Isnin, 17 Jun 2013

Sembu: Apa Lagi Yang Mahu Dicari?

Sembu masih seperti dahulu
“Aku tunggu di Stesen Caltex,” suara ceria Sembu jelas kedengaran sewaktu aku menyatakan sedang dalam perjalanan ke rumahnya pagi itu.
     Sebelum masuk ke simpang, aku sudah dapat mengesan rakan sekolahku itu walaupun sudah kira-kira 45 tahun tidak bertemu. Sembu yang tinggi lampai sedang menunggu di atas motosikalnya di jalan masuk
Isteri Sembu
ke stesen minyak itu.
     Sebaik keluar kereta, kami berpelukan tanpa perlu mengesahkan bahawa aku Zul dan dia Sembu. Keharuan mengusap di hati.
     Tanpa banyak bertanya lebih lanjut, Sembu segera meminta aku mengekorinya untuk menuju ke sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan yang pertama kali aku jejaki itu.
     “Ini isteri aku,” Sembu memperkenalkan isterinya yang kelihatan menggunakan alat bantu untuk berjalan.
     “Dia kena kencing manis yang teruk Zul. Dulu dia lawa,” katanya lagi sambil aku menyambut salamnya.
     Sambil menanti Sembu menyediakan minuman, mataku sempat meleret ke seluruh ruang tamunya. Aku dapat mengagak Sembu seorang penganut Hindu yang patuh. Dinding ruang tamunya dihiasi foto saminya yang bersaiz besar dan beberapa berhala kecil.
     Sambil menyorot kisah silam sewaktu di alam persekolahan, Sembu sama sepertiku masih dapat menyebut nama rakan sekelas. Maka muncullah nama-nama seperti Zaharil, Azam, Razali Othman, Razali Burok, Said, Kamal Daud, Fauziah, Suriah, Normala, Md. Derawi, Ramlo, Mohd Shah, Sardin, Tuminah, Prabakaran dan lain-lain.
     “Kau ingat tak lagi Zul kawan kita Arifin, budak Kondok?,” Tanya Sembu.
     Layar fikirku terus tertancap satu tubuh kering melidi yang tidak terurus itu.         
     “Setiap kali aku bertemunya di Nilai, aku bawa dia makan dan memberi seringgit dua. Tapi aku selalu minta dia jangan terus mengambil benda itu,” cerita Sembu.
     Aku juga sempat berbuat seperti Sembu dan kemudiannya aku dapat tahu sahabat kami itu tidak dapat menghalang menjadi korban dadah laknat itu.
     Sewaktu ingin berkongsi pengisian tempoh persaraan yang mula kurasakan sepi kebelakangan ini, aku cuba menarik perhatian Sembu berbicara mengenai perkara itu.
     “Selain menjaga isteri yang perlukan bantuan, apa yang you lakukan untuk memenuhi waktu? Ada buat bisnes atau apa-apa ke?” tanyaku.
     “Zul! Dalam umur sebegini apa yang hendak kita cari lagi? Apa yang penting kalau diberi ke syurga nanti, harap-harap dapatlah syurga yang terbaik,” katanya sambil menguntum senyum yang telah aku kenali sejak lebih 40 tahun itu.

     

Tiada ulasan: