Kelmarin aku terkejut menerima pesanan
ringkas pemuda berusia 33 tahun dari Rawalpindi, Pakistan itu. Biarlah aku
perturunkan sepenuhnya pesanan itu (jangan perkecilkan ejaan dan tatabahasanya.
Bagaimana pula kalau kita diminta menulis dalam bahasa Urdu?).
“Asslam o alaiqum abang saya sda ke kl.
Easo start kirja ke kedai kawan, depan sogo jln tar. Nanti kalu abang dtng k L.
mesti jumpa saya! krim slam dgn abang shrif.”
Entah mengapa aku sendu. Aku bagaikan
kehilangan Zafar yang sering menemankan aku bersarapan pagi dan kadang-kadang
menjengahnya di restoran pada larut malam malah kadang-kadang di awal pagi di restoran
yang dibuka hampir 24 jam itu.
Lebih aku merasa kehilangannya kerana masih
tidak mampu menunaikan hasratnya untuk melakukan satu projek usahasama (biarlah
menjadi rahsia dahulu) yang telah dibincangkan sejak Ramadan lalu.
Apa yang pasti aku bercadang ke Pakistan
bersama-sama Zafar dan Shariff. Zafar mengajak kami ke rumahnya di Rawalpindi
sekitar Mac atau April depan.
“Kampung kami penuh dengan bunga ketika itu
abang,” cerita Zafar. Aku bukan sekadar ingin melihat bunga malah untuk melihat
bunga pujaan Zafar – Rubina.
Terlalu banyak aku ketahui mengenai Zafar,
selain kehadirannya di sini untuk membalut luka kegagalan perniagaan
pengangkutannya sehinggalah kisahnya ingin berdikari.
“Sehingga bila saya mahu kerja dengan gaji
RM45 sehari?,” itu yang selalu disebutnya.
Sedang membelek-belek akhbar harian, aku
terkedu seketika. “Warga Pakistan menggantikan warga Indonesia di Jalan Tuanku
Abdul Rahman.” Begitu antara tajuk utama.
Lantas aku akan ke Kuala Lumpur hari ini
untuk bertemu Zafar.