“Saya ada di kedai mamak tempat kita minum
dahulu,” katanya. Dalam keadaan terpisat-pisat kerana dikejutkan dengan
panggilan itu, aku cuma sempat menjawab, “O.K! O.K! Aku datang.”
Melihat jam yang sudah menunjukkan angka
9.45 pagi, aku terus bingkas bangun daripada tertidur kerana kesejukan hujan
pagi.
Sewaktu sedang berpusing-pusing mencari
parkir, satu sms singgah di Nokia Xpress Musicku. “In the office now.”
Aku terpaksa menapak hampir 200 meter menuju
Jabatan Insolvensi Negeri Sembilan, berhadapan Arkid MARA, Seremban. Aku tidak
berasa malu lagi menjengah masuk jabatan ini kerana ia sudah dikunjungi
berkali-kali sejak berada di Wisma Persekutuan lagi.
Aku segera ke kaunter dan memohon maaf
kerana beberapa minit melepasi waktu janjitemu.
“Encik duduk dahulu. Puan Rosmawati sudah
minta kawan Encik mengisi borang sebelum berjumpa,” katanya.
Sementara menunggu rakanku itu menunaikan
tugasnya, aku sempat membaca beberapa halaman akhbar The Star yang ada di situ.
Aku tertarik dengan kolum baharu akhbar itu
yang mengisahkan bagaimana seseorang itu boleh merubah kehidupannya sekiranya
berusaha. Allah maha adil, hati kecilku berkata.
Setelah diminta masuk oleh Puan Rosmawati,
sesi konsultansi bermula. Aku cukup tertarik dengan cara pegawai muda ini
berkomunikasi – berhemah dan memancarkan sikap seorang profesional.
Baharu aku tahu pagi itu bahawa Si Peminjam
tidak pernah membayar sesen pun sejak peristiwa hitam 2005 itu. Paling
mengejutkan dia tidak pernah melalui sesi mesyuarat pertama malah `kad
keahlian’ berwarna hijau itu baharu diwujudkan untuknya.
Sebetulnya aku tidak perlu ke jabatan itu
lagi kerana Mahkamah Tinggi telah memberi pelepasan setelah membayar RM30,000
tanggunganku pada 18 Januari lalu. Malah pagi esok, Cik Vanaja, pegawai
mahkamah telah memberi jaminan dokumen penghakiman akan siap esok.
Dengan dokumen ini aku menjadi manusia bebas
kembali – dapat menggunakan kembali dua kereta dan satu motosikal yang
disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan lebih besar daripada itu
pasport antarabangsaku akan dikembalikan.
Benarlah kata orang, wang dan harta benda
milik sendiri tidak membawa apa-apa makna kerana segala-galanya dikawal oleh
Jabatan Insolvensi.
Aku simpati dengan peminjam yang selama ini
mengambil mudah liabiliti yang tertanggung di pundaknya. Sewaktu aku boleh
menyimpan segala dokumen yang berkaitan yang aku failkan cermat untuk
dokumentasi, Si Peminjam baharu hendak memulakan bayaran pertama yang bermula
Februari ini.
“Baca The
Star hari ini. Setidak-tidaknya cerita Tauke Perabot itu boleh menjadi
pedoman. Hari masih panjang. Kalau tidak memulakan sesuatu, bila pula untuk
melihat pengakhirnya,” kataku sambil mengusap belakang Si Peminjam, bekas
bosku.
“Terima kasih Bang!,” aku lihat langkah Si
Peminjam tidak selembik tadi lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan