Aku
sedar sangat kesulitan abah dan emak. Awal pagi lagi setelah menyediakan teh
`o’ dan ubi rebus atau apa yang ada sebagai sarapan kami sebelum ke sekolah,
mereka menuju ke kebun getah di sempadan hutan.
Abah atau emak tidak ada kebun sendiri, jadi
mereka menoreh di kebun orang dan hasilnya di bahagi dua. Pada sebelah
petangnya pula mereka ke sawah di baruh; dan hasilnya dibahagi dua juga.
Walaupun masih di darjah empat atau lima,
sebagai anak sulung aku cepat mengerti keperitan hidup mereka. Aku akur dengan
keadaan yang wujud tapi aku tidak dapat menerima tingkah laku Nek Jenab,
pangkat sepupu nenekku ketika berurusan dengan emak.
Entah apa dosanya, aku sering melihat emak
dihina oleh Nek Jenab yang kami kenali sebagai orang paling berada di Kampung
Pelegong. “Tengok tu! Itulah rupanya orang bangsat!,” celupar sangat mulut Nek
Jenab bertubuh gempal itu mencerca emak.
Sebagai anak yang terdidik dengan
kelembutan, sifat kurang ajar Nek Jenab sering menjengkelkan. Aku pernah bertanya
dengan emak, adakah apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya hingga dendam Nek
Jenab bagai tidak berkesudahan.
“Seingat-ingat emak tidak ada. Biarlah dia
bercakap, kalau kita tidak buat, apa pula yang hendak dirisaukan,” begitulah
selalunya emak memberi alasan.
Hinggakan emak dituduh meracun Tok Godang,
ayah kepada Nek Jenab sendiripun, emak tidak ambil pusing.
“Biarlah dia tuduh. Allah tahu mana yang
benar,” bersahaja emak meluahkan kata.
“Aaaaaah! Kita ada maruah mak! Sampai bila
emak sanggup dihina. Kalau kita tidak menyatakannya, orang akan terus-terusan
menganggap itu BENAR,” kesabaranku hilang.
Kesabaranku ranap seranap-ranapnya apabila
pada suatu petang, aku dan emak yang dalam perjalanan pulang dari sawah dihina
secukup-cukupnya oleh Nek Jenab. Di atas jambatan berhampiran rumah Nek Sekrah,
kemiskinan kami dijadikan bahan cercaan.
“Tengoklah orang tak berharta. Motong, gotah
orang. Sawah, tanah orang. Inilah orang bangsat!”
Sambil menggetap bibir dan menggigil menahan
kesabaran, aku tidak sedar cangkul di tangan terlayang ke kepala Nek Jenab.
Awal
2012
Kes
1
“Aku
dah masuk nama pencetak dan jilid balik buku itu. Aku tidak mahu pembeli
tertipu.”
“Baguslah sikap begitu tapi kau awal-awal
lagi sudah menipu aku. Berapa kali janji nak bayar, tapi sudah masuk lima
bulan, tidak ada apa-apa pun. Teruk, apabila penulis sudah lupa makna kosa kata
mudah – sebelum Raya dan `dua minggu lagi aku bayar.’
Kes
2
“Kau
datang rumah aku sekarang juga!
Sekarang! Aku hendak duit aku balik!”
Bagai orang bodoh, aku segera menghidupkan
enjin motosikal dan tidak lama kemudian sudah berada di depan pintu rumahnya.
“Kau memang mementingkan diri. Sudah sebulan
aku minta duit tu… Mana broadband tu?
Tahu pinjam, tahulah pulangkan” (kalau hendak
menjadi budak-budak, mahu sahaja dinyatakan barang aku yang kaupinjam dan lebih
tinggi nilainya seperti buku rujukan, tidak kau pulangkan langsung) dan
pelbagai kata nista lagi dihambur. Dua tiga peristiwa hampir serupa yang
kulihat sebelum ini, terjadi ke atasku pula.
Kes
3
Buku
yang minta telah dicetak dan dihantar ke
pejabatnya tanpa deposit. Tuntutan RM3,500. Hanya beberapa hari kemudian baharu
dapat bayaran. Itupun RM2,000. Sebelum ini aku pernah tidak tidur untuk
menyiapkan bukunya tapi satu senpun tidak dibayar atas alasan tidak cukup muka
surat, walhal itulah naskhah akhir yang sudah disahkannya.
Setelah ditanyakan beberapa kali, mengenai
baki bayaran, ini antara jawapannya.
“Bakinya tunggulah pihak... bayar kepada
saya.”
“Saya berurusan dengan Dato’, bukan dengan …
Jangan jadikan saya peminta sedekah titik peluh saya sendiri. Pejuang Melayu jenis apa ni?”
Hanya beberapa minit kemudian telefon bimbit
berbunyi, “Apa yang Tuan Haji cakap ni…”. dan diungkitlah beberapa perkara.Tidak
lama kemudian, satu pesanan ringkas singgah.
“Jaga etika dan bahasa tuan.”
Aku segera membalas. “Terima kasih. Saya
trauma dengan penghinaan.”
Nota:
Jangankan orang, hatta isteri, anak, menantu, adik, adik iparpun jangan
sesekali cuba menghina. Wajah Nek Jenab yang berkain batik tanpa baju segera
melintas lalu ketika aku diperlakukan begini.
Bagi yang pernah menerima
suasana tidak terduga walhal semua orang tahu darjah kesabaranku tinggi, aku
pohon maaf zahir batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan