ESOK, 10 Disember 2011, YAB Menteri Besar akan menghadiri majlis Sepetang Bersama MB Dengan Penduduk Taman Paroi Jaya di Pesiaran Rajawali. Walaupun apa nama acaranya, matlamatnya kami ketahui iaitu untuk memenangi kembali kerusi DUN Sikamat dan Paroi yang kami diami (Taman Paroi Jaya dan Taman Pinggiran Golf berada dalam kedua-dua DUN ini).
Mengandaikan tidak ada kesempatan untuk menyampaikan khidmat konsultansi percuma ini esok (ramai yang akan bercakap), eloklah saya sampaikan di sini. Saya cuba menggunakan bahasa semudah mungkin (tanpa analogi dan mesej tersirat seperti yang ingin disampaikan melalui blog ini). * nota: manusia semakin tidak celik sastera. Mari kita berterus-terang sahaja. Ketiga-tiga DUN ini diambil sebagai sampel kerana ia mempunyai demografi yang hampir sama.
1. Kami diminta memilih Wakil Rakyat bukan TUAN RAKYAT. Jadi, winnable candidate yang dicalonkan nanti, biarlah dari kalangan kami (yang telah diketahui boleh buat kerja).
2. Kami cuma diamanahkan memilih seorang wakil DUN dan Parlimen. Kami tidak pernah memberi amanah kepada isteri, abang, adik, bapa saudara, suku-sakat dan kawan-kawan calon. Apa yang kami lihat apabila mereka sudah terpilih, mereka seolah-olah ingin menjadi raja – boleh buat apa sahaja, mereka sahaja yang pandai dan kebal segala-galanya.
3. Kami menilai calon melalui apa yang dilakukan, BUKAN apa yang pandai dicakapkan. Di taman perumahan kami, ramai yang pernah kami beri amanah. Daripada pemerhatian kami, mereka tidak dapat menunjukkan perlakuan sebagai ahli masyarakat dan ahli kariah yang boleh kami teladani.
4. Bongkak dan sombong. Sebahagian calon menunjuk muka sewaktu musim kempen. Sebahagian besar undi lari ke pihak pembangkang pada pilihanraya umum lalu semata-mata sikap calon (Yusof Misai) pada hari membuang undi. Dia ingin menunjukkan ramah rakyat tapi cara dia bersalam sewaktu kami sedang beratur di pusat membuang undi amat memualkan. Dia tidak memandang muka kami sambil bersalaman di hujung jari.
5. Jangan guna calon kitar semula dan suku-sakat mereka yang pernah jadi Wakil Rakyat. Kami dalam kawasan DUN Sikamat, Paroi dan Ampangan mempunyai ramai yang berkemampuan untuk menjadi wakil kami. Mungkin kehadiran mereka tidak terserlah kerana tidak pandai `gosok dan bodek’ untuk menunjukkan mereka juga berkebolehan. Kami rasa diperbodohkan dan ego kami dicabar apabila dipaksakan menerima calon dalam kalangan keluarga yang sama seolah-olah itu pusaka emak bapak mereka. Ego kami juga dicabar apabila pemimpin UMNO sering mengungkit bahawa kami masyarakat tidak mengenang budi kerana tidak mengundi BN. Kalau ikhlas, budi yang ditabur tidak perlu dibalas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan