Rabu, 16 Mei 2012

Hadiah Hari Guru Paling Berharga


Cikgu Normah bagaikan sayu sewaktu menceritakan kisah sedih
yang membabitkan rakan sekelasku.* maaf, masih berbaju hijau lagi.
SEWAKTU sedang memberi peralatan untuk kerja-kerja kayu di Kedai Ardee, aku terserempak Cikgu Normah Hamid, guru bahasaku sewaktu di tingkatan satu.
    “Assalamualaikum! Selamat Hari Guru!,” aku segera menyapanya dalam nada kerinduan.”
    “Zul ke? Sudah bersarakan?,” jawabnya segera. Suara gurunya masih seperti dahulu – ramah dan memikat.
    “Alhamdulillah! Mata cikgu nampaknya sudah pulih. Dalam sekelip mata, cikgu sudah mengenali saya kembali,” kataku gembira.
    Sejak menjalani pembedahan, katanya pandangannya sudah semakin pulih berbanding sewaktu aku temuinya ketika mengundangnya ke majlis persaraanku pada Disember 2009.
    Cikgu Normah Hamid amat dekat di hatiku. Guru lepasan Institut Bahasa, Lembah Pantai inilah pencetus inspirasiku untuk menjadi penulis (baca ceritanya dalam entri sebelum ini).
    “Apa buat sekarang selepas bersara?,” tanyanya kembali yang ditemani anak sulungnya, Yusri.
    “Saya ingin mengongsi pengetahuan dan pengalaman dengan anak bangsa dengan menubuhkan studio – Studio Sang Pencerita,” kataku.
    “Di mana studio itu?,”
    “Selang empat pintu daripada rumah saya,” jawabku sambil mempelawanya singgah.
    Dia tidak keberatan lalu meminta Yusri mengekori motosikalku.
    Walaupun pada awalnya Cikgu Normah memberitahu mungkin dia singgah seketika sahaja kerana Yusri ada urusan di ladang kambingnya, lama juga kami dapat berbual.
    Aku berasa puas kerana buat pertama kalinya aku dapat menghidangkan kopi yang kubancuh sendiri untuk guruku yang banyak berjasa khususnya dalam bidang penulisan.
    “Berbeza sangat guru dahulu dan kini,” komennya bersahaja.
    “Saya turut berasa berdosa sekiranya guru kini tidak seperti dahulu cikgu! Hampir 20 tahun saya di Instiut Pendidikan Guru. Saya turut menyumbang ke arah perkembangan itu,” jawabku pasrah.
    “Terima kasih cikgu! Terlalu banyak yang kau berikan, sehingga bila-bilapun tidak dapat saya balas,” bagai mengalir air mataku sewaktu melafazkan kata yang baharu kucatat dalam entri pagi tadi.
    “Yusri! Emak you sumber inspirasi saya.”
    “Bijak pandai ada mengatakan – A teacher teaches. A good teacher explains. An excellent teacher inspired,”
    “Emak you berada pada kategori ketiga.”
    Sewaktu menghantarnya ke kereta, masih jelas di mataku sewaktu Cikgu Normah Hamid mengajar kami di bangunan SRK Tamil Nilai kerana bangunan Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said sedang dalam proses pembinaan.
    “Datang lagi cikgu!”
    Dia menyambut pelawaan dengan lambaian. Sayu sekali.
    

Selamat Hari Guru!


Terima kasih guru-guru Sekolah Kebangsaan KGV yang mendidik
 anak bongsuku, Siti Adibah yang sering dikatakan cucuku.

ALAM keguruan terasa segar apabila sejak semalam, rakan-rakan sudah menghantar ucapan Selamat Hari Guru sama ada melalui Facebook, SMS, panggilan telefon dan pagi ini ucapan itu disampaikan secara bersemuka.
    Walaupun sudah meninggalkan kerjaya ini sejak lebih dua tahun lalu, aku masih dipanggil cikgu walaupun di mana sahaja berada, selain satu lagi panggilan pilihan iaitu `Haji’.
    Turut membuat panggilan khusus untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru ialah bekas murid yang kuajar sewaktu di Tahun 6 hampir 40 tahun lalu, Ghani Ismail yang kini turut menjadi `rakan bisnesku.’
    “Haji! Selamat Hari Guru. Ini sahaja yang ingin saya cakapkan pagi ini,” kata Ghani yang kini berkhidmat di Wisma Negeri, Seremban.
    Suasana segar alam keguruan semakin terasa apabila aku turut diundang menyertai sambutan Hari Guru di sekolah anak bongsuku, Sekolah Kebangsaan KGV.
    Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa PIBG, pelawaan pihak sekolah aku terima dengan senang hati. Walaupun diundang pada jam 7.30, aku sudah tercegat di sekolah lebih awal.
    Aku sempat membantu mengambil foto guru sempena hari yang bersejarah ini.
    Bagaimanapun aku agak tersentak apabila menerima pesanan ringkas daripada bekas rakanku sewaktu di IPG Kampus Raja Melewar dahulu.
    Sebagai penggerak utama beberapa perniagaan MLM, rupa-rupanya sambutan Hari Guru turut `dimanfaatkan’ untuk kerja-kerja pemasaran.
    Aku pernah bersama-samanya sewaktu awal persaraan dalam satu bisnes MLM yang `menghanguskan’ sebahagian wang graduitiku.
    “Marilah menjadi guru kaya daripada menjadi guru terpedaya. Marilah menikmati kehidupan daripada meneruskan kehidupan. Lupakan soal pinjaman. Mari kita selesaikan hutang. Selamat Hari Guru! Kalau nak berubah, cari saya.”
    Pesanan ringkas itu segera aku balas, dengan ringkas juga.
    “Terima kasih tapi jangan perdayakan guru dengan kata-kata yang kemudiannya kita sendiri tidak percaya.”
    Aku katakan begitu kerana pensyarah ini sering sahaja `berhijrah’ dari satu syarikat MLM ke syarikat MLM yang lain. Kalau percaya dengan syarikat MLM yang sedang `dijual dengan penuh semangat membakar’, mengapa perlu ke syarikat lain pula, fikirku.
    “Alright Boss!,” jawapan pesanan ringkas diterima daripadanya. Jelas benar terlihat di mataku wajah tembam rakanku yang sentiasa selamba apabila menerima kritikan atau kutukan.

Sabtu, 5 Mei 2012

Guru Contoh Adalah Kawanku, Sayangnya Ulama Tak Mahu Menjadi Sahabat…



Aku mempunyai seorang sahabat yang aku hormati; yang mempunyai banyak pengalaman dalam mendidik anak bangsa. Pengalamannya mendidik meliputi dari mula anak kita ke sekolah di darjah satu sehingga beliau mengajar di Institut Pendidikan Guru yang menghasilkan bakal guru-guru pula, malah beliau juga adalah seorang penulis, pengarang dan berkemahiran dalam bidang grafik.
    Aku menghormatinya kerana konsep yang digunapakai dalam menerapkan ‘keterbukaan’nya agar anak bangsa berupaya menggunakan akal fikiran dengan lebih matang; bukan sahaja dalam menjalankan tugas, malah dalam mengharungi kehidupan mereka yang mendatang.
    Katanya:  “Aku boleh `bantai’ murid dan murid juga aku benarkan `membantai’ aku sekiranya tidak bersetuju. Syaratnya, ada alasan yang kukuh dan jitu”. Itulah guru dan sahabatku yang bernama Zulkifli Abu, anak kampung dari Pelegong, orang Nogori.
    Konsep keterbukaan inilah yang berupaya menjana bangsa yang bertamadun dengan mengasah murid untuk belajar menggunakan alam fikirannya sebaik mungkin dan perkara yang sama telah difirmankan bahawa mereka yang tidak menggunakan akal fikirannya adalah seperti binatang dan pada ayat yang lain telah difirmankan pada kita manusia dalam surah Al-Anbyia’ ayat 67;
    21:67
Offin lakum walima ta’udoona min dooni Allahi afala taAAqiloon
"Adoiiii!!!! kamu dan apa yang kamu taati dari selain Allah! Mengapa kamu tidak menggunakan akal fikiran?"
    Dalam kita mencari pegangan diri, harus kita mulakan dengan otak kita dan kemudian akal fikiran sebelum mendalami kepada akal budi. Begitulah kita manusia harus belajar dari bawah, bertatih kemudian berjalan lalu berlari sekiranya mahu.
    Bila kita mahu memahami sesuatu perkara terutamanya soal berkaitan Islam, soal apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh Nabi, soal apa yang dimaksudkan dalam mushaf Al-Quran, para ulama seharusnya mempunyai sikap yang terbuka dan memikirkan mengapa dalam Islam sendiri terdapat `kasta’ seperti Sunni, Syiah, Wahabi dan sebagainya. Setiap `kasta’ akan mengatakan merekalah yang benar dan merekalah berhak masuk syurga. Benarkah demikian?
    Kalau kita berbeza pendapat, walaupun telah diberikan hujah, namun yang sering dilemparkan adalah: “Kau ni dah sesat ni”. Apakah ulama telah diberi ‘mandat’ oleh Tuhan untuk menghukum orang lain sesat? Semua yang beragama terutamanya Islam percaya Tuhan itu Esa. Kita yang Muslim merujuk kepada Al-Quran sebagai panduan, cuma bezanya antara kita adalah bagaimana fahaman kita terhadapnya dan adakah kita harus percaya pada sesuatu pendapat sahaja? Maka kita harus renungkan, gunakan akal fikiran, jangan terus resapkan apa orang lain kata dengan sewenang-wenangnya, fikir dahulu!!!
    Barangkali  ini lah sebabnya `ulama’ tidak mahu berkawan denganku kerana aku mempunyai konsep menerima hujah-hujah yang diberikan untuk direnungkan dahulu sebelum kita guna pakai sesuatu fahaman, bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 18:
    39:18
Allatheena yastamiAAoona alqawlafayattabiAAoona ahsanahu ola-ika allatheenahadahumu Allahu waola-ika hum oloo al-albab
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
    Tahniah dan terima kasih cikgu Zul kerana telah berusaha menerapkan konsep yang sedemikian, semoga Allah memberi hidayahnya.
    Wallahualam.

Oleh: Nazarudin Hashim

Khamis, 3 Mei 2012

Anak muda, Syeikh dan Facebook


Cerita cerenti, taik mata jadi inti, yang empunya cerita tidak mahu menyebutkan tempat berlakunya peristiwa ini, tapi di sebuah pusat belajar untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah. Syeikh yang alim memberikan ceramah dan kebetulan dalam jamaah tersebut hadir seorang anak muda yang telah menemani ibunya yang akan menunaikan ibadah rukun islam tersebut.
    Syeikh: Ada sebuah taman syurga di dalam masjid Nabawi yang bernama "raudhah" yang mengabulkan segala doa. Jika anda berkunjung ke sana berdoalah.
    Beliau membacakan Hadis Rasulullah SAW yg bermaksud "Adalah di antara rumahku dan mimbarku terdapat satu taman daripada taman-taman syurga.” (Riwayat Imam Bukhari)
    Anak Muda: Maafkan saya ya Syeikh! Benarkah yang demikian?
    Syeikh: Benar anak. Demikian diterangkan dalam sebuah hadis sahih yang telah saya bacakan tadi, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya antara mimbarku dan kuburku adalah raudhah (taman) dari sebahagian taman-taman syurga, perbanyakkanlah solat dan berdoa di sana.
    Anak Muda: Maaf sekali lagi ya Syeikh. Waktu bersabda demikian, Rasulullah masih hidup apa sudah wafat?
    Syeikh: Ya tentulah masih hidup. Bukankah baginda bersabda di depan para sahabatnya, kalau sudah wafat macam mana nak bersabda, ya tak?
    Anak Muda: Kalau baginda masih hidup bagaimana mungkin baginda tahu tempat kuburnya? Bukankah baginda belum dikuburkan  sedangkan tempat penguburan baginda tidak ditentukannya, melainkan mengikut sejarah melalui mesyuawarah para sahabat yang kemudian di kuburkan di tempat wafatnya iaitu di rumah Aisyah?."
    Syeikh: Rasulullah adalah seorang Nabi yang mulia, yang mengetahui yang akan datang dengan perantaraan wahyu, jangan disamakan dengan kita manusia biasa, baginda maksum.
    Anak Muda: Maaf Syeikh. Syeikh kata Rasulullah mendapat wahyu tapi dalam Surat Al-Ahqaf ayat 9 dikatakan: "Katakanlah: "Aku bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku dan tidak (pula) terhadapmu. Jadi Rasulullah tidak tahu apa yg akan terjadi pada dirinya. Bagaimana baginda tahu tempat kuburnya dan dengan bersabda bahawa antara mimbar dan kuburnya adalah raudhah?"
    Syeikh: Anda ingkar Hadis ya? Inilah anak muda zaman ini, banyak terpengaruh dengan Facebook, ini semua buatan orang Yahudi yang dilaknat Allah.
    Anak Muda: Syeikh, maaf sekali lagi. Syeikh ini ingkar dengan Qur'an ke? Maaf ya pak Syeikh…… Assalamualaikum!
oleh: Nazarudin Hashim