Khamis, 14 Februari 2013

BPR1


Sewaktu sedang sibuk memberi talk, getaran telefon bimbit di pinggang membuatkan aku segera mengambilnya dan melihat nombor pemanggil.
    “Ji, boleh cakap sekarang? Ada perkara penting,” suara bos kedengaran jauh.
    Setelah memaklumkan kepada rakan trainerku mengenai panggilan itu, aku terus meluru keluar sambil meneruskan percakapan.
    “Boleh cakap sekarang. Saya dah keluar,” kataku ringkas.
    “Ji! Saya di Batu Pahat. Ini ada masalah besar. EO maklumkan kepada saya pegawai BPR ada di pejabat.”
    “Apa masalahnya?,” tanyaku tenang.
    “Pasal pembelian buku yang Haji uruskan.”
    “Saya sudah diberitahu oleh Puan Noraini dan Anuar,” jawabku pula.
    “Kalau boleh saya minta Haji balik. Selesaikan perkara ini segera,” pintanya.
    “O.K.lah saya akan fikirkan,” jawabku pula sambil meminta kebenarannya untuk memberhentikan perbualan bagi membolehkan aku meneruskan sesi.
    Setelah selesai sesi pagi mengenai Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif di sebuah resort di kaki gunung Kinabalu itu aku terus menghubungi pembekal buku ke pusat sumberku.
    “Rosli. Macam mana buku yang aku pesan dulu?”
    “Ini dah jadi masalah besar Ji. Pegawai BPR ada di pejabat saya sekarang. Sebahagian besar buku sudah ada kecuali buku import. Macam mana ni?,” dia pula yang bertanya.
    “Bercakap benar saja kepada pegawai BPR itu. You boleh beritahu persefahaman yang telah kita buat,” kataku pula.
    “Ini masalahnya. Dia orang sedang siasat aduan yang mengatakan saya telah menerima bayaran sedangkan buku belum dihantar,” suara Rosli lebih cemas kedengaran.
    “Cakap saja perkara yang betul. Tuhan bersama kita,” aku cuba menyejukkannya dan memberhentikan perbualan.
    Waktu makan tengah hari itu aku menghubungi Anuar, pustakawanku untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai kedatangan pegawai BPR ke pejabatku.
    Katanya dia sendiri telah disoalsiasat dan diminta datang ke pejabat BPR untuk memberi keterangan. Disebutnya juga EO, Ketua Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Kewangan juga telah disiasat.
    Berdasarkan maklumat itu aku menelefon EO dan memintanya memberitahu pihak BPR supaya aku disiasat apabila tugasku selesai tiga hari lagi.

Tiada ulasan: