Cikgu Babab sedang merakam pergerakan Siti Adibah |
SAMBIL menunggu
giliran di bank, aku menghantar satu pesanan ringkas – “Praktikum di mana?”
Tidak sampai seminit jawapan diterima – “Siapa
ni?”.
“Nama saya Zulkifli Abu.”
Tiga minit berlalu tanpa jawapan, satu lagi
pesanan ringkas dihantar.
“Nak kenal lebih lanjut? Saya ayah kepada
Siti Adibah, murid Tahun 3 Inovatif.”
Seperti pertanyaan pertama, soalan segera
dijawab.
“Encik, boleh saya tolong? Saya di Sekolah
Kebangsaan KGV. Ini Tuan Haji Zulkifli Abu, Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan
di IPG Kampus Raja Melewar dahulu ke?”
“Anak saya mengadu Abang Babab dah sombong
dan bercakap garang di dewan.”
“Haha... saya yang menurut perintah. Tidak
boleh hendak buat apa-apa. Em.. Memang tidak perasan sebab sudah lama tidak jumpa.”
“That’s ok. Bagi kanak-kanak ia menyentuh
hatinya. Apatah lagi video klip `Bukan Aku Tak Cinta’ yang kau buat bersama
Syafiq dan Lokman masih sering ditontonnya. Kalau ada masa cari dia. Kalau nak lunch dengan saya, tunggu sewaktu saya
menjemputnya jam 1.20 nanti.”
Tiba-tiba telefon berdering. “Tuan Haji! ...”
suara ceria itu terus bercerita mengenai beberapa rakan yang rapat denganku.
Itu yang berlaku semalam. Babab (Hanafee Zaki)
adalah bekas pelajarku yang sering membantu mengurus penerbitan institut khususnya
dalam program peringkat kebangsaan kelolaan Bahagian Pendidikan Guru. Dialah
antara jurufoto yang ditugaskan merakam peristiwa. Dia cepat belajar dengan
menghasilkan foto yang menarik.
Rapatnya hubunganku dengan mereka yang
terbabit dalam pengurusan penerbitan ini, memungkinkan mereka sering datang ke
rumahku.
Malah mereka juga mengenali isteri dan
anak-anakku, khususnya Siti Adibah yang masih di tadika ketika itu. Oleh kerana
itulah, Siti Adibah bagaikan kecil hati kerana Cikgu Babab tidak menegurnya
sewaktu bertugas sebagai guru gantinya.
Babab (dipanggil kerana bertubuh debab),
Syafiq Aiman dan Lokmanlah yang meraikan Siti Adibah sewaktu menyambut ulang
tahun kelahirannya yang kelima di studio institut yang memungkinkan terbitnya
video klip `Bukan Aku Tak Cinta’ (lihat di YouTube - http://www.youtube.com/watch?v=4HoLZQpsu_M&list=UUpny9hZFFSFueFSGVdvCD5Q&index=11&feature=plcp
Kini Siti Adibah sudah di Tahun Tiga dan
Cikgu Babab berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah untuk bergelar
Cikgu Hanafee tidak lama lagi.
Tengah hari itu dia menerima pelawaanku
untuk makan bersama dua rakannya yang lain, yang juga bekas krewku.
Siti Adibah aku lihat cukup bahagia sewaktu
menghantar mereka pulang ke sekolah. Dia juga dapat makan bersama dengan Cikgu
Amira, guru Pendidikan Seninya di Restoran Rabina.