Isnin, 29 Julai 2013

Mencabar Tuhan



"Haji, saya pernah mencabar Tuhan. Haji tahu apa jadi? Tidak sampai sehari permintaan saya ditunaikan,” begitu kata Naza sewaktu aku dipanggil ke studionya pada suatu pagi.
     “Haji percayalah cakap saya. Kalau ada masalah, mengadu sahaja kepada Dia. Dia Maha Besar. Dia Maha Penyayang,” bersungguh-sungguh benar  Naza yang selama ini aku kenali sebagai manusia yang jarang bercakap mengenai ketuhanan dan mengamalkan suruhan wajib harian bercakap mengenai mukjizat Allah.
     Selain menguruskan syarikat pengurusan acara, membekal perkhidmatan sistem audio-video dan pencahayaan, aku memang sering dipanggilnya untuk kerja-kerja produksi program televisyen dan persembahan multimedia.
     Naza memang pemurah. Tanpa diminta, setiap kerja yang aku buat diberikan upah yang agak lumayan.
     Hanya pagi  itu baharu aku tahu Naza juga telah menurut jejakku – menjadi Si Bankrap.
     “Sama macam Haji. Saya jamin kawan.”
     “Berapa jumlahnya?”
     “RM75,000.00”
“Wau!,” aku tersentak.
     Walaupun Naza selalunya mengambil mudah sesuatu perkara, tapi gelaran Si Bankrap itu tidak digemarinya kerana ia boleh menganggu bisnesnya. Dia bukan bisnes peringkat kampung dan negeri lagi tapi peringkat kebangsaan. Dia pembekal sistem audio-video  dan pencahayaan untuk Malam Ambang Merdeka, Citrawarna, Le Tour de Langkawi dan beberapa projek besar lagi sejak beberapa tahun lalu.
     “Jadi apa kau buat?,” aku bertanya kembali.
     “Macam saya kata tadilah. Saya cabar Tuhan.”
     “Macam cerita Hindustan sahaja,” usikku.
     “Hari ini saya cabar Dia, besoknya saya menerima panggilan daripada seorang pegawai kanan di Putrajaya,” Naza terus bercerita.
     “Apa yang dia minta?”
     “Dia minta tolong uruskan persembahan bunga api macam biasa. Tapi katanya bajetnya kecil kali ini.”
     “Jadi kau tak buatlah?”
     “Bukan Haji tak tahu. Jarang saya menghampakan orang. Apatah lagi beberapa kali dia merayu dan meminta tolong.
     “Selalunya projek macam itu cukup dengan belanja sekitar RM70,000 hingga RM80,000.”
     “Jadi berapa dia bayar?”
     “Dia benar-benar merayu, bajetnya kali ini cuma RM140,000.”
     “Jadi, kau untung besarlah?,” ketawaku pecah.
     “Ini bukan cerita untung rugi Ji. Ini cerita pertolongan Allah.  Mungkin Allah buka hati pegawai itu untuk memberi projek itu kepada saya.
     “Syukur! Saya bersyukur Ji. RM75,000 tu saya bayar kepada Jabatan Insolvensi. Saya bebas seperti biasa sekarang Ji.”
     “Percayalah cakap saya Ji! Allah sahaja yang boleh menyelesaikan masalah kita. Jangan mengadu kepada yang lain.
     Betul kata Al-Quran. Al-Quran itu ada segala-galanya,” Naza terus ghairah bercakap mengenai kebesaran Al-Quran kerana beliau kini kadang-kadang sanggup tidak tidur untuk memahami Al-Quran.
     “Saya panggil Haji datang ini pun, nak minta tolong uruskan penerbitan Kitab Memahami Al-Quran yang sedang saya kerjakan sekarang. Orang akan dapat menghayati kandungan Al-Quran sekiranya bahasanya mudah,” katanya.
     Entah kenapa tiba-tiba aku merasa sayu dan hiba.

Tiada ulasan: