Sewaktu aku bercadang untuk mempopularkan
anekdot yang berasaskan kisah benar selepas bersara, dia turut mencadangkan
nama siri ini.
“Ji, apa kata Haji namakan `cerita apa sahaja’,”
katanya sewaktu bertemu di sebuah pusat beli-belah sewaktu menanti isteri kami
menguruskan urusan mereka.
Aku terima cadangannya dengan sedikit
pengubahsuaian – ceritaapaapasaja – ia lebih kasual.
Sebagai penulis sepenuh masa, kawanku ini
memang banyak idea. Pengalamannya sebagai editor majalah terkemuka banyak
memberi input kepada aku dan kawanku yang juga kawannya untuk bekerjasama
mengedar buku terbitan syarikat kami.
Ia. Masing-masing telah ada syarikat
penerbitan sendiri. Kekangan utama cuma masalah pengedaran.
“Saya telah lama membuat kajian. Sejak zaman
SITC, yang tulis buku Melayu, yang sunting buku Melayu, yang desain buku Melayu
TAPI yang kaya siapa?,” kataku membakar semangat kedua-dua rakan ini yang
memang sudah sedia bersemangat.
Bagaimanapun dalam bersemangat itu, wajah
Ainon Mohamad, pemilik PTS melintas lalu.
Dalam wajah sinisnya, dia berkata, “Bukan
mudah menjadi self-publisher. Banyak buku
nanti terperap di bawah tangga.”
Mungkin kerana terkesan dengan nostalgia, maka
termetrilah MOU. Buat permulaan kami akan edarkan buku terbitan syarikat kawan
Sang Editor Buku, kemudiannya terbitan syarikat Sang Editor Majalah dan
akhirnya buku terbitan Sang Pencerita.
Set buku lapan judul aku biaya pencetakannya
– 3,000 set semuanya. Maka kami akan memasarkan 1,000 set setiap seorang dan
Sang Editor Buku yang memutuskan kawasan pasaran. Aku diberikan Melaka, Johor
dan Perak.
“Seperti yang pernah dijanjikan, tunggu dapat
duit.”
Terfikir di hati, bila pula kandungan baharu
MOU ini termetri? Sekiranya frasa `tunggu dapat duit’ jadi pegangan, `tunggu
dapat duit’ yang mana? Duit jualan buku? Kalau mengharapkan duit jualan buku,
bagaimana hendak mendapat duit sedangkan buku tidak dijual?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan