LEBIH
tiga bulan sejak awal Januari lalu aku menghadapi rutin yang berbeza. Kalau
sebelum ini, setelah menghantar Siti Adibah ke sekolah pada kira-kira jam 7.00
pagi, aku sempat bersantai sambil menghirup Nescafe panas di beberapa warung yang
berbeza atau ke Pasar Selasa Ampangan, dalam tempoh ini aku memasuki dunia
baharu; sebagai buruh binaan.
Sejak mengenali pekerja binaan berketurunan
Indonesia yang membuat kerja ubahsuai rumah seorang teman, aku bagai terpanggil
untuk kembali ke zaman silamku, menjadi tukang rumah sementara menunggu
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1970 dahulu.
Waktu itu aku membantu abah, seorang tukang
rumah yang disegani di Batu 8, Labu dan sempat berpeluang membina beberapa
rumah jiran sekampung.
“Cuba kira berapa kayu 2X3X12, 2X6X8 yang
diperlukan?,” begitu selalunya abah meminta aku mengira jumlah kayu. Walaupun
abah tidak bersekolah, kadang-kadang dia lebih cepat mendapatkan hasil darab
atau tambah.
“Indonpun masuk kerja jam 8.00 pagi dan
balik jam 5.00 petang. Kau agaknya dari Irian Jaya, buruh yang masuk kerja
sebelum subuh, balik hampir azan Maghrib dan masuk balik lepas Isya’,” begitu
selalunya usikan Rahman atau Atok, jiranku di Taman Pinggiran Golf.
Tidak tahu kenapa, penyakit workaholicsku menyerang lagi. Malam
bagaikan tidak sempat menunggu siang untuk kerja bersama-sama Pak Udin, Walid, Musli,
Inung, Muhajir atau yang lain untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan dan
ubahsuai rumah yang baharu dibeli daripada lelongan awam untuk dijadikan
pejabatku, Studio Sang Pencerita.
Aku tidak perlu makan ubat darah tinggi lagi
kerana setiap hari bermandi peluh dan blog ini turut menjadi mangsanya – tidak dikemaskini
walaupun setiap hari ada cerita baharu, berlaku.
Oleh kerana cuaca agak panas kebelakangan
ini, aku selalunya tidak berbaju sama ada sewaktu menukar parquet atau meratakan tanah di belakang rumah.
Pada suatu pagi yang cerah, Pak Udin membawa
pekerja yang dipanggil karyawan, yang baharu datang dari Makasar untuk
membantu. Sebaik-baik tiba di tingkat atas, Inung diminta membantu aku membaiki
lantai yang sebahagiannya rosak.
Untuk berbasa-basi, anak muda ini segera
menegurku,” Sudah berapa hari kerja Pak?”.
“Baharu dua hari,” jawabku sambil
menyembunyikan sengeh.
Hanya pada sebelah petangnya, baharu Inung
tahu bahawa akulah pemilik rumah itu.
“Tak perlu minta maaf. Inung tidak melakukan
apa-apa kesalahan,” beberapa kali aku menegaskan kata-kata itu apabila Inung,
bekas pengurus Perusahaan Ikan Kerapu di Bali memohon maaf kerana menyangkakan
aku juga sepertinya, buruh binaan Indonesia.
Pada petang yang sama, peristiwa yang hampir
sama juga berlaku. Seorang kontraktor tempatan datang bertamu untuk melihat
kerja-kerja binaan yang dalam proses peringkat akhir.
“Kemas kerjanya. Selain susunan bata, plasternya cukup halus,” katanya yang
juga cuba berbasa-basi. Aku yang terus-terusan menggunakan bahasa Indonesia
sewaktu bercakap, melayannya dengan ramah.
Setelah hampir sejam berbual, keinginannya
untuk mengenali diriku kelihatan semakin memuncak.
“Di Indonesia, bapak tinggal di mana?,” dia
juga telah terpengaruh dengan dialek itu.
“Di Labu.”
“Labu itu di mana Pak? Berhampiran Jakarta
atau Bogor?”
“Kampung Pelegong. Kampung yang ada homestay
itu,” jawabku dalam dialek Negeri Sembilan pekat.
Kah! Kah! Kah!
Suasana riuh seketika.
“Minta maaflah. Saya ingat tadi, tuan orang
Indonesia!” kekesalan yang amat sangat terpancar pada wajahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan