“Aku akan bayar separuh dahulu Ahad ini.
Jemput datang ke majlis perkahwinan anak aku,” katanya dalam suara penuh yakin.
“Dengan `duit mangkeh’ (duit pemberian
tetamu) nanti dapatlah aku bayar hutang kau,” katanya lagi.
“Ya Allah! Berikanlah kelapangan kepada
rakanku Ehsan supaya dapat `duit mangkeh’ yang banyak,” kataku, masih dalam perbualan telefon yang berlangsung dalam
suasana mesra.
Memandangkan Ahad lalu, aku ada satu lagi
jemputan kahwin, aku ke dewan tempat Ehsan mengadakan resepsi perkahwinan
anaknya kira-kira jam 3.45 petang.
Aku tidak mahu mengganggu Ehsan sewaktu
tetamu masih ramai. Ini akan `merosakkan moodnya’
nanti.
Inilah kali pertama aku ke dewan itu –
sebuah dewan yang agak mewah dan terletak dalam satu kompleks agensi kerajaan
yang berkaitan dengan pembangunan kekeluargaan.
Sebaik tiba, aku terus bersalaman dengan
Ehsan yang sedang berbual dengan tetamu di meja belakang dewan sambil
menghulurkan `duit mangkeh.’
“Lauk dah banyak habis,” kata Ehsan sambil
meminta aku ke bahagian luar dewan sendirian.
Benar katanya. Lauk cuma tinggal beberapa
cebisan rendang tetapi gulai nenas masak kuning masih banyak lagi.
Setelah tercari-cari pinggan dan cawan,
akhirnya aku dapat juga dengan bantuan seorang gadis kecil yang berkemungkinan saudara
Ehsan.
Ehsan memandang sahaja aku mencari meja
kosong sendirian kerana sebahagian daripadanya sedang dikemaskan oleh pihak katerer.
Setelah selesai makan, aku lihat Ehsan leka
melayan beberapa tetamu yang baharu datang,
Untuk memenuhi waktu, aku ke meja yang
menempatkan peralatan karaoke milik kenalanku. Aku perlu bersabar untuk menemui
Ehsan yang kujangka telah mengasingkan sebahagian `duit mangkeh’ seperti yang
dijanjikan.
Ternyata Ehsan bagaikan tidak pernah
berjanji lalu membiarkan aku pulang dengan tangan kosong sewaktu bersalaman
dengannya.
Untuk memberi peluang untuk `tempoh
bertenang’ aku ke pejabatku yang terletak tidak jauh dari situ dan satu pesanan
ringkas dihantar.
“Aku akan berada di pejabat hingga malam.
Bila lapang nanti, hantarlah apa yang dijanjikan.”
Sehingga ke senja, pesanan ringkas itu
tidak berbalas malah sewaktu menelefonnya, taliannya tidak diaktifkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan