“Salam
Aidiladha Uncle Zul. Sungguh santai
isi kandungan blog uncle. Teruskan berkarya
untuk kami generasi muda mempelajari sesuatu. Cerita-cerita ini juga menarik kalau dibukukan – Along, Kedidi 4.”
Pesanan ringkas yang baharu diterima itu
membawa aku kembali ke Jalan Kedidi 4, Taman Paroi Jaya sekitar awal tahun
80-an. Sebagaimana biasa, petang itu Along dan adiknya, Aboi yang masih rapi
bedaknya bertandang ke rumah untuk bermain dengan anak sulungku, Haryati.
Along dan Aboi tinggal di seberang jalan.
Ayahnya, Anuar bekerja dengan Tenaga Nasional manakala ibunya, Zainab
berkhidmat dengan Telekom Malaysia.
Walaupun hanya bertugas sebagai pembaca
meter, Anuar mengambil perhatian berat mengenai pelajaran anak-anaknya.
Sehingga kini aku masih teringat bagaimana Anuar sering menjadikan pekerjaannya
dan pekerjaan pengutip sampah kakitangan Majlis Perbandaran Seremban (MPS)
sebagai bahan cerita untuk anak-anaknya.
“Ayah terpaksa berjalan dari rumah ke rumah
untuk memeriksa meter. Pekerja MPS itu pula terpaksa bergerak dari rumah ke
rumah untuk mengangkut sampah yang busuk tu. Mahukah Along dan Aboi jadi macam
ini?,” begitulah biasanya aku mendengar Anuar mengingatkan anak-anaknya yang
masih kecil ketika itu.
Di samping memupuk motivasi anak-anaknya,
Anuar turut memberi perhatian berat mengenai akhlak anak-anak. Aboi yang sejak
bersekolah sudah dikenali sebagai siak tidak rasmi Masjid Kariah Paroi Jaya
meneruskan kecintaan dalam bidang keagamaan dengan memilih kerjaya sebagai
Pegawai Agama Polis Di Raja Malaysia.
Along pula yang kini bertugas sebagai pensyarah
di Universiti Teknologi MARA sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
Anuar, ayahnya pula sejak bersara meneruskan khidmat yang ditinggalkkan oleh Aboi sebagai siak
tidak rasmi masjid.
“Alhamdulillah. Walaupun pernah menjalani pembedahan serius,
saya berasa ringan sahaja sewaktu melakukan kerja-kerja pembersihan dalam
masjid,” ceritanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan