Khamis, 14 Februari 2013

BPR3


Sambil beriringan, aku dipelawa masuk ke ruang yang tertulis di pintu “Tutup pintu rapat-rapat”. Ruang itu agak besar dan di dalamnya terdapat beberapa bilik. Sebaik-baik masuk, tiga pegawai mengambil tempat masing-masing dan mula mengemukakan soalan.
    “Saya telefon Tuan Haji pukul 10.00 malam tadi. Mengapa tidak jawab?”
    “Flight saya delay. Hanya pada pukul 8.45 kami dapat berangkat. Tiba di KLIA lebih kurang jam 11.00.”
    “Tuan Haji sudah tahu kes ini bukan?”
    “Saya sudah dimaklumkan oleh pengarah saya.”
    “Boleh Tuan Haji jelaskan proses pembelian buku tahun 2006?”
    “Berdasarkan pekeliling terbaru, saya membuat pembelian terus daripada lima syarikat. Asalnya lapan syarikat. Saya diingatkan oleh Pengarah supaya tidak membeli daripada tiga lagi syarikat itu kerana mereka tidak bertaraf syarikat bumiputera.”
    “Berdasarkan aduan, salah satu syarikat itu telah menerima bayaran sedangkan buku belum dihantar?”
    “Biasanya untuk mengelakkan AP58 saya menandatangani LO dan meminta CC menahan cek sekiranya barang yang dipesan tidak dihantar sepenuhnya. Saya tidak menjangka pembayaran tahun ini dibuat terus ke akaun pembekal.”
    “Adakah Tuan Haji tahu bahawa perbuatan ini menyalahi prosedur kewangan?”
    “Saya tahu. Walaupun niat tidak laku di mahkamah, saya membuat tindakan ini semata-mata untuk menjaga kepentingan pengguna pusat sumber saya khususnya pelajar. Saya tidak mahu peruntukan ini tidak di belanjakan.”
    “Mengapa tidak bertindak awal?”
    “Kami hanya menerima waran pada penghujung  Ogos dan minta dibelanjakan sebelum 31 Oktober. Saya tidak dapat mencari pembekal bumiputera yang membekalkan buku Cina dan Tamil. Oleh kerana itu saya meminta kerjasama salah satu pembekal yang turut membekal buku Melayu dan Inggeris berbuat demikian.
    “Pembekal ini tidak mendapat faedah satu sen pun daripada urusan pembelian buku Cina dan Tamil ini. Saya memintanya membeli daripada tiga syarikat yang dicadangkan oleh jabatan akademik yang berkaitan. Mereka telah membuat pemilihan buku dan diberikan sebut harga.”
    “Tuan Haji sudah minum?”
    “Belum.”
    “Tuan Haji nak makan apa? Kami boleh belikan.”
    “Bolehkah tuan-tuan membelikan makanan saya?,” aku mengemukakan soalan bodoh.
    Ketiga-tiga mereka tersenyum. Bagaimanapun makanan yang dipesan hanya tiba kira-kira 45 minit kemudian dan kami makan bersama di ruang kecil di bahagian belakang.
    “Sebentar lagi Tuan Haji diminta membuat pernyataan yang akan direkodkan,” kata pegawai wanita muda itu.
    Aku terkedu. Setelah beberapa jam berlalu rupa-rupanya soalan itu tidak direkodkan. 

Tiada ulasan: