Siangnya Ahmad Dhani membanting tulang, malamnya membanting pinggul |
Menyedari
buruh binaan keturunan Indonesia yang sedang menyiapkan kerja-kerja ubahsuai
rumah Shariff Ahmad gemarkan lagu-lagu dangdut, aku sengaja memasang lagu itu
di keretaku sewaktu singgah di situ.
Lagu-lagu itu pula sengaja aku pasang kuat
agar mereka bertandak sambil memasang jubin atau memasang lampu.
Antara mereka, Ahmad Dhani yang bertubuh
kecil terlalu gilakan irama yang dirintis Rhoma Irama dulu.
Oleh kerana lagu-lagu Inul Dharatista turut
menjadi koleksi di keretaku, pemasangan lagu-lagu itu benar-benar menyuntik
semangat muda Ahmad Dhani.
“Pakcik, pasang lagi Goyang Inul sama itu lagu Dikocok-kocok,”
pintanya sewaktu aku datang.
Shariff yang suka bersenda dengan mereka,
apa lagi – terus menggoyang-goyangkan pinggulnya bagai Inul.
Aku yang ingin turut bercanda turut
menggoyang-goyangkan pinggulku mengikuti irama dan liriknya `Aku tak mahu
cintaku dikocok-kocok, Ah!’
Apa lagi Ahmad Dhani terus membuat
penjurian langsung.
“Pakcik ini lebih hebat dangdutnya,” kata
Ahmad Dhani merujukku.
Shariff yang bagai cemburu dengan pujian itu
terus menggoyang pinggulnya lebih `kocok.’
Melalui Ahmad Dhani aku tahu kocok itu
bermaksud goyang kuat setempat. Ia agak berbeza sedikit dengan goyang gerudi si
Inul, ratu dangdut Indonesia itu.
Setelah dua hari mengenal Ahmad Dhani, dia
sudah berani bertindak lebih jauh.
“Pakcik, ikut saya malam nanti,” katanya.
“Ke mana?,” tanyaku.
“Di Bandar Baru Nilai. Di sana tempat
dangdutnya ramai cewek yang manis-manis.”
“Ada tidak yang saiznya macam saya,” aku
sekadar bergurau.
“Semuanya ada pakcik. Kalau ikut saya
segala-galanya beres. Saya ada petuanya,” kata Ahmad Dhani lebih bersemangat.
“Apa petuanya?”
“Ikut saja,” katanya.
Menyesal aku melayan Ahmad Dhani dengan berlakon
sebagai lelaki gila dangdut kerana lakonan itu telah menutup rasa hormatnya
kepadaku sewaktu mula berkenalan tiga hari yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan