Emak dan abah sewaktu sihatnya di rumahku |
EMAK
bukan seorang peminta. Dia pemberi. Seingat-ingat aku sejak kecil hingga kini cuma
dua kali dia meminta sesuatu daripadaku. Pertamanya sewaktu aku ingin
menghadiahkan sesuatu kepadanya ketika mendapat tunggakan gaji ke DG44, sebaliknya
dia meminta aku membelikan abah motosikal baharu.
Keduanya, kelmarin. Dia meminta aku membelikannya
char kuey teow sewaktu menziarahinya di Hospital Tuanku Ja’afar kerana sesak
nafas, selepas maghrib.
“Kuey teow itu jangan letak kerang. Udang
sahaja,” katanya lemah.
Keesokan paginya, setelah menghantar Siti Adibah
ke sekolah, aku ke gerai `Siap Brother’ berhampiran Kolej Tunku Kurshiah lalu
memesan apa yang dipinta. Kemudianya aku segera ke hospital dan terpaksa
berjalan kaki agak jauh kerana kawasan parkir sesak.
Di Bahagian Pendaftaran, aku segera
bertanya kepada pegawai bertugas sama ada emak layak ke Wad Kelas Pertama.
“Maaf Encik! Pesara cuma boleh menggunakan
kemudahan ini untuk isteri dan anak-anak. Waktu bekerja, ibu bapa pun layak,”
katanya mesra.
Tanpa mengambil masa panjang aku segera ke
pintu masuk utama ke wad.
“Puan. Boleh saya naik ke wad untuk
menghantar makanan untuk emak saya?,” pintaku kepada seorang pengawal wanita
beruniform putih.
“Encik tak tahu ke, masa ini bukan masa
lawatan?,” katanya dengan suara agak tinggi.
“Saya tahu tapi saya minta kerjasama untuk
diberi kebenaran,” pinta saya lembut.
“Kalau hendak jumpa juga, pergi jumpa
pegawai saya di kaunter di depan sana,” dia menunjuk ke arah luar ruang.
Saya segera ke sana dan disambut oleh seseorang
yang dikatakan pegawai dengan wajah yang tidak ramah pengguna.
“Saya minta kebenaran puan untuk menghantar
makanan kepada emak saya,”
“Wad mana?”
“6B.”
“Encik tidak tahu ke, orang lelaki mana
boleh masuk ke wad itu?”
“Saya anaknya.”
“Saya tahu tapi ini bukan masa melawat,”
katanya tegas.
“Saya lihat ramai orang masuk ke wad tadi,”
aku memberi alasan.
“Dia orang bukan ke wad. Yang ramai itu
hendak membuat pemeriksaan,” dia pula memberi alasan.
Sedang kami saling memberi alasan,
kedengaran suara yang mengadu.
“Puan, saya tidak boleh buat apa-apa lagi.
Semuanya terus masuk ke wad walaupun saya tahan,” kata suara daripada
`walkie-talkie’.
“Tahan mereka!,” arahnya.
“Macam mana hendak tahan. Mereka ramai,”
terdengar jawapan.
Melihat keadaan itu, aku segera bersuara.
“Saya boleh jadi macam mereka tapi saya
tidak mahu. Seboleh-bolehnya saya ingin mengikut peraturan tapi hari ini saya
ingin memenuhi permintaan emak,” kataku lagi.
“Berikan makanan itu. Kami akan hantar
sendiri,” pegawai itu bagai enggan mengalah.
“Begini sahajalah. Saya minta izin puan
untuk bertemu emak saya beberapa minit sahaja. Lepas itu saya akan segera
turun,” saya merayu.
“Minta kad pengenalan!,” katanya masih
dalam nada tegas.
Sebaik-baik diberi kebenaran, aku segera
berkejar ke lif dan terus ke Wad 6B. Di katilnya aku lihat emak agak keletihan.
“Ini char kuey teow yang emak minta,”
kataku sambil membuka bungkusan.
“Mana kau tahu emak di sini?,” emak bertanya
kehairanan.
“Bukankah semalam awok ada datang.”
“Ini bukan Klinik Salak ke?,” emak
bersuara, masih dalam suasana kepisatan.
“Ini Hospital Besar.”
“Ooh! Makcik sebelah emak dengarnya sudah
meninggal,” ceritanya lemah.
Setelah menuangkan emak minuman dan berbual
beberapa minit aku segera meminta diri.
Di kawasan rehat berhampiran lif, aku
bertemu anak makcik jiran katil emak untuk mengesahkan kedudukan perkara.
“Emak semakin tenat. Dia dihantar ke ICU
tadi,” katanya.
Sebelum ke kawasan parkir, aku sempat
menjenguk pegawai yang memberi kebenaran masuk.
“Terima kasih Puan,” kataku. Dia bagaikan
tidak mengendahkan kehadiranku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan