Sabtu, 21 April 2012

Menunggu Kelahiran


Esok, tanggal 22 April 2012, Studio Sang Pencerita mempunyai blognya sendiri, studiopencerita.blogspot.com. Sebagai tanda salam perkenalan, elok kita kenal Sang Pencerita terlebih dahulu. Sang Pencerita mungkin pernah bersama-sama kita sewaktu di sekolah, di universiti, di tempat kerja atau sewaktu  dalam pelbagai NGO. Dia dahulu mungkin kawan, guru, anak murid ; atau apa sahaja `baju’ yang dipakainya. Bukankah kita sering bertukar status  - di rumah kita ayah, di sekolah kita guru dan di universiti kita pelajar pula. Ikutinya di sini http://youtu.be/s7D7GwAKYew

Khamis, 19 April 2012

Murid Tempatan vs Murid Luar Negara


Tak percaya tanya mereka. Sejak mengajar darjah satu pada tahun 1974 dan mengajar di Institut Pendidikan Guru sehingga bersara pada Disember 2009, aku memang `terbuka.’
     Aku boleh `bantai’ murid dan murid juga aku benarkan `membantai’ aku sekiranya tidak bersetuju. Syaratnya, ada alasan yang kukuh dan jitu.
     Waktu mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah, aku mengajar bahasa Melayu, Matematik dan Pengajian Am.
     Kelasku memang bising khususnya sewaktu mengajar bahasa Melayu dan Pengajian Am. Bukan bising menandakan kawalan kelas hilang tetapi kerana brainstorming atau melampas minda sebelum bahan yang dibincangkan berasaskan tajuk yang diberi, dijadikan esei atau karangan.
     Aku yakin, penguasaan kemahiran bertutur memberi kesan kepada perkembangan kemahiran menulis. Boleh dilihat pembolehubahnya, murid yang bertutur secara bersistem dapat menghasilkan esei yang bersistem juga. Setiap argumen disertakan bukti dan fakta sokongan.
     Tidak adil aku katakan kerana pengajarankulah menyebabkan bekas murid dan pelajarku kini ramai pandai berbahasa. Bukankah seseorang guru itu cuma sempat berinteraksi setahun dua dengan seseorang pelajar itu?
     Di samping kemahiran berbahasa, di mana institusi pendidikan bekas muridku ini melanjutkan pengajian turut boleh menjadi pembolehubah – belajar dalam negara vs belajar di luar negara. Tempat dan tempoh masa turut mempengaruh pembangunan personaliti.
     Mahu lihat kesan pembelajaran? Dialog antara aku dengan beberapa bekas pelajar ini boleh dijadikan kajian kes. Kajian lapangannya melalui interaksi di Facebook sehari dua ini.
Bahan Rangsangan 1
Guru: MENYERANG jangan membuta-tuli, BERTAHAN perlu berstrategi.
Murid Dalam Negara: Adakah UMNO yang menyerang membuta tuli? Setahu kita pembangkang yang menyerang UMNO secara membuta tuli. Kalau dibuat perbandingan jauh bezanya strategi UMNO dan pembangkang. Pembangkang hentam keromo tetapi UMNO/BN selalunya bercerita fakta, prestasi atau track record dan seumpamanya. Yang menabur fitnah adalah 99% pembangkang.
Guru:  Mana dapat angka 99% tu. Dalam penulisan, setiap fakta ada data sokongannya. Ini contoh mudah, MENYERANG MEMBUTA-TULI (selepas itu ayat ini dijawab oleh komputer:  Unable to post comment. Try Again. Dan kemudiannya gurunya dipecat daripada kumpulan).
Bahan Rangsangan 2
Guru: AKU cuma sempat bertahan kira-kira 56 tahun untuk bersikap berdiam diri dan `menelan apa sahaja' untuk menjaga hubungan sesama manusia. Ini mungkin kesan ajaran emak sejak kecil hingga tua, "Biarlah apa orang hendak kata. Janji kau yakin, apa yang kau buat tidak bercanggah dengan ajaran agama." Menjelang persaraan, aku tumpas. Jiwa berontakku tidak tertanggung lagi. "Kalau tidak dinyatakan sesuatu secara berterus-terang, mesej tidak sampai. Apabila mesej tidak sampai, perubahan tidak berlaku. Apabila perubahan tidak berlaku, tidak adalah kemajuan." Ini antara teori komunikasi asas ciptaan Schramm yang turut menjadi bahan kuliah kami di Jabatan Teknologi Pendidikan. APA KESANNYA? Aku semakin ramai kehilangan kawan dan pelanggan! Sila beri pandangan.
Murid Luar Negara: The truth is always painful... Mulut yg manis belum tentu ada jujur dan benarnya. Saya memang jenis outspoken since i started learning to talk....hehe!. Speak your mind...u can sleep at nite. Tak ada rasa terkilan...
Bagi saya...biar tak ramai kawan, keep only few good ones asalkan kejujuran ada bersama mereka. Tak guna having arsenal of friends, tapi mereka hanya pura-pura baik dan tak boleh terima kritikan. Orang yang macam ini elok saja didoakan cepat mampus!
Nota: Dalam mata pelajaran Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK), guru tidak dibenarkan membuat rumusan dahulu sebelum pelajarnya membuat inferen.

Guru vs Bekas Pelajar


SETIDAK-TIDAKNYA dua bekas murid dan pelajarku memegang jawatan tinggi dalam industri media. Aku pula, selain bertugas sebagai guru; pernah lebih 15 tahun bertugas sebagai stringer di kedua-dua syarikat media arus perdana ini.
     Kalau yang seorang itu pernah aku ceritakan kisahnya sewaktu majlis temukembali, yang seorang ini agak lama juga tidak bertemu. Dia ini `cepat dewasa’ malah sewaktu habis sahaja Tingkatan Lima, dia tidak mahu menyambung pengajian lalu meminta aku merekomenkannya sebagai stringer di situ.
     Minggu lalu bekas pelajar 1988 dan 1989 itu menubuhkan kumpulan FB baharu dan sebagai `admin’, aku dimasukkan dalam kumpulan itu. Aku tidak mintapun.
     Sebagai tanda sokongan kepada kumpulan itu, aku turut melontarkan beberapa pandangan. Seronok juga apabila guru dan bekas pelajar berinteraksi secara terbuka.
     “Apa yang penting dalam karangan, setiap argumen perlukan fakta dan bukti sokongan. Argumen tanpa fakta sokongan adalah cakap kosong,” begitulah antara kata yang pernah diungkapkan kepada pelajar yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu.
     Sedar dengan konsep kendirinya yang tinggi itu, aku turut melontarkan pandangan yang agak bercanggah dengan pegangannya. Dia segera memberi reaksi dan ini antara kata-katanya, “Ke bendang seberang nampak?.”
     “Saya tidak memilih bendang. Saya mahukan padinya,” jawabku, juga secara spontan.
     Pagi ini aku memberi input baharu untuk Kumpulan FB ini. Ikuti dialog guru dengan bekas pelajarnya.
Guru: ANTARA `Mind-Set' orang UMNO yang perlu dibetulkan:
1. Terus label pihak yang tidak sealiran dengan pemikirannya, `telah ke bendang orang' walhal pendapat yang diberikan untuk kebaikan parti sendiri. Kalau begitu, tidak perlu diwujudkan wadah untuk berforum - membuang masa sahaja memberikan pendapat!
2. Bermati-matian memburukkan individu yang tidak disukai khususnya pihak lawan sehingga terasa MELOYA dan MENJIJIKKAN. `Apabila tidak suka, semuanya SALAH. Apabila suka, semuanya BETUL.' Adakah Allah maha zalim dengan menjadikan seseorang itu 100% HITAM dan 100% PUTIH? Bukankah dalam sastera sendiri kita perlu berlaku adil - setiap watak itu itu ada BULAT dan PIPIHnya. Setiap manusia itu ada kekuatan dan ada kelemahannya.
3. Selalu berfikiran aku adalah TUAN, akulah SANG MAHATAHU.
4. Cakap selalu tak serupa bikin. "Marilah kita bersatu!," itu antara kata yang sering diucap oleh pemimpin khususnya menjelang PRU sedangkan semua orang tahu `mereka sesama sendiri’ TIDAK BERSATU dan SALING MENJATUHKAN'.
5. "Tolonglah! Tolonglah saya kali ini. Ini maruah bangsa. Ini maruah agama," antara dialog yang digemari. Apabila sudah `ditolong', perangai lama dikitar kembali. Maka terjadilah THE SATANIC CIRCLE.
Bekas Pelajar: Adakah perkara ini masih berlaku di bawah transformasi politik yang dilaksanakan oleh PM sekarang? Mungkin keadaan itu sebelum 2008. Tetapi jika masih berlaku, sesuatu perlu BN lakukan.
Guru: Masih berlaku. Saya berada di lapangan, bukan di kamar dingin metropolitan Kuala Lumpur atau Putrajaya.
     Kemudian aku mengulas pandangannya mengenai strategi yang digunakan. Dia tidak bersetuju. Katanya kerana tidak MENYERAN, partinya hampir bungkus dalam Pilihan Raya Umum 2008. Ikuti dialog ini pula.
Guru: MENYERANG jangan membuta-tuli, BERTAHAN perlu berstrategi.
Bekas Pelajar: Adakah UMNO yang menyerang membuta tuli? Setahu kita pembangkang yang menyerang UMNO secara membuta tuli. Kalau dibuat perbandingan jauh bezanya strategi UMNO dan pembangkang.  Pembangkang hentam keromo tetapi UMNO/ BN selalunya bercerita fakta, prestasi atau track record dan seumpamanya. Yang menabur fitnah adalah 99% pembangkang.
Guru: Mana dapat angka 99% tu. Secara ilmiah, setiap fakta ada data sokongannya.
(Interaksi terhenti seketika. Sewaktu hendak posting kata-kata di bawah ini, komputer yang menjawab.
Guru: Ini contoh mudah MENYERANG MEMBUTA-TULI.
Komputer: Unable to post comment. Try Again!

Nota: Sekembalinya dari hospital kerana menziarah emak, aku ingin menyambung kembali interaksi. Malangnya aku telah `dipecat’ daripada kumpulan).

Isnin, 16 April 2012

Tak Patut (Edisi Indonesia)


Ini antara kerja W yang terpaksa disudahkan oleh Nasha, karyawan tempatan.


Daripada lebih 15 karyawan (pekerja) yang terbabit dengan kerja-kerja pengubahsaian Studio Sang Pencerita, W agak berbeza. Selain penampilan dirinya yang moderen (telefon bimbit, jam, kasut dan pakaiannya berjenama), W agak berpelajaran.
    Mengikut ceritanya, dia mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah elit di Bali kerana dia mendakwa datuknya antara orang terkaya di pulau peranginan terkenal itu.
    “Bos! Apabila berkesempatan ke Bali nanti, tidak perlu tinggal di hotel, tinggal sahaja di kediaman datuk saya. Rumahnya besar dan ada tempat `barbecue’ dan membakar jagung,” katanya berbasa-basi.
    “Don’t worry! Paspor saya sudah dikembalikan. Biayanya, tanggung beres!,” aku memberi keyakinan.
    W yang dahulunya memanggil aku Pakcik menukar kata panggilan kepada bos mungkin berdasarkan aku melayannya sebagai teman.
    Selain aku memberi peluang kepadanya berdikari setelah disuntik motivasi keyakinan diri (sebelumnya dia karyawan PU), W turut kuberikan motosikal bagi memudahkannya datang ke tempat kerja.
    Setelah lebih sebulan mengenalinya, W bertindak lebih jauh. Dia sudah mula tidak melunaskan kerja-kerja di studioku tapi memberi tumpuan kepada kerja-kerja rumah jiran yang aku perkenalkan.
    Dia yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa turut meminta aku membuka akaun Facebook bagi memudahkannya berhubung dengan isteri-isterinya (walaupun dia cuma berusia 31 tahun tapi punya tiga isteri) dan teman sekolahnya dahulu.
    Suatu hari darahku berderau. “Bos cuba cari nama … dalam Facebook. Dia adik saya yang bertugas sebagai jururawat. Cantik bos!”
    Darahku lebih berderau apabila W memberitahu dia pernah menjadi penyeludup rokok ketika tinggal di Singapura.
    “Waktu itu saya mewah bos! Saya boleh booking tempat dangdut di Batam tanpa kehadiran pelanggan lain.”
    Aku mula sangsi dengan W apabila lebih tiga minggu tidak datang menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai dan tidak memulangkan motosikal yang kupinjamkan.
    “Saya ada projek di Nilai. Motosikal bos saya tinggalkan di rumah,” satu sms singgah di telefonku.
    Setelah menyelesaikan kerjanya di Nilai, W datang kembali. Bagaimanapun dia tidak juga menyiapkan kerja yang terbengkalai. Dia bekerja di rumah jiranku. Sebagai menghormati janji, aku pula tidak memberikan kerja itu kepada orang lain.
    Tidak lama kemudian, dia hilang lagi. Satu lagi sms singgah.
    “Bos, cuba teka saya di mana? Batamlah bos! Pasal motor, jangan risau. Saya sudah kunci sebaik-baiknya.”  
    Setelah dua hari di Batam, W menelefonku.
    “Bos! Pada teman saya ada RM200. Bos berikan bakinya untuk digenapkan jadi 1 juta Rupiah. Bos hantar wang itu melalui Western Union.”
    Belasan panggilan tiba selepas itu, diikuti sms sehingga malamnya. Aku membiarkan sahaja apabila melihat nombor yang tertera.
    Dua hari kemudian, W muncul di studio. Dia hanya bercakap dengan jiranku yang turut menggunakan khidmatnya.
    “W. Kalau mahu buat air, masuklah,” aku mempelawa. Mungkin memikirkan aku tidak marah dengan tindakannya itu, W mula membawa cerita  lama.
    “Bos! Sebelum ke Bali kita ke Batam dahulu!,” katanya sambil menunjukkan tanda jempolan.
    Untuk menjaga hubungan, aku meminta W menyiapkan kerja yang tertinggal dan ditambah pula dengan kerja membina air terjun di bahagian belakang studio.
    “Kau boleh mula kerja pagi Isnin depan!” aku memaafkan kesalahan lalunya.
    Pagi Isninnya dari pagi hingga ke petang wajah W tidak kunjung tiba. Sekitar jam 5.30 petang dia datang bersama seorang teman. Motosikal dipulangkan.
    Malamnya aku menghantar sms.
    “W, Saya sudah memberi peluang kedua tapi kau tidak tunaikan. Projek air terjun saya sudah serahkan kepada karyawan tempatan.” Dan ini pula antara jawapannya.
    “Tak apa, sayapun minta maaf, mungkin bukan rezeki saya…Lebatnya hujan, tapi hanya setitis yang saya kecapi. Sulit untuk saya, senangnya bukan untuk saya.”
    Memang Tak Patut!

Ahad, 15 April 2012

Tak Patut! (Edisi Pakistan)


“Tak patut kawan abang buat macam itu,” Z yang kukenali sejak lebih tujuh bulan lalu menunjukkan simpati sewaktu berbual pada kira-kira jam 1.00 pagi di Restoran Syed Maju.
    Aku kadang-kadang tercerita juga masalah kewanganku apabila sejak dua tiga minggu kebelakangannya Z asyik bercerita mengenai hasratnya untuk berkongsi denganku.
    Mungkin melihatkan aku menunjukkan minat untuk berusahasama dan sentiasa menyatakan hasrat untuk mengikutnya pulang ke Pakistan, iceberg sudah lama runtuh.
    “Saya sudah lama mahu ke India dan Pakistan. Isteri dan anak-anak tidak berminat melancong ke negara yang tidak berbau orang putih,” kataku.
    “Abang boleh ikut saya. Pakistan lebih baik dari India. Pakistan betul-betul negara Muslim,” katanya bangga.
    Bukan kerana soal duit sangat tapi lebih untuk menolong, akhirnya RM1,200 bertukar tangan.
    “Jangan takut abang. Ini wang akan jadi modal untuk saya berniaga tudung di KL nanti,” dia memberi keyakinan.
    Setelah tinggal di KL, Z tidak berniaga tapi bekerja dengan rakan Pakistannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
    “Kalau mahu berniaga, saya perlu RM5,000. Nanti kita boleh buat wang – jual tudung, jual kain,” ceritanya sebelum berhenti bekerja di Syed Maju.
    Atas persetujuan, RM1,200 yang diberikan kepadanya dianggap sebagai pinjaman dan akan dipulangkan apabila aku memerlukannya.
    Tiga minggu lalu, aku benar-benar memerlukan wang lalu menelefon Z. Mulanya dia memberitahu untuk ke mesin ATM tapi kemudiannya menelefon kembali.
    “Abang saya minta tolong sikit! Saya susah sekarang. Boleh tak saya masukkan 10 April,” pintanya melalui telefon. 10 April itu membawa maksud penangguhan lebih dua minggu.
    Sampai tarikhnya, Z tidak menunaikan janji menyebabkan kesabaranku dicabar.
    “Z! Muslim brothers keep their promises,” aku mula bersuara agak tinggi.
    “Abang jangan marah. Takkan 10 haribulan tak boleh tunggu.”
    “Come-on Z, today is 10th April,” aku mula naik angin apabila Z sudah tidak tahu tarikh lagi. Waktu itu wajah suami nenekku segera melintas di mata.
    Gulab Khan yang berasal dari Kabul meninggalkan anak bongsunya yang masih dalam kandungan nenek dan seorang lagi anak, Nur Muhamad (Pak Kitam) manakala dua yang lain dibawa pulang selepas tamat perang.
    Aku segera menghantar sms kepada Z yang berupa provokasi yang membabitkan maruah negara dengan harapan dia segera memulangkan duit itu.
    Sms itu berbunyi,” Nenek saya kahwin dengan orang Afghan. Waktu kecil nenek saya selalu pesan jangan percaya dengan janji orang Afghan dan orang Pakistan. Do you want to confirm it?”
    Sebentar tadi aku cuba menelefon Z. Seperi rakan-rakan penghutangku yang lain, selain lupa tarikh, jumlah hari dan jarak masa; mereka juga rupanya sudah hilang kemahiran menjawab telefon. 

Jumaat, 13 April 2012

Tak Patut!


Setelah rebah beberapa kali, aku mengumpul kekuatan untuk merealisasikan impian -Studio Sang Pencerita adalah pengubat duka.

1
“Cikgu, mari kita berkongsi! Cikgu ada kepakaran. Biar kami jalankan bisnes tu. Cikgu bergerak di belakang tirai sahaja,” A datang bersama B pada suatu petang di rumahku di Taman Paroi Jaya lebih 20 tahun lalu.
    Melalui perkongsian itu, kami menjadi perintis bisnes desktop-publishing di Seremban. Walaupun sebuah syarikat kecil dengan menyewa bangunan milik Haji Hamzah di kawasan kedai Taman Paroi Jaya, kami mencipta sejarah; syarikat pencetakan pertama yang menggunakan teknologi itu.
    A seorang akauntan bertauliah yang masih berkhidmat dengan sebuah konglamerat antarabangsa di Senawang. Waktu itulah aku berpeluang menggunakan pencetak laser yang baharu diperkenalkan ketika itu.
    Sebagai akauntan, A memberi perhatian berat mengenai akaun syarikat. Aku suka dengan sikapnya itu. Aku sendiri tidak pernah belajar mengenai akaun perniagaan.
    Bagaimanapun, satu sahaja masalahnya. A akan bising apabila didapati ramai pelanggan yang tidak melunaskan hutang dan cuma berdiam diri sewaktu mendapat bayaran.
    “Hebat kau Zul! Ada kerja yang dihormati dan ada bisnes sendiri pula,” begitu kata kawan-kawan.
    Bagaimanapun cuma aku sahaja yang tahu berapa yang aku dapat daripada perniagaan itu setiap bulan.
    “Tak patut!”
2
“Tak patut! Bukankah bisnes itu kau yang asaskan. Mengapa dia tinggalkan kau setelah dapat kuari dan mampu membeli beberapa rumah kedai?
    Bukankah kau yang berusaha mendapatkan lesen menganjurkan kursus praperkahwinan itu?,” C bagai naik angin apabila aku memberitahunya sewaktu dia mengajak aku berkongsi menubuhkan syarikat pencetakan yang lebih besar.
    C tahu aku bersama dua rakan yang berpengaruh di peringkat negeri telah diberi lesen pertama untuk mengendalikan kursus itu. Maksudnya, kami menjadi perintis lagi.
    Aku memberitahunya secara berterus-terang agar pengalaman pahit itu tidak berulang. Aku percaya dengan C. Selain datang daripada keluarga peniaga, dia saudara baharu yang baharu bermukim di Seremban.
    Melalui perkongsian itu, syarikat kami diberi peluang membekalkan bahan kempen BN sewaktu Pilihan Raya Umum 1995.
    Tidak besar nilai projek itu, sekitar suku juta ringgit sahaja.
    “Zul! Aku ingat kita tak payah ambillah duit keuntungan. Kita laburkan balik dengan membeli mesin cetak baharu dan peralatan yang berkaitan,” pujuknya.
    Aku akur. “Patutlah orang Cina berjaya dalam perniagaan. Keuntungan tidak digunakan untuk membeli Mercedes dan sebagainya seperti peniaga Melayu,” fikirku.
    Seingat-ingat aku, rasa tidak rasanya aku dengan keuntungan itu cuma kira-kira RM350. Itupun mungkin orang politik yang suruh aku menjemput wang tunai hampir RM50,000 di Port Dickson malam itu, tersalah kira dan aku diminta mengambilnya sahaja.
   
3
“Tak patut sangatlah! Bukankah Encik Zul yang ajak dia berkongsi? Dia tidak mengeluarkan apa-apa belanjapun. Itulah! Encik Zul mudah percaya sangat dengan orang,” D yang bekerja di pejabat puncak kuasa benar-benar menunjukkan simpati.
    “Mari kita berniaga bersama-sama. Encik Zulpun masih bekerja. Biar saya yang menggerakkannya. Kita pakai nama proksi sahaja. Jadi, tidak ketara sangatlah yang Encik Zul berniaga.”
    Itu cerita kira-kira 10 tahun lalu. Bukan mahu mendabik dada, aku juga yang menjadi perintis non-linear editing untuk penerbitan video.
    Pelangganku bukan sebarangan. Antaranya Kerajaan Negeri Sembilan dan orang penting peringkat negeri.
    Syarikat ini cukup cepat berkembang maju dengan kehadiran seorang anak muda yang pakar dalam kerja-kerja penerbitan video.
    Sewaktu ingin bertanya mengenai keuntungan daripada rakan kongsi, ini pula katanya.
    “Encik Zul jarang datang pejabat. Jadi duit keuntungan syarikat telah kami beli rumah kedai.”
    “Takkan keputusan yang besar itu dibuat tanpa memaklumkan kepada saya?”
    “Bukankah know-how bisnes itu dan peralatan yang ada saya yang punya?”
    “Kalau Encik Zul hendakkan komputer itu, ambillah balik,” kata D.
    Sewaktu bertemu pengurus yang aku sendiri bersetuju untuk mengambilnya sewaktu tidak bekerja, ini pula jawapannya.
    “Uncle tidak datangpun ke pejabat sewaktu kami dalam kesulitan.”
    Aku pun bertanya pula kepada anak muda itu, “Bagaimana pula keadaannya sewaktu engkau orang banyak duit dalam akaun. Pernah tidak mengajak uncle datang.”
   
4
“Memang tak patut! Kau yang punya idea dan mengeluarkan modal untuk bisnes tu, senang-senang dia tinggalkan kau apabila syarikat maju,” E beria-ia benar menyatakan simpati.
    “Inilah masalahnya apabila berniaga bukan kerja sepenuh masa kau,” E berhujah lagi. Itu cerita kira-kira lima atau 10 tahun dahulu, cerita sebelum bersara.
    E yang mempunyai hubungan kekeluargaan sanggup menyewa pejabat yang telah aku ubahsuai atas dasar ingin meringankan beban.
    E kemudiannya meminta aku memberi projek di tempat kerja. Walaupun sedar, itu merupakan kesalahan kerana menyalahgunakan kuasa, aku sanggup menanggung risiko itu untuk membantunya, membaiki kehidupan setelah berumahtangga.
    Tidak besar projek yang diberi. Cuma bernilai kira-kira RM40,000 sebagai permulaan. E  kemudiannya cuma dapat membekal barangan bernilai kira-kira RM15,000 dan akulah yang terpaksa menampung baki bekalan.

Selasa, 10 April 2012

Indon, Di Mana Pak?


LEBIH tiga bulan sejak awal Januari lalu aku menghadapi rutin yang berbeza. Kalau sebelum ini, setelah menghantar Siti Adibah ke sekolah pada kira-kira jam 7.00 pagi, aku sempat bersantai sambil menghirup Nescafe panas di beberapa warung yang berbeza atau ke Pasar Selasa Ampangan, dalam tempoh ini aku memasuki dunia baharu; sebagai buruh binaan.
    Sejak mengenali pekerja binaan berketurunan Indonesia yang membuat kerja ubahsuai rumah seorang teman, aku bagai terpanggil untuk kembali ke zaman silamku, menjadi tukang rumah sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1970 dahulu.
    Waktu itu aku membantu abah, seorang tukang rumah yang disegani di Batu 8, Labu dan sempat berpeluang membina beberapa rumah jiran sekampung.
    “Cuba kira berapa kayu 2X3X12, 2X6X8 yang diperlukan?,” begitu selalunya abah meminta aku mengira jumlah kayu. Walaupun abah tidak bersekolah, kadang-kadang dia lebih cepat mendapatkan hasil darab atau tambah.
    “Indonpun masuk kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5.00 petang. Kau agaknya dari Irian Jaya, buruh yang masuk kerja sebelum subuh, balik hampir azan Maghrib dan masuk balik lepas Isya’,” begitu selalunya usikan Rahman atau Atok, jiranku di Taman Pinggiran Golf.
    Tidak tahu kenapa, penyakit workaholicsku menyerang lagi. Malam bagaikan tidak sempat menunggu siang untuk kerja bersama-sama Pak Udin, Walid, Musli, Inung, Muhajir atau yang lain untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan dan ubahsuai rumah yang baharu dibeli daripada lelongan awam untuk dijadikan pejabatku, Studio Sang Pencerita.
    Aku tidak perlu makan ubat darah tinggi lagi kerana setiap hari bermandi peluh dan blog ini turut menjadi mangsanya – tidak dikemaskini walaupun setiap hari ada cerita baharu, berlaku.
    Oleh kerana cuaca agak panas kebelakangan ini, aku selalunya tidak berbaju sama ada sewaktu menukar parquet atau meratakan tanah di belakang rumah.
    Pada suatu pagi yang cerah, Pak Udin membawa pekerja yang dipanggil karyawan, yang baharu datang dari Makasar untuk membantu. Sebaik-baik tiba di tingkat atas, Inung diminta membantu aku membaiki lantai yang sebahagiannya rosak.
    Untuk berbasa-basi, anak muda ini segera menegurku,” Sudah berapa hari kerja Pak?”.
    “Baharu dua hari,” jawabku sambil menyembunyikan sengeh.
    Hanya pada sebelah petangnya, baharu Inung tahu bahawa akulah pemilik rumah itu.
    “Tak perlu minta maaf. Inung tidak melakukan apa-apa kesalahan,” beberapa kali aku menegaskan kata-kata itu apabila Inung, bekas pengurus Perusahaan Ikan Kerapu di Bali memohon maaf kerana menyangkakan aku juga sepertinya, buruh binaan Indonesia.
    Pada petang yang sama, peristiwa yang hampir sama juga berlaku. Seorang kontraktor tempatan datang bertamu untuk melihat kerja-kerja binaan yang dalam proses peringkat akhir.
    “Kemas kerjanya. Selain susunan bata, plasternya cukup halus,” katanya yang juga cuba berbasa-basi. Aku yang terus-terusan menggunakan bahasa Indonesia sewaktu bercakap, melayannya dengan ramah.
    Setelah hampir sejam berbual, keinginannya untuk mengenali diriku kelihatan semakin memuncak.
    “Di Indonesia, bapak tinggal di mana?,” dia juga telah terpengaruh dengan dialek itu.
    “Di Labu.”
    “Labu itu di mana Pak? Berhampiran Jakarta atau Bogor?”
    “Kampung Pelegong. Kampung yang ada homestay itu,” jawabku dalam dialek Negeri Sembilan pekat.
    Kah! Kah! Kah!
    Suasana riuh seketika.
    “Minta maaflah. Saya ingat tadi, tuan orang Indonesia!” kekesalan yang amat sangat terpancar pada wajahnya.