Isnin, 17 Jun 2013

Sembu: Apa Lagi Yang Mahu Dicari?

Sembu masih seperti dahulu
“Aku tunggu di Stesen Caltex,” suara ceria Sembu jelas kedengaran sewaktu aku menyatakan sedang dalam perjalanan ke rumahnya pagi itu.
     Sebelum masuk ke simpang, aku sudah dapat mengesan rakan sekolahku itu walaupun sudah kira-kira 45 tahun tidak bertemu. Sembu yang tinggi lampai sedang menunggu di atas motosikalnya di jalan masuk
Isteri Sembu
ke stesen minyak itu.
     Sebaik keluar kereta, kami berpelukan tanpa perlu mengesahkan bahawa aku Zul dan dia Sembu. Keharuan mengusap di hati.
     Tanpa banyak bertanya lebih lanjut, Sembu segera meminta aku mengekorinya untuk menuju ke sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan yang pertama kali aku jejaki itu.
     “Ini isteri aku,” Sembu memperkenalkan isterinya yang kelihatan menggunakan alat bantu untuk berjalan.
     “Dia kena kencing manis yang teruk Zul. Dulu dia lawa,” katanya lagi sambil aku menyambut salamnya.
     Sambil menanti Sembu menyediakan minuman, mataku sempat meleret ke seluruh ruang tamunya. Aku dapat mengagak Sembu seorang penganut Hindu yang patuh. Dinding ruang tamunya dihiasi foto saminya yang bersaiz besar dan beberapa berhala kecil.
     Sambil menyorot kisah silam sewaktu di alam persekolahan, Sembu sama sepertiku masih dapat menyebut nama rakan sekelas. Maka muncullah nama-nama seperti Zaharil, Azam, Razali Othman, Razali Burok, Said, Kamal Daud, Fauziah, Suriah, Normala, Md. Derawi, Ramlo, Mohd Shah, Sardin, Tuminah, Prabakaran dan lain-lain.
     “Kau ingat tak lagi Zul kawan kita Arifin, budak Kondok?,” Tanya Sembu.
     Layar fikirku terus tertancap satu tubuh kering melidi yang tidak terurus itu.         
     “Setiap kali aku bertemunya di Nilai, aku bawa dia makan dan memberi seringgit dua. Tapi aku selalu minta dia jangan terus mengambil benda itu,” cerita Sembu.
     Aku juga sempat berbuat seperti Sembu dan kemudiannya aku dapat tahu sahabat kami itu tidak dapat menghalang menjadi korban dadah laknat itu.
     Sewaktu ingin berkongsi pengisian tempoh persaraan yang mula kurasakan sepi kebelakangan ini, aku cuba menarik perhatian Sembu berbicara mengenai perkara itu.
     “Selain menjaga isteri yang perlukan bantuan, apa yang you lakukan untuk memenuhi waktu? Ada buat bisnes atau apa-apa ke?” tanyaku.
     “Zul! Dalam umur sebegini apa yang hendak kita cari lagi? Apa yang penting kalau diberi ke syurga nanti, harap-harap dapatlah syurga yang terbaik,” katanya sambil menguntum senyum yang telah aku kenali sejak lebih 40 tahun itu.

     

Jumaat, 7 Jun 2013

Mengenang Sembu

Sembu. Sepanjang pengetahuanku, hanya rakan sekolahku ini sahaja bernama begitu di kalangan orang India yang ada di dunia ini. Setelah dapat bercakap dengannya melalui telefon kelmarin, Semboo membawa aku kembali ke zaman persekolahan hampir 50 tahun yang lalu.
     Tinggal di Kampung Pelegong, memaksa aku berjalan kaki kira-kira dua Kilometer sebelum menunggu bas di pekan kecil Batu 8, Labu untuk bersekolah di Nilai yang terletak kira-kira 15 Kilometer pula.
     Agak sendiri jam berapa aku terpaksa keluar dari rumah sebelum meredah denai yang masih basah oleh embun pagi.
     Apa yang pasti aku tidak boleh terlepas bas yang tiba kira-kira jam 6.30 pagi. Di pekan Batu 8, Labu biasanya telah menunggu beberapa rakan sekampung sama ada yang bersekolah di Seremban atau Nilai.
     Oleh kerana Batu 8, Labu berada di tengah-tengah perjalanan Seremban-Nilai, kami yang mula bersekolah menengah pada tahun 1966 diarahkan ke Nilai kerana sekolah baharu dalam proses pembinaan.
     Sementara bangunan siap,kami menumpang di SRJK (Tamil) dan SRJK (Cina), Nilai.
     Masih jelas, bas sentiasa sesak – berhenti dan menyambung perjalanan; bukan di pondok menunggu tetapi pada setiap  hentian yang ada rumah berhampiran jalan.
     Di persimpangan jalan berhampiran Ladang Labu, biasanya telah menunggu Sembu, Prabakaran dan beberapa rakan lain.
     Seperti yang lain Sembu yang bertubuh kurus itu lengkap berpakaian serba putih – kemeja, seluar pendek, stokin dan kasut yang biasanya berjenama Fung Keong.
     Sembu memang rapat denganku. Entah kenapa kami ada chemistry untuk bersahabat.
     Walaupun aku juga anak orang susah (bapaku hanya tukang kampung) tapi aku dapat merasakan Sembu lebih susah lagi. Bapanya penoreh getah di Ladang Labu dan sering juga dia bercerita mengenai kesulitan hidupnya khususnya sewaktu musim hujan.
     Biasanya kami membawa bekalan dari rumah untuk dimakan sewaktu rehat. Kalau tidak berlaukkan telur goreng kicap, aku selalunya berlaukkan sambal sahaja ataupun ikan kering digoreng berlada.
     Entah kenapa pada hari itu kedua-dua kami tidak membawa bekalan. Mungkin kami diberi wang saku yang lebih. Lebih-lebihpun tentunya tidak melebihi 20 sen. Jadi pada hari itu kami dapat membeli makanan di kantin.
     Masih jelas dalam pandangan, bagaimana kami terpaksa beratur panjang. Dengan 20 sen yang ada dapatlah kami membeli sekeping karipap dan segelas air sirap.
     Baharu hampir separuh karipap dikunyah, loceng tamat rehat berbunyi. Sehingga kini aku masih tidak dapat menerima kelurusan Sembu yang berhenti makan semata-mata terdengarnya bunyi loceng itu apatah lagi sebahagian karipap yang  masih berbaki dibuang begitu sahaja. 

Rabu, 5 Jun 2013

Sembu, Budak Ladang Labu

Sewaktu bertembung dengannya di lobi hotel sebentar tadi, aku mengambil kesempatan untuk bertanya lebih lanjut mengenai Saravanan, yang dikatakan isteriku berasal dari Labu,Seremban itu.
     “Awak orang Labu ya?,” tanyaku kepada pemuda yang lengkap berbaju Melayu dan bersongkok itu.
     “Ia,” angguknya mesra. “Kenapa pakcik?,” jawab bell-boy Hotel Summit USJ itu ramah.
     “Labu di mana?”
     “Labu Estate.”
     “Pakcik berasal dari Batu 8, Labu.”
     “Taklah jauh sangat dari rumah saya tu.”
     “Dulu Pakcik ada kawan sekolah yang tinggal di situ.”
     “Siapa nama dia Pakcik?”
     “Sembu.”
     “Pakcik bersekolah di Sekolah Menengah Dato’ Mohd. Said, Nilai dulu ke?.”
     Aku mengangguk.
     “Sembu tu ayah sayalah Pakcik,” jawab Saravanan dalam senyuman manisnya. Lantas senyuman itu mengingatkan aku kepada senyuman Semboo.
     Gembira dengan jawapannya itu aku lantas meminta telefon ayahnya.
     “017-6186230,” Saravanan segera memberi nombor telefon bimbit ayahnya.
     Apa lagi, aku terus menghubunginya.
     “Hello! Sembu ke tu?”
     “Ya, saya. Siapa tu?” kedengaran suara yang sempurna sebutan bahasa Melayunya di hujung talian.
     “Aku Zul. Zulkifli Abu kawan sekolah kau masa tingkatan satu. Tahun 1966 dulu.”
     “Zuuuuuuuuuuul! Apa khabar? Sejak lepas sekolah kita tak jumpa kan?”
     “Yalah! Lebih 40 tahun bukan?”
     “Kau di mana ni?”
     “Aku di Hotel Summit, USJ. Aku dapat nombor kau daripada Saravanan.”
     “Saravanan?”
     Aku lantas memberi telefonku kepada Saravanan dan kedua-duanya kedengaran bercakap dalam bahasa Tamil yang tidak aku fahami.
     “Kau buat apa sekarang Zul?,” Sembu tidak sabar bertanya sebaik-baik telefon diserahkan kembali kepadaku.
     “Aku dah bersara. Dulu pensyarah di Raja Melewar. Kau tinggal di mana sekarang?”
     “Selepas bersara aku tinggal di Seremban.”
     “Aku juga tinggal di Seremban,” jawabku.
     “Memang belum ada rezeki untuk berjumpa,” katanya ceria.
     “Dulu aku selalu jumpa Hashim Sehat di Labu,” tambahnya.
     “Hashim baharu meninggal dua minggu dulu.”
     “Ya ke?” talian bagaikan terputus seketika.
     “ Zaharil mana sekarang?”
     “Datuk Zaharil sudah bersara.”
     “Razali Othman?”
     “Razali sudah meninggal tahun lalu.” Sembu terdiam seketika.
     “Zul kau ingat tak lagi Sardin? Dia juga tinggal di Labu Estate dulu.”
     “Ingat. Dia sekarang tinggal dekat Giant, Senawang.”
     “Jo? Johari Kasim. Dia di mana sekarang ya?”
“Jo bawa teksi LCCT. Kau ingat tak Azam budak Kubang. Dia Datuk Azam sekarang.”
     “Mengapa tidak ingat! Azizah Kassim tinggal berhampiran rumahnya.”
     “Azizah mati muda,” kataku dan terdengar suara keharuan di hujung talian.
     “Zul! Kau tahu tak Fauziah Hamid juga sudah meninggal.”
     “Aku tahu. Masa tu dia Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah,” jawabku.
     “Zul! Dah lebih 40 tahun kita tak jumpa kan?”
     “Tapi bagaikan baharu semalam kita bersama bukan?”
     “Zul bila kau balik Seremban?”
     “Sabtu ini.”
     “Balik nanti kau datang rumah aku ya. Kita boleh bercerita panjang nanti.”
     Aku bagaikan tidak sabar untuk menanti hari Sabtu.