Secara
tepat aku tidak ingat bila penyakit tidak bernama itu bertandang kembali buat
kesekian kalinya dalam perjalanan hidup menjelang dekad keenam ini.
Kalaulah tempoh beberapa bulan selepas
persaraan aku dijenguk penyakit yang sama dan aku anggap itulah siri yang
paling teruk tetapi berjaya aku hadapinya tapi kali ini ia lebih parah lagi.
Aku benar-benar tersungkur.
Bayangkan seorang lelaki yang sering
dilihat ceria di waktu kerjanya, lebar padang kenalannya, sering disebut-sebut
ketinggian tutur-katanya telah menjadi mayat hidup yang berjalan tanpa arah
tuju.
Lebih memalukan lelaki yang sering diundang
untuk berpencak di pentas-pentas kursus motivasi ini telah meranapkan
kredibilitinya apabila dia tidak menjadi seperti apa yang dicakapkannya lagi.
Apabila ini terjadi, perkara yang paling
digemari akan dibencinya. Dia akan benci komputernya. Dia akan benci rumah dan
persekitarannya. Dan paling pasti, dia tidak boleh mengarang lagi.
“Saka kau teruk. Tengok muka kau. Muka kau
sudah tidak ada seri lagi. Orang nak bagi kau mati ni,” begitu kata Nasir,
kenalan lama yang aku temui secara kebetulan sewaktu hendak membeli makanan.
“Duduk sini,” pintanya sambil dia meminta
pembantunya memberikannya tasbih dan minyak atar.
Disapunya minyak atar itu kepada mukanya
dan mukaku lalu mulutnya berkumat-kamit.
“Sejak bila kau jadi bomoh ni?,” sempat aku
bertanya kehairanan.
Dia diam. “Insya-Allah kau akan pulih
nanti.”
Sudah berbulan-bulan pertemuan itu berlaku
dan aku masih begini – semakin tidak menentu. Aku terus bermusabah dan mencabar
diri,” Hei Zul! Kau sudah tua. Dah nak masuk 60 tahun. Takkan inipun kau tidak
boleh hadapi!”
“Cikgu. Jangan mengurung diri. Bawa-bawalah
keluar dan berjumpa dengan kami,” sesekali Zamri, rakan bisnes hartanahku cuba
mengingatkan.
Sewaktu mengadu dengan Ustaz Mohd Ayub
Yassin pula, dia meminta aku membaca hadis terjemahan Al-Quran dalam bahasa Melayu
mudah, tulisannya.
Akhirnya aku `ke sekolah kembali’ dengan
membuka kitab dan membeli buku seumpama `Rahmat Di Sebalik Musibah’, `Tuhan Sedang
Menguji Kita’ dan pelbagai blog berkaitan perkara ini aku terokai.
Pada malam menjelang 1 Ramadhan, tersimpul
mudah konklusi hasil pembacaan dan pandangan rakan. Aku perlu melakukannya;
bukan sekadar mengetahuinya.
“Pertamanya taubat. Taubat nasoha. Jangan ulangi
lagi perkara yang ditegah dan dilarang.
“Patuhi segala perintah-Nya. Jangan
melewat-lewatkan solat. Berjemaahlah!”
“Bacalah Al-Quran dan fahaminyalah.”
“Musibah diberi kepada orang yang mampu
menghadapinya.”
“Eh! Tidaklah sesukar mana!”
Alhamdulillah. Aku telah menemui diriku
kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan