Rabu, 16 Mei 2012

Hadiah Hari Guru Paling Berharga


Cikgu Normah bagaikan sayu sewaktu menceritakan kisah sedih
yang membabitkan rakan sekelasku.* maaf, masih berbaju hijau lagi.
SEWAKTU sedang memberi peralatan untuk kerja-kerja kayu di Kedai Ardee, aku terserempak Cikgu Normah Hamid, guru bahasaku sewaktu di tingkatan satu.
    “Assalamualaikum! Selamat Hari Guru!,” aku segera menyapanya dalam nada kerinduan.”
    “Zul ke? Sudah bersarakan?,” jawabnya segera. Suara gurunya masih seperti dahulu – ramah dan memikat.
    “Alhamdulillah! Mata cikgu nampaknya sudah pulih. Dalam sekelip mata, cikgu sudah mengenali saya kembali,” kataku gembira.
    Sejak menjalani pembedahan, katanya pandangannya sudah semakin pulih berbanding sewaktu aku temuinya ketika mengundangnya ke majlis persaraanku pada Disember 2009.
    Cikgu Normah Hamid amat dekat di hatiku. Guru lepasan Institut Bahasa, Lembah Pantai inilah pencetus inspirasiku untuk menjadi penulis (baca ceritanya dalam entri sebelum ini).
    “Apa buat sekarang selepas bersara?,” tanyanya kembali yang ditemani anak sulungnya, Yusri.
    “Saya ingin mengongsi pengetahuan dan pengalaman dengan anak bangsa dengan menubuhkan studio – Studio Sang Pencerita,” kataku.
    “Di mana studio itu?,”
    “Selang empat pintu daripada rumah saya,” jawabku sambil mempelawanya singgah.
    Dia tidak keberatan lalu meminta Yusri mengekori motosikalku.
    Walaupun pada awalnya Cikgu Normah memberitahu mungkin dia singgah seketika sahaja kerana Yusri ada urusan di ladang kambingnya, lama juga kami dapat berbual.
    Aku berasa puas kerana buat pertama kalinya aku dapat menghidangkan kopi yang kubancuh sendiri untuk guruku yang banyak berjasa khususnya dalam bidang penulisan.
    “Berbeza sangat guru dahulu dan kini,” komennya bersahaja.
    “Saya turut berasa berdosa sekiranya guru kini tidak seperti dahulu cikgu! Hampir 20 tahun saya di Instiut Pendidikan Guru. Saya turut menyumbang ke arah perkembangan itu,” jawabku pasrah.
    “Terima kasih cikgu! Terlalu banyak yang kau berikan, sehingga bila-bilapun tidak dapat saya balas,” bagai mengalir air mataku sewaktu melafazkan kata yang baharu kucatat dalam entri pagi tadi.
    “Yusri! Emak you sumber inspirasi saya.”
    “Bijak pandai ada mengatakan – A teacher teaches. A good teacher explains. An excellent teacher inspired,”
    “Emak you berada pada kategori ketiga.”
    Sewaktu menghantarnya ke kereta, masih jelas di mataku sewaktu Cikgu Normah Hamid mengajar kami di bangunan SRK Tamil Nilai kerana bangunan Sekolah Menengah Dato’ Mohd Said sedang dalam proses pembinaan.
    “Datang lagi cikgu!”
    Dia menyambut pelawaan dengan lambaian. Sayu sekali.
    

Tiada ulasan: