“Tahun ini kami hanya dapat menghantar
Jenice ke Frankfurt dan Omar ke Bologna. Biar kita hantar ketua kumpulan dulu,”
katanya semacam memujuk sambil menghirup kopi.
Sebenarnya aku tidaklah segelojoh itu. Aku
akui untuk tahun pertama itu sewajarnyalah Jenice dan Omar yang pergi. Jenice
ialah ketua panel buku versi bahasa Inggeris manakala Omar pula ialah ketua
versi bahasa Melayu.
Mazlan mengatakan aku layak berada di
pusingan kedua kerana aku bertindak sebagai penyelaras bagi kedua-dua versi
buku itu. Pengalamanku dalam bidang pengurusan penerbitan banyak memudahkan
tugasnya. Malah, Mazlan mengakui beliau agak buta dalam bidang ini.
Selain Jenice dan Omar, aku dengar Mazlan
juga termasuk dalam delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt pada
tahun itu.
“Sewajarnyalah dia pergi. Mazlanlah yang
merealisasikan hasrat bos nombor satu kami yang mahukan penghasilan buku
berunsur nilai diperbanyakkan,” bisik hatiku.
Tindakan Mazlan juga bermakna dapat menutup
“malu” organisasi kami yang pernah ditegur oleh Perdana Menteri sendiri.
“Kementerian you selalu bercakap
mengenai nilai murni. Berapa banyak buku berunsur nilai murni yang dihasilkan,”
begitulah antara kata-kata Perdana Menteri.
Sebagaimana biasa, hanya dengan “batuk”
Perdana Menteri boleh menyebabkan orang yang mendengar tahu apa-apa yang perlu
dibuat, apatah lagi kalau beliau berkata secara langsung seperti itu.
Oleh kerana itulah, kami yang dikenali
sebagai penulis guru dikumpulkan untuk projek khas itu. Semua penulis guru;
tidak mengira mereka dari sekolah rendah, sekolah menengah atau maktab
perguruan dilantik sebagai panel penulis. Aku dengar, Mazlan juga yang memilih
ahli panel ini.
“Bologna!” Tiba-tiba aku terdengar
pengumuman. Aku tersedar daripada lamunan. Isteri yang duduk di sebelah semacam
kehairanan melihat aku tersenyum sendirian.
Sebaik-baik kereta api berhenti, aku turun
di stesen dan meminta anak sulungku mengambil fotoku dengan kamera digitalnya.
Latar belakang foto itu ialah nama stesen itu, “Bologna”.
Siti Haryati kelihatan semacam kehairanan
apabila melihat aku menarik nafas panjang selepas fotoku dirakamkan.
“Mengapa ayah?,” Tanya Haryati.
Aku tidak menjawab tetapi dalam hati
tercetus juga kata, “Dapat juga aku menjejakkan kaki di Bologna walaupun tidak
dapat melihat pesta bukunya.”
Lantas aku membaca surah
Alfatihah, tanda bersyukur.
1 ulasan:
bgs artikelnya mas..mksh
Catat Ulasan