Isnin, 4 Mac 2013

Pingat DSNS Untuk Latiff Mohidin



PADA tahun berikutnya enam nama lagi dicalonkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) untuk diberikan anugerah sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
     Seorang daripadanya adalah nama besar, anak kelahiran Lenggeng. Nama ini dicalonkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan sendiri.
  Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu lagi nama tokoh ini disebut-sebut sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja’afar untuk dianugerahkan gelaran Dato’ tetapi seolah-olah tidak ada tindak susul daripada mana-mana pihak.
     Sebagai pencinta lukisan, Tuanku berkenan benar dengan karya-karya Latiff Mohidin yang juga seorang penyair yang disegani.
     Oleh sebab Menteri Besar sendiripun memikirkan tokoh ini sepatutnya lama dahulu diberikan gelaran Dato’, Bung Mokhtar Alias (Setiausaha Akhbar MB) ditugaskan memikul amanah ini dan seperti biasa dia menghubungi kami.
     Setelah menghubungi beberapa pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan kenalannya, kami mendapat beberapa maklumat semasa mengenai Latiff.
     Kami tahu beliau menetap di Pulau Pinang, tetapi kadang-kadang beliau kembali juga ke Wangsa Maju, rumah yang kini didiami anak lelakinya.
     Beberapa panggilan telefon dibuat, Latiff masih tidak dapat dihubungi.
     Akhirnya aku, Bung dan Kak Mahaya Mohd Yassin (Ketua Satu PEN) bersepakat untuk terus menuju ke Wangsa Maju pagi itu.
     Dengan izin Allah, tidak sukar kami mencari rumah beliau. Kebetulan waktu itu, anaknya yang difahamkan bertugas di Astro baharu sahaja pulang dari pejabat.
     Setelah menjelaskan tujuan kedatangan kami, dengan penuh budi-bahasa anaknya memberi reaksi.
     “Terima kasih. Ayah ada memaklumkan kepada kami mengenai perkara ini. Kata ayah, sejak menerima berita ini, dia bagaikan demam. Dia bagaikan tidak boleh melukis lagi,” katanya terus terang.
     Kami menghormati pendiriannya lalu memohon izin pulang.

Pingat DSN untuk Dr. Ramli Isin

Dr. Ramli dan isteri Foto: afyassin.blogspot.com

PAGI  lagi Bung Mokhtar (Mokhtar Alias, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan) sudah menelefonku di pejabat.
     “Cikgu! Boleh datang ke pejabat tak ambil surat Dr. Ramli Isin?,” pintanya dalam suara puas.
     “Alhamdulillah! MB bersetuju dengan senarai cadangan yang kita kemukakan kepada pihak istana bagi golongan penulis yang akan dianugerahkan pingat,” katanya lagi ceria.
     Tanpa berlengah, aku segera ke Tingkat 5, Wisma Negeri untuk menemui Bung.
     “Kesemua enam nama yang kita cadangkan nampaknya diterima. Oleh sebab sudah kesuntukan masa, saya minta cikgu serahkan sendiri watikah tawaran ini kepada Dr. Ramli Isin. Dia dianugerahkan pingat Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS),” pintanya.
     Seperti Bung, aku juga terasa bahagia. Manakan tidak, nama-nama penulis yang dicadangkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) untuk diberikan pingat, dipersetujui sepenuhnya.
     Sejak mengambil alih kepimpinan negeri, Dato’ Seri Mohamad Hassan ternyata mengambil perhatian berat mengenai penulis. Bung diamanahkan bekerjasama dengan persatuan penulis untuk mencalonkan nama-nama yang layak. Pada tahun pertama, Dr. Rahman Kaeh dianugerahkan gelaran Dato’.
     Apa yang lebih menggembirakan, Dr. Ramli Isin, seorang pengkritik sastera yang disegani adalah bekas guruku sewaktu bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu pada awal tahun 1960-an dahulu.
     Terbayang wajah bekas guruku yang mula kelihatan uzur walaupun masih bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
     Sebagai bekas murid, aku memang rapat dengan Dr. Ramli. Selain bertemu di majlis-majlis sastera, Dr. Ramli yang tinggal di Kampung Jiboi sering ditemui di Pasar Tani Ampangan.
     Sepertimana yang dikenali oleh manusia yang sering berurusan dengannya, Dr. Ramli adalah seorang yang sederhana. Selain jarang ditemui berkasut (beliau lebih selesa bercapal), aku sudah lama dapat mengesan sifatnya yang tidak suka diagung-agungkan.
     Setelah menerima salamku, Dr. Ramli yang masih aku panggil cikgu mempelawa aku masuk ke rumahnya. Tanpa membuang masa, aku terus menjelaskan tujuan kedatangan.
     “Beginilah Zul! Saya ucapkan terima kasih kepada pihak persatuan dan Kerajaan Negeri. Tugas Zul dan persatuan telah selesai. Tugas menerima atau tidak anugerah ini, adalah tugas saya,” katanya bersahaja.
     Aku bagaikan kehilangan suara untuk memberi reaksi.