Bersama murid di hadapan pintu rumah pegawai Felda |
Selepas
melapor diri dengan Cikgu Fadil Rahim, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda
Jengka 4, Maran, Pahang pada 7 Januari 1974 aku dan anak Jawa dari Selangor,
Baijuri Mus telah disediakan rumah sewa – rumah peneroka yang belum diisi.
Dengan hanya berbekalkan sebiji beg kotak
setiap seorang kami memulakan hidup baharu sebagai guru terlatih di petempatan
Felda yang baharu dibuka kira-kira setahun.
Tidak lama kami di rumah itu – cuma
kira-kira setahun. Selepas itu kami diminta mengosongkannya kerana ada peneroka
baharu yang hendak masuk.
Tidak seperti di kampung atau di bandar,
rumah sewa boleh dicari. Di petempatan Felda, rumah hanya dibina untuk pegawai
dan peneroka. Guru 10 orang, kuarters guru cuma ada dua unit – satu untuk Guru Besar
dan satu lagi untuk Guru Penolong Kanan, Cikgu Nordin Mohamad. Jadi yang lain hendak tinggal di mana?
Pekan paling dekat Maran. Dekat-dekatpun
kira-kira 32 Kilometer manakala kampung terdekat, Kampung Kuala Sentul . Paling
cepat untuk sampai ke Kuala Sentul pula
perlu melalui jalan pintas dengan meredah denai hutan.
Kebetulan ada sebuah rumah pegawai yang
kosong. Jadi aku, Baijuri dan turut diikuti Mohd Latif Muda bermukim di situ.
Tidak sampai setahun, Felda memerlukan
kuarters itu untuk staf baharunya. Tanpa ada pilihan lain, kami bertiga dan
kemudiannya diikuti empat guru yang baharu datang termasuk Cikgu Malik Mohamad
(Setiausaha Agung Partai Sosialis Rakyat Malaya Pahang) terpaksa tinggal di
stor sekolah yang berukuran 10 X 40 kaki.
Di stor itulah kami tujuh orang tinggal dan
menjadikan tandas di sebelahnya sebagai dapur. Tandas? Ia tandas. Kami tidak
ada tempat lain untuk meletakkan dapur untuk menjerang air. Untuk ke kedai,
agak jauh.
Di situlah aku yang ketika itu sudah
bergelar Guru Penolong Kanan tinggal sehingga berpindah ke Sekolah Rendah
Kebangsaan Tunku Besar Tampin pada tahun 1979.
Pakaian pula terpaksa dibasuh pada hujung
minggu sahaja kerana tidak sanggup membiarkan murid-murid kami melihat apa yang
tergantung di penyidai kain yang bertiangkan tiang bendera sekolah.
Walaupun sudah mula menulis untuk akhbar
ketika itu, hatiku sedikitpun tidak terbuka untuk memaparkannya di media.
Jadi, isu murid menggunakan bilik
persalinan yang bagiku kelihatan bersih sebagai kantin sekolah tidak sedikitpun
menyentuh sensitivitiku. Sebagai bekas stringer, ia juga tidak menarik hatiku
untuk dijadikan bahan berita sehingga memungkinkan Menteri Pendidikan
mengeluarkan amaran untuk mengenakan tindakan kepada Guru Besarnya. Isu
nasionalkah itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan