Sekarang sudah lebih enam bulan. Aku masih tidak tahu
kedudukan sebenar pertuduhan yang dikenakan kepadaku. Terus-terang dikatakan,
aku cukup bosan menghadapi suasana ini.
Semua staf
maktab telah tahu cerita ini. Malah beberapa rakan di maktab lain telah
mendengar cerita yang sama. Haji Zul telah songlap duit buku bernilai RM72,000.
”Patutlah dia
mampu pakai dua Mercedes, satu Honda Jazz dan sebuah lagi kereta Kembara.” Begitulah
antara kata-kata yang kudengar ketika beberapa kawan mengumpat.
Mereka tidak
tahu cerita sebenar di sebalik kemampuanku memiliki empat kereta. Mercedes 190E
itu aku bawa balik dari Manchester. Harga kereta itu cuma £3,000 yang dibeli
tunai daripada isteri Azim yang tidak mampu membawanya pulang dulu.
Aku mampu beli
tunai kerana harganya cuma RM29,000 termasuk cukai, hasil jualan kereta Honda
Prelude sebelum ke England dulu.
Mercedes C200
berwarna biru tua itu milik isteriku, yang dibeli daripada wang simpanannya.
Kereta Perodua
Kembara pula aku beli melalui pinjaman kerajaan – sengaja dibeli untuk mendapat
pengalaman bagaimana berhutang dengan kerajaan. Honda Jazz pula dibeli untuk kegunaan anak sulung kami, Siti
Haryati.
Oleh kerana
bosan menunggu kedudukan kes sebenar, aku sering sahaja menelefon Puan Salwa,
ketua pegawai penyiasat.
”Puan. Fahamilah
keadaan saya. Semua orang di maktab sudah tahu, saya rasuah. Bila BPR datang,
maknanya saya rasuah. Mereka tidak tahun keadaan sebenar.
”Dato’ Johari
Baharom seorang Timbalan Menteri. Surat khabar boleh siarkan berita bila dia
komplen kesnya tidak ada asas. Bagi orang macam saya... orang kecil ... mana
surat khabar nak pakai cerita saya walaupun saya berkhidmat lebih 15 tahun
secara sambilan dengan Berita Harian,” kataku minta difahami.
”Itulah tidak
adilnya. Bila ada aduan, kes masuk surat khabar. Bila tidak ada bukti, cerita
hilang begitu saja. Terus-terusanlah saya dituduh rasuah sehingga mati,” kataku
memberikan lojik mudah.
Hanyalah lebih
setahun kemudian, aku mendapat maklum kes itu tidak dipanjangkan untuk
pendakwaan kerana tidak ada bukti. Itupun aku sendiri yang sering menelefon;
bukannya makluman bertulis daripada BPR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan