Khamis, 14 Februari 2013

BPR2


Pengadu turut berada dalam foto ini. Dia memulakan kerjaya sebagai Pembantu Am Rendah (PAR). Walaupun PAR sistem perkaderan UMNO menjadikan `budak baik ini LEBIH BESAR DARIPADA BOSNYA.'
Tidak seperti biasa, aku mengikut pintu depan ke pejabatku sambil beriringan dengan tetamuku – empat pegawai BPR. Seperti selalu, aku mempelawa mereka duduk dengan penuh hormat.
    Setelah mengambil nafas beberapa ketika sambil memerhati apa yang ada di sekeliling, pegawai wanita itu terus melontarkan soalan demi soalan dengan penuh kesopanan.
    Aku menjawabnya dengan penuh sopan juga.
    ”Saya akan memberi sepenuh kerjasama. Saya akan bercakap benar walaupun saya tahu kata-kata saya ini nanti boleh memerangkap saya kembali,” aku membuat pengakuan.
    Kata-kata seperti itu mengingatkan aku kepada beberapa siri  perbicaraan di mahkamah. Aku dibicarakan kerana kes menjadi penjamin. Aku tetap hadir setiap kali dipanggil sedangkan peminjam sebenar iaitu rakan baikku tidak pernah berbuat demikian kecuali di peringkat akhir hukuman dijatuhkan.
    “Mungkinkah peristiwa seperti ini berulang?,” aku bertanya kepada diri sendiri.
    “Boleh saya dapatkan pay-slip?.”
    Aku segera menarik laci dan menyuakannya kepada mereka.
    “Boleh saya dapatkan buku bank?”
    “Saya tidak ada buku bank. Saya cuma ada akaun semasa.”
    “Kalau macam itu, beri saya penyata bank,” pintanya.
    “Penyata bank saya tidak ada di sini. Saya simpannya di rumah.”
    “Boleh tak Tuan Haji balik ke rumah dan kami mengikut dari belakang?”
    “Saya minta kerjasama supaya tidak ikut saya ke rumah. Isteri saya di peringkat akhir menyiapkan tesis sarjananya. Saya tidak mahu dia terganggu.”
    Mereka tidak dapat memenuhi permintaanku. Mereka akan ikut juga. Itu syarat kerja mereka.
    “Bolehlah ikut saya ke rumah. Bagaimanapun saya minta kerjasama supaya tidak meletak kereta di hadapan rumah saya. Lihat saja dari jauh,” aku membuat permintaan dan mereka akur juga.
    Oleh kerana jarang balik ke rumah pada waktu pejabat, kehadiranku pada pagi itu membuatkan isteriku hairan. Apatah lagi aku tidak memberitahunya mengenai peristiwa itu walaupun aku telah mengetahuinya sejak di Kundasang lagi.
    Lebih menghairankannya aku terus ke peti besi dan tercari-cari sesuatu di situ.
    “Cari apa?,”
    “Penyata bank.”
    “Buat apa?” soalnya lagi. Masih dalam nada kehairanan sambil menyapu rumah.
    “Pegawai BPR ada di depan tu. Mereka sedang siasat tuduhan. Abang dikatakan menyelewengkan duit pusat sumber.”
    Setelah mendapat apa yang yang aku cari, aku terus keluar.
    “Jangan risau. Insya-Allah tuhan bersama kita,” kataku ringkas sambil memberikan ciuman di pipinya.

Tiada ulasan: