Khamis, 18 Oktober 2012

Melihat Festival Buku dari Stesen Kereta Api




Perjalanan Florence-Venice dengan kereta api laju, mengingatkan aku kepada janji penyelaras projek penulisan buku berunsur nilai kira-kira tiga tahun lalu. Mazlan meminta aku menunggu giliran untuk dihantar sama ada di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt atau Festival Buku Kanak-kanak Antarabangsa di Bologna, Italy.
     “Tahun ini kami hanya dapat menghantar Jenice ke Frankfurt dan Omar ke Bologna. Biar kita hantar ketua kumpulan dulu,” katanya semacam memujuk sambil menghirup kopi.
     Sebenarnya aku tidaklah segelojoh itu. Aku akui untuk tahun pertama itu sewajarnyalah Jenice dan Omar yang pergi. Jenice ialah ketua panel buku versi bahasa Inggeris manakala Omar pula ialah ketua versi bahasa Melayu.
     Mazlan mengatakan aku layak berada di pusingan kedua kerana aku bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua versi buku itu. Pengalamanku dalam bidang pengurusan penerbitan banyak memudahkan tugasnya. Malah, Mazlan mengakui beliau agak buta dalam bidang ini.
     Selain Jenice dan Omar, aku dengar Mazlan juga termasuk dalam delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt pada tahun itu.
     “Sewajarnyalah dia pergi. Mazlanlah yang merealisasikan hasrat bos nombor satu kami yang mahukan penghasilan buku berunsur nilai diperbanyakkan,” bisik hatiku.
     Tindakan Mazlan juga bermakna dapat menutup “malu” organisasi kami yang pernah ditegur oleh Perdana Menteri sendiri.
     “Kementerian you selalu bercakap mengenai nilai murni. Berapa banyak buku berunsur nilai murni yang dihasilkan,” begitulah antara kata-kata Perdana Menteri.
     Sebagaimana biasa, hanya dengan “batuk” Perdana Menteri boleh menyebabkan orang yang mendengar tahu apa-apa yang perlu dibuat, apatah lagi kalau beliau berkata secara langsung seperti itu.
     Oleh kerana itulah, kami yang dikenali sebagai penulis guru dikumpulkan untuk projek khas itu. Semua penulis guru; tidak mengira mereka dari sekolah rendah, sekolah menengah atau maktab perguruan dilantik sebagai panel penulis. Aku dengar, Mazlan juga yang memilih ahli panel ini.
     “Bologna!” Tiba-tiba aku terdengar pengumuman. Aku tersedar daripada lamunan. Isteri yang duduk di sebelah semacam kehairanan melihat aku tersenyum sendirian.
     Sebaik-baik kereta api berhenti, aku turun di stesen dan meminta anak sulungku mengambil fotoku dengan kamera digitalnya. Latar belakang foto itu ialah nama stesen itu, “Bologna”.
     Siti Haryati kelihatan semacam kehairanan apabila melihat aku menarik nafas panjang selepas fotoku dirakamkan.
     “Mengapa ayah?,” Tanya Haryati.
     Aku tidak menjawab tetapi dalam hati tercetus juga kata, “Dapat juga aku menjejakkan kaki di Bologna walaupun tidak dapat melihat pesta bukunya.”
     Lantas aku membaca surah Alfatihah, tanda bersyukur.