihat seekor labah-labah sebesar tapak jari bersama-sama anak-anaknya di dalam sinki dapur. Saya amat terkejut lalu mencapai air panas yang sedang mendidih lalu saya curahkan  ke atas labah-labah tersebut. Saya menyumbat sinki air tu dan tindih dengan batu giling dan beberapa besen kosong.
     Saya tidak memberitahu famili saya pada maas itu sebab mereka sedang asyik menonton cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Pada keesokan pagi saya bangun, terus saya ke sinki. Alangkah terkejutnya saya apabila kakak ipar saya memberitahu tiada apa-apa pun di sinki dapur itu. Adakah itu khayalan saya?  Terus  saya  berlari menuju ke rumah Kak Idah lalu saya menceritakan apa yang telah berlaku pada  malam itu.
     Kak Idah memberitahu saya kemungkinan itu tanda-tanda saya akan memeluk Islam.  Pada malam hari kedua pula, saya mengambil air sembahyang lalu masuk ke kamar tidur saya. Masa itu, saya belum memeluk Islam.  Apabila selesai mengambil air sembahyang saya pun membaringkan badan saya  di atas katil itu. 
     Tiba-tiba ada satu bayang orang yang amat tinggi dan berjubah putih serta memegang tasbih melemparkan  “cahaya” terus  ke atas dahi saya. Mukanya tidak kelihatan  langsung dan saya sedikit pun tidak takut dengan bayang yang hadir di depan saya. Saya cuba bangun dari katil  untuk melihat dengan jelas siapakah gerangan bayang atau orang yang berdiri di depan saya dengan cahayanya?  Tidak sempat pun saya melihatnya bayang itu hilang dari pandangan mata saya.  Saya pun  membaca Bismillah lalu saya pun tidur.
     Semasa dalam tidur pada malam tersebut, saya bermimpi . Dalam mimpi saya itu, saya terlihat patung Buddha itu meletup di atas bukit  dan saya sukar turun dari tangga yang agak curam.  Pada keesokan pagi itu, saya pun ke rumah Kak Idah lalu bertanya apa maksud mimpi saya itu? Jawaban yang sama diberikan oleh Kak Idah iaitu kemungkinan saya akan memeluk agama Islam.
     24 Februari 1987 rakan sekerja saya  arwah Abang  Yusoff menghadiahkan saya beberapa buah buku Islam. Setiap malam saya membaca buku-buku yang dihadiahkan oleh arwah. Perasaan untuk memeluk agama Islam terbit semula di hati saya.  
     Saya pernah ke pejabat  JAWI, untuk berjumpa dengan  pegawai di sana. Saya menyuarakan hasrat saya untuk memeluk agama Islam. Pegawai  JAWI itu memberitahu saya bahawa saya tidak boleh berbuat demikian memandangkan umur saya baru 18 tahun kecuali dengan izin ibu bapa saya. Adalah  mustahil  untuk  saya meminta izin daripada ibu bapa saya pada masa itu. Lalu saya pun keluar dari pejabat  JAWI dengan perasaan dukacita.
1990
Saya nekad untuk memeluk agama Islam. Bila umur saya telah mencapai umur  21 tahun, saya menyuarakan hasrat  saya kepada ibu bapa saya. Seluruh keluarga  saya membantah dengan sekeras-kerasnya mengenai hasrat saya itu.  Pada suatu pagi, selepas  bersarapan pagi bersama dengan ibu bapa saya, ayah saya memberitahu saya sesuatu.
     Katanya, jika saya benar-benar ingin memeluk agama Islam dia mahu saya keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa  satu pun barang perhiasan emas saya. Apabila ayah saya sudah berkata demikian, saya pun keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang sepertimana yang ayah telah katakan kepada saya. Lalu saya menaiki  bas dari terminal bas Tampin menuju ke Kuala Lumpur.
     Bila sampai di Kuala Lumpur saya tidak tahu ke mana saya harus pergi lalu saya teringatkan abang angkat saya yang bernama Kamarulzaman Ayub. Saya ke rumah bujangnya. Dia terkejut dengan tindakan saya. Selepas  itu, dia membawa saya ke rumah nenek bekas kekasihnya lalu saya pun menumpang sebulan di sana.   Sebelum  saya ke Kuala Lumpur, saya  ada berkenalan dengan seorang jejaka Melayu di mana kami cuma berjumpa setahun sekali sahaja. Pada masa itu, kami sekadar kawan biasa. Jejaka ini saya namakan  W  dan beliau berasal dari  Pasir Mas,Kelantan. 
     Selepas sebulan tinggal di rumah nenek itu, saya menghubungi W agar mencari tempat untuk saya mendalami Islam.  Semasa di rumah nenek itu, saya telah dijawikan di Gombak.  W menghubungi saya semula lalu memberitahu  saya yang dia akan membawa saya pulang ke kampungnya. Pada 28 Jun 1990, saya tiba di kampung  W seorang diri. Sebelum saya ke kampung  W, saya telah berjumpa ibu bapa beliau semasa di Hospital Melaka di mana beliau kemalangan  pada masa itu.
     Kira-kira seminggu berada di kampung beliau, arwah  ibunya membawa saya ke Pejabat MAIK.  Apabila tiba di pejabat MAIK, saya rasa bertuah  dapat berjumpa dengan Imam Besar  Masjid Negara, Ustaz Azamuddin (kalau  tidak silap namanya). Beliau mengajar saya mengucap dua kalimah syahadah berulang kali. Saya berasa sungguh gembira akhirnya niat saya untuk memeluk agama Islam tercapai.  Setelah selesai mengucap dua kalimah syahadah dan dimaklumkan serba sedikit tentang agama Islam, saya pun diberikan kad pengenalan Islam. Nama yang diberikan oleh W kepada saya ialah Noraini. Nama   sebelum Islam saya ialah Chong Siew Guek dan diganti dengan nama baru Noraini Chong binti Abdullah. Setelah itu, saya mengikut arwah ibu W ke kelas  mengaji Al Quran dan fardhu ain  setiap hari selepas solat asar.
     Pada suatu malam,  saya ternampak seorang perempuan  sedang solat sunat di tepi katil saya.  Selepas itu perempuan itu terus hilang dari pandangan saya. Lalu saya memberitahu kepada arwah ibu W. Katanya, itu tandanya, saya harus mengerjakan solat lima waktu setelah bergelar muslimin.
     Saya mengikut kelas fardhu ain di PERKIM, Kota Bahru pada setiap hari Jumaat.  Di sana, saya dapat berkenalan dengan  ramai saudara baru dari seluruh negeri, ada yang dari sempadan Siam dan Filipina.
     Selama enam bulan duduk di kampung  W, saya dilayan baik oleh arwah ibu bapa  dan adik beradik W.  Ada juga ibu bapa angkat  saudara baru di PERKIM tempat saya belajar  datang berjumpa dengan arwah ibu W untuk menyampaikan hasrat mereka. Tiada satu arwah ibu W berkenan. Akhirnya, saya dijodohkan dengan W.  Pada  4 Oktober 1990 kami pun diinjabkabul. Alhamdulillah, saya ditemukan jodoh di mana hubungan kami direstui oleh arwah ibubapa dan adik beradiknya. Nama sebenar jejaka yang saya gelar W  ialah Wan Zainal bin Wan Mat. Dialah suami tercintaku.
     Kini kami dikurniakan empat orang cahayamata  dan seorang anak angkat. Hidup saya bertambah bahagia setelah mengharungi pelbagai rintangan semasa dalam perjalanan untuk memeluk Islam. Syukur sujud kepada Allah s.w.t kerana memberi petunjuk dan hidayah kepada saya  untuk ke jalan yang lurus. Amin ya rabilalamin! 
oleh: Noraini Chong Abdullah

Sabtu, 8 Oktober 2011

Disergah Cikgu


Cikgu ini kemudiannya mengendurkan diri lalu mempelawa kami masuk
bagaimanapun `damage' telah berlaku - tetamu disergah.
Foto: Siti Adibah Zulkifli

PAGI ini tidak pasal-pasal aku, Shariff Ahmad dan Jo (Johari Kassim) disergah oleh seorang cikgu sewaktu mengunjungi rumahnya di Pengkalan Durian, Linggi.
     Kedatangan kami ke Linggi semata-mata untuk kerja-kerja penyelidikan dan penulisan mengenai sejarah Linggi yang akan dikongsi melalui akaun Facebook dan blog Galeri Linggi. Melalui interaksi di kedua-dua jaringan sosial berpengaruh ini, diharapkan anak-anak Linggi khususnya dan mereka yang ada kaitan dengan sejarah peradaban Linggi dapat berkongsi maklumat menjelang seminar khusus yang akan diadakan Januari depan.
     “Minta kad! Minta kad!,” sergahnya sambil menyarung baju di pintu.
     Aku tahu kad yang dimaksudkan ialah business-card, tanda pengenalan kami.
     “Saya bukan orang Linggi! Saya Pegawai Pelajaran Daerah Tampin/ Rembau dulu,” katanya cuba memperkenalkan diri bahawa dia orang berpangkat.
     Shariff yang cuba menahan sabar menyisihkan diri dengan beredar ke tepi. Jo bagai tergamam lalu memandang ke arahku dalam wajah bersalah kerana dia yang membawa kami ke sini.
     “Saya tidak campur politik! Pergi sembahyang Jumaatpun kerana…,” dia bagai membentak.
     “Ini bukan pasal politik. Ini mengenai sejarah,” kataku lembut.
     “Itu politik juga,” tingkahnya.
     “Pergilah rumah Ketua Kampung!,” isterinya pula bersuara.
     Untuk mengelakkan suasana yang tidak diingini, aku mohon beredar pergi.
     “Masuklah dahulu,” katanya pula.
     “Terima kasihlah. Saya pun tidak mahu membuang masa tuan,” jelasku.
     “Eh! Kerja di mana?”
     “Sudah bersara. Dulu hampir 20 tahun mengajar di IPG Kampus Raja Melewar.”
     Dia tiba-tiba mengerut dahi.
     “Masuklah!”
     “Terima kasih!”

Khamis, 6 Oktober 2011

Pengunjung Setia: Salam Terima Kasih Dihulurkan

Karnataka, Wellington
Nazareth

Moscow
APABILA Feedjit memaparkan lokasi pengunjung blog ini, keharuan terus terusap di hati kerana ceritaapaapasaja bukan sekadar dikunjungi pelawat tempatan tetapi teman-teman dari serata dunia.
     Pastinya sebahagian mereka adalah anak Malaysia yang merantau di negara orang dan sebahagian lagi penutur bahasa Melayu yang berada di seantero alam milik Allah.
     Salam terima kasih dihulurkan kerana sudi singgah ke blog ini untuk berkongsi cerita suka, cerita duka dan cerita yang diharap dapat membangun minda.
     Ingin sekali hati ini mendekati pengunjung setia ini. Apa kata kita berinteraksi melalui Facebook atau e-mel yang tertera.
     Sebagai warga Malaysia yang pernah tinggal di negara orang (Birmingham, 1985), Manchester (1996-1997) dan pernah mengunjungi beberapa kota besar dan berpengaruh dunia (Makkah, Amsterdam, Brussel, Paris, London, Edinburgh, Dublin, Rome, Florence, Venice, Sydney, Auckland, Florida, Beijing, Teheran dan lain-lain) rasa rindu terhadap negara kelahiran sentiasa di hati.
     Kunjungan ke tempat-tempat ini membolehkan saya berkongsi cerita untuk kategori `Di Luar Negara.’
     Dalam tempoh hampir lima bulan blog ini dibangunkan, tiada siapa lagi penulis luar yang menyumbang cerita untuk kategori ini walhal anak Malaysia berada di mana-mana, sama ada belajar atau bekerja.
     Saya juga mengalu-alukan pandangan dan pendapat agar blog ini lebih bermakna untuk kebaikan manusia sejagat. Untuk itu ruang maklum balas (Komen Sikit) tersedia  di sebelah.
     Ayuh! Perahu dan pengayuh sudah tersedia. Mari kita kayuh bersama…!

Rabu, 5 Oktober 2011

Emak Bukan Peminta


Emak dan abah sewaktu sihatnya di rumahku

EMAK bukan seorang peminta. Dia pemberi. Seingat-ingat aku sejak kecil hingga kini cuma dua kali dia meminta sesuatu daripadaku. Pertamanya sewaktu aku ingin menghadiahkan sesuatu kepadanya ketika mendapat tunggakan gaji ke DG44, sebaliknya dia meminta aku membelikan abah motosikal baharu.
     Keduanya, kelmarin. Dia meminta aku membelikannya char kuey teow sewaktu menziarahinya di Hospital Tuanku Ja’afar kerana sesak nafas, selepas maghrib.
     “Kuey teow itu jangan letak kerang. Udang sahaja,” katanya lemah.
     Keesokan paginya, setelah menghantar Siti Adibah ke sekolah, aku ke gerai `Siap Brother’ berhampiran Kolej Tunku Kurshiah lalu memesan apa yang dipinta. Kemudianya aku segera ke hospital dan terpaksa berjalan kaki agak jauh kerana kawasan parkir sesak.
     Di Bahagian Pendaftaran, aku segera bertanya kepada pegawai bertugas sama ada emak layak ke Wad Kelas Pertama.
     “Maaf Encik! Pesara cuma boleh menggunakan kemudahan ini untuk isteri dan anak-anak. Waktu bekerja, ibu bapa pun layak,” katanya mesra.
     Tanpa mengambil masa panjang aku segera ke pintu masuk utama ke wad.
     “Puan. Boleh saya naik ke wad untuk menghantar makanan untuk emak saya?,” pintaku kepada seorang pengawal wanita beruniform putih.
     “Encik tak tahu ke, masa ini bukan masa lawatan?,” katanya dengan suara agak tinggi.
     “Saya tahu tapi saya minta kerjasama untuk diberi kebenaran,” pinta saya lembut.
     “Kalau hendak jumpa juga, pergi jumpa pegawai saya di kaunter di depan sana,” dia menunjuk ke arah luar ruang.
     Saya segera ke sana dan disambut oleh seseorang yang dikatakan pegawai dengan wajah yang tidak ramah pengguna.
     “Saya minta kebenaran puan untuk menghantar makanan kepada emak saya,”
     “Wad mana?”
     “6B.”
     “Encik tidak tahu ke, orang lelaki mana boleh masuk ke wad itu?”
     “Saya anaknya.”
     “Saya tahu tapi ini bukan masa melawat,” katanya tegas.
     “Saya lihat ramai orang masuk ke wad tadi,” aku memberi alasan.
     “Dia orang bukan ke wad. Yang ramai itu hendak membuat pemeriksaan,” dia pula memberi alasan.
     Sedang kami saling memberi alasan, kedengaran suara yang mengadu.
     “Puan, saya tidak boleh buat apa-apa lagi. Semuanya terus masuk ke wad walaupun saya tahan,” kata suara daripada `walkie-talkie’.
     “Tahan mereka!,” arahnya.
     “Macam mana hendak tahan. Mereka ramai,” terdengar jawapan.
     Melihat keadaan itu, aku segera bersuara.
     “Saya boleh jadi macam mereka tapi saya tidak mahu. Seboleh-bolehnya saya ingin mengikut peraturan tapi hari ini saya ingin memenuhi permintaan emak,” kataku lagi.
     “Berikan makanan itu. Kami akan hantar sendiri,” pegawai itu bagai enggan mengalah.
     “Begini sahajalah. Saya minta izin puan untuk bertemu emak saya beberapa minit sahaja. Lepas itu saya akan segera turun,” saya merayu.
     “Minta kad pengenalan!,” katanya masih dalam nada tegas.
     Sebaik-baik diberi kebenaran, aku segera berkejar ke lif dan terus ke Wad 6B. Di katilnya aku lihat emak agak keletihan.
     “Ini char kuey teow yang emak minta,” kataku sambil membuka bungkusan.
     “Mana kau tahu emak di sini?,” emak bertanya kehairanan.
     “Bukankah semalam awok ada datang.”
     “Ini bukan Klinik Salak ke?,” emak bersuara, masih dalam suasana kepisatan.
     “Ini Hospital Besar.”
     “Ooh! Makcik sebelah emak dengarnya sudah meninggal,” ceritanya lemah.
     Setelah menuangkan emak minuman dan berbual beberapa minit aku segera meminta diri.
     Di kawasan rehat berhampiran lif, aku bertemu anak makcik jiran katil emak untuk mengesahkan kedudukan perkara.
     “Emak semakin tenat. Dia dihantar ke ICU tadi,” katanya.
     Sebelum ke kawasan parkir, aku sempat menjenguk pegawai yang memberi kebenaran masuk.
     “Terima kasih Puan,” kataku. Dia bagaikan tidak mengendahkan kehadiranku.