Aku dibawa ke sebuah bilik yang sederhana besarnya. Sedia
menanti seorang pegawai penyiasat muda yang berbekalkan sebuah komputer bimbit
di atas meja.
”Azman,” katanya
memperkenalkan diri.
Aku menyambut
salamnya sambil dapat mengesan beberapa peralatan rakaman moden di dindingnya.
”Saya dari pejabat
BPR di Melaka. Pegawai penyiasat Negeri Sembilan tidak boleh mengendalikan kes
ini kerana adik Tuan Haji, Halimaton Saadiah adalah PA Pengarah di sini. Bias nanti,” katanya memulakan
perbualan.
Aku mengangguk.
”Saya akan
merekodkan pernyataan dalam komputer ini.” Matanya mengarah kepada komputer di
atas meja.
Sejak jam 10.30
pagi itu aku diajukan soalan demi soalan. Aku terus menjawab tenang. Tidak ada
satupun yang aku sorokkan.
Sesi itu
bagaimanapun terpaksa dihentikan kerana tiba waktunya untuk bersembahyang
Jumaat. ”Pukul 2.45 nanti, datang lagi,” pintanya.
Sehinggalah sesi
disambung di sebelah petang, aku dapat melihat Azman terkial-kial mengendalikan
komputer bimbitnya. Sebagai pemegang sarjana dalam bidang Komputer Dalam
Pendidikan, aku dapat merasakan betapa Azman seorang novis.
”Alah! Hilang
lagi,” Azman merungut apabila fail beberapa pernyataanku tidak dapat dipanggil
kembali. Aku segera memberi arahan bagaimana cara mengatasinya.
Insiden itu
berlaku berulang kali. Azman juga kulihat terkial-kial sewaktu menaip. Di
wajahnya terlihat rasa tidak senang.
”Sebenarnya Tuan
Haji cuma suspek kami. Pertuduhan tidak boleh dibuat selagi kami tidak mendapat
bahan bukti,” katanya seolah-olah ingin menutup rasa kesalnya.
Aku relaks saja.
Sesi petang itu hanya
berakhir hampir waktu maghrib. Tempoh lebih empat jam bukannya dipenuhi untuk
mengambil pernyataanku tetapi lebih berupa kuliah pertama bagaimana
mengendalikan Microsoft Word.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan