Dr. Ramli dan isteri Foto: afyassin.blogspot.com |
PAGI lagi Bung Mokhtar (Mokhtar Alias, Setiausaha
Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan) sudah menelefonku di pejabat.
“Cikgu! Boleh datang ke pejabat tak ambil
surat Dr. Ramli Isin?,” pintanya dalam suara puas.
“Alhamdulillah! MB bersetuju dengan senarai
cadangan yang kita kemukakan kepada pihak istana bagi golongan penulis yang
akan dianugerahkan pingat,” katanya lagi ceria.
Tanpa berlengah, aku segera ke Tingkat 5,
Wisma Negeri untuk menemui Bung.
“Kesemua enam nama yang kita cadangkan
nampaknya diterima. Oleh sebab sudah kesuntukan masa, saya minta cikgu serahkan
sendiri watikah tawaran ini kepada Dr. Ramli Isin. Dia dianugerahkan pingat
Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS),” pintanya.
Seperti Bung, aku juga terasa bahagia.
Manakan tidak, nama-nama penulis yang dicadangkan oleh Persatuan Penulis Negeri
Sembilan (PEN) untuk diberikan pingat, dipersetujui sepenuhnya.
Sejak mengambil alih kepimpinan negeri, Dato’
Seri Mohamad Hassan ternyata mengambil perhatian berat mengenai penulis. Bung
diamanahkan bekerjasama dengan persatuan penulis untuk mencalonkan nama-nama
yang layak. Pada tahun pertama, Dr. Rahman Kaeh dianugerahkan gelaran Dato’.
Apa yang lebih menggembirakan, Dr. Ramli
Isin, seorang pengkritik sastera yang disegani adalah bekas guruku sewaktu
bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu pada awal tahun 1960-an
dahulu.
Terbayang wajah bekas guruku yang mula
kelihatan uzur walaupun masih bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Sebagai bekas murid, aku memang rapat
dengan Dr. Ramli. Selain bertemu di majlis-majlis sastera, Dr. Ramli yang tinggal
di Kampung Jiboi sering ditemui di Pasar Tani Ampangan.
Sepertimana yang dikenali oleh manusia yang
sering berurusan dengannya, Dr. Ramli adalah seorang yang sederhana. Selain
jarang ditemui berkasut (beliau lebih selesa bercapal), aku sudah lama dapat
mengesan sifatnya yang tidak suka diagung-agungkan.
Setelah menerima salamku, Dr. Ramli yang
masih aku panggil cikgu mempelawa aku masuk ke rumahnya. Tanpa membuang masa,
aku terus menjelaskan tujuan kedatangan.
“Beginilah Zul! Saya ucapkan terima kasih
kepada pihak persatuan dan Kerajaan Negeri. Tugas Zul dan persatuan telah
selesai. Tugas menerima atau tidak anugerah ini, adalah tugas saya,” katanya
bersahaja.
Aku bagaikan kehilangan suara untuk memberi
reaksi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan