Saya dan suami tersayang |
1977
Saya
pernah ambil buku teks agama Islam rakan
sekelas, tanpa izinnya. Bila sampai di rumah, abang ambil buku itu lalu membacanya. Saya masih ingat abang membaca surah Al-Fatihah.
Saya kaget sebab abang boleh membaca Al-Quran. Saya tidak tahu dari mana dia
belajar.
Saya pun tidak tahu mengapa saya meminati
agama Islam pada masa itu walhal saya baru berumur lapan tahun. Pernah saya dimarahi oleh Ustaz
Selamat kerana turut serta semasa beliau
mengajar murid-murid Islam pelajaran Pendidikan
Islam.
1985
Minat
saya terhadap Islam kembali mekar. Ketika itu, saya berumur 17 tahun. Saya selalu
ke rumah jiran saya, Kak Idah lalu bertanya tentang agama Islam. Saya tidak sabar untuk memeluk Islam
pada masa itu. Kak Idah memberitahu saya yang saya masih belum boleh memeluk
agama Islam kerana saya masih di bawah umur.
Kak Idah mengajar saya cara-cara mengambil air sembahyang dan tunjukkan
arah kiblat.
Pada suatu malam, saya ke dapur untuk mengambil secawan air suam. Saya terlihat seekor labah-labah sebesar
tapak jari bersama-sama anak-anaknya di dalam sinki dapur. Saya amat terkejut
lalu mencapai air panas yang sedang mendidih lalu saya curahkan ke atas labah-labah tersebut. Saya menyumbat
sinki air tu dan tindih dengan batu giling dan beberapa besen kosong.
Saya tidak memberitahu famili saya pada
maas itu sebab mereka sedang asyik menonton cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Pada keesokan pagi saya bangun, terus saya ke sinki. Alangkah terkejutnya saya
apabila kakak ipar saya memberitahu tiada apa-apa pun di sinki dapur itu.
Adakah itu khayalan saya? Terus saya
berlari menuju ke rumah Kak Idah lalu saya menceritakan apa yang telah
berlaku pada malam itu.
Kak Idah memberitahu saya kemungkinan itu
tanda-tanda saya akan memeluk Islam.
Pada malam hari kedua pula, saya mengambil air sembahyang lalu masuk ke
kamar tidur saya. Masa itu, saya belum memeluk Islam. Apabila selesai mengambil air sembahyang saya
pun membaringkan badan saya di atas
katil itu.
Tiba-tiba ada satu bayang orang yang amat tinggi
dan berjubah putih serta memegang tasbih melemparkan “cahaya” terus ke atas dahi saya. Mukanya tidak
kelihatan langsung dan saya sedikit pun
tidak takut dengan bayang yang hadir di depan saya. Saya cuba bangun dari
katil untuk melihat dengan jelas
siapakah gerangan bayang atau orang yang berdiri di depan saya dengan
cahayanya? Tidak sempat pun saya
melihatnya bayang itu hilang dari pandangan mata saya. Saya pun
membaca Bismillah lalu saya pun tidur.
Semasa dalam tidur pada malam tersebut, saya
bermimpi . Dalam mimpi saya itu, saya terlihat patung Buddha itu meletup di
atas bukit dan saya sukar turun dari
tangga yang agak curam. Pada keesokan
pagi itu, saya pun ke rumah Kak Idah lalu bertanya apa maksud mimpi saya itu?
Jawaban yang sama diberikan oleh Kak Idah iaitu kemungkinan saya akan memeluk
agama Islam.
24 Februari 1987 rakan sekerja saya arwah Abang
Yusoff menghadiahkan saya beberapa buah buku Islam. Setiap malam saya
membaca buku-buku yang dihadiahkan oleh arwah. Perasaan untuk memeluk agama Islam
terbit semula di hati saya.
Saya pernah ke pejabat JAWI, untuk berjumpa dengan pegawai di sana. Saya menyuarakan hasrat saya
untuk memeluk agama Islam. Pegawai JAWI
itu memberitahu saya bahawa saya tidak boleh berbuat demikian memandangkan umur
saya baru 18 tahun kecuali dengan izin ibu bapa saya. Adalah mustahil
untuk saya meminta izin daripada
ibu bapa saya pada masa itu. Lalu saya pun keluar dari pejabat JAWI dengan perasaan dukacita.
1990
Saya
nekad untuk memeluk agama Islam. Bila umur saya telah mencapai umur 21 tahun, saya menyuarakan hasrat saya kepada ibu bapa saya. Seluruh
keluarga saya membantah dengan
sekeras-kerasnya mengenai hasrat saya itu.
Pada suatu pagi, selepas
bersarapan pagi bersama dengan ibu bapa saya, ayah saya memberitahu saya
sesuatu.
Katanya, jika saya benar-benar ingin
memeluk agama Islam dia mahu saya keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa
membawa apa-apa satu pun barang
perhiasan emas saya. Apabila ayah saya sudah berkata demikian, saya pun keluar
dari rumah dengan sehelai sepinggang sepertimana yang ayah telah katakan kepada
saya. Lalu saya menaiki bas dari
terminal bas Tampin menuju ke Kuala Lumpur.
Bila sampai di Kuala Lumpur saya tidak tahu
ke mana saya harus pergi lalu saya teringatkan abang angkat saya yang bernama
Kamarulzaman Ayub. Saya ke rumah bujangnya. Dia terkejut dengan tindakan saya.
Selepas itu, dia membawa saya ke rumah
nenek bekas kekasihnya lalu saya pun menumpang sebulan di sana. Sebelum
saya ke Kuala Lumpur, saya ada
berkenalan dengan seorang jejaka Melayu di mana kami cuma berjumpa setahun
sekali sahaja. Pada masa itu, kami sekadar kawan biasa. Jejaka ini saya
namakan W dan beliau berasal dari Pasir Mas,Kelantan.
Selepas sebulan tinggal di rumah nenek itu,
saya menghubungi W agar mencari tempat untuk saya mendalami Islam. Semasa di rumah nenek itu, saya telah
dijawikan di Gombak. W menghubungi saya
semula lalu memberitahu saya yang dia
akan membawa saya pulang ke kampungnya. Pada 28 Jun 1990, saya tiba di kampung W seorang diri. Sebelum saya ke kampung W, saya telah berjumpa ibu bapa beliau semasa
di Hospital Melaka di mana beliau kemalangan
pada masa itu.
Kira-kira seminggu berada di kampung
beliau, arwah ibunya membawa saya ke
Pejabat MAIK. Apabila tiba di pejabat
MAIK, saya rasa bertuah dapat berjumpa
dengan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Azamuddin
(kalau tidak silap namanya). Beliau
mengajar saya mengucap dua kalimah syahadah berulang kali. Saya berasa sungguh
gembira akhirnya niat saya untuk memeluk agama Islam tercapai. Setelah selesai mengucap dua kalimah syahadah
dan dimaklumkan serba sedikit tentang agama Islam, saya pun diberikan kad pengenalan
Islam. Nama yang diberikan oleh W kepada saya ialah Noraini. Nama sebelum Islam saya ialah Chong Siew Guek dan
diganti dengan nama baru Noraini Chong binti Abdullah. Setelah itu, saya
mengikut arwah ibu W ke kelas mengaji Al
Quran dan fardhu ain setiap hari selepas
solat asar.
Pada suatu malam, saya ternampak seorang perempuan sedang solat sunat di tepi katil saya. Selepas itu perempuan itu terus hilang dari
pandangan saya. Lalu saya memberitahu kepada arwah ibu W. Katanya, itu
tandanya, saya harus mengerjakan solat lima waktu setelah bergelar muslimin.
Saya mengikut kelas fardhu ain di PERKIM,
Kota Bahru pada setiap hari Jumaat. Di
sana, saya dapat berkenalan dengan ramai
saudara baru dari seluruh negeri, ada yang dari sempadan Siam dan Filipina.
Selama enam bulan duduk di kampung W, saya dilayan baik oleh arwah ibu bapa dan adik beradik W. Ada juga ibu bapa angkat saudara baru di PERKIM tempat saya
belajar datang berjumpa dengan arwah ibu
W untuk menyampaikan hasrat mereka. Tiada satu arwah ibu W berkenan. Akhirnya,
saya dijodohkan dengan W. Pada 4 Oktober 1990 kami pun diinjabkabul.
Alhamdulillah, saya ditemukan jodoh di mana hubungan kami direstui oleh arwah
ibubapa dan adik beradiknya. Nama sebenar jejaka yang saya gelar W ialah Wan Zainal bin Wan Mat. Dialah suami
tercintaku.
Kini kami dikurniakan empat orang
cahayamata dan seorang anak angkat.
Hidup saya bertambah bahagia setelah mengharungi pelbagai rintangan semasa
dalam perjalanan untuk memeluk Islam. Syukur sujud kepada Allah s.w.t kerana
memberi petunjuk dan hidayah kepada saya
untuk ke jalan yang lurus. Amin ya rabilalamin!
oleh: Noraini Chong Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan