Profesor Dato' Dr. Murad Ahmad (kanan) |
“Ayah!
Saya tumpang cikgu balik,” budak perempuan yang aku anggarkan berusia sembilan tahun
itu mencium tangan Dato’ Murad Ahmad yang duduk bersebelahanku.
Wajahnya yang menggambarkan anak kacukan
India-Melayu itu begitu kudus kulihat.
“Ayah, saya juga balik sama,” seorang lagi
gadis kecil menghulurkan tangan sambil tersenyum manja.
“Ayah?’” tanyaku kepada Dato’ Murad,
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan KGV pada malam
meraikan anak-anak yatim itu, kelmarin.
“Untuk pengetahuan you, kesemua anak-anak yatim yang saya pelihara memanggil saya
ayah,” kata tokoh korporat tempatan yang sudah lebih 10 tahun diberi kepercayaan
mengemudikan PIBG sekolah tempat anak aku belajar itu.
“Berapa orang yang you pelihara sekarang?”
“Lebih 200 orang.”
“200?,” aku kehairanan.
Walaupun aku tahu Dato’ Murad memelihara
anak yatim melalui Yayasan Murad yang ditubuhkan sejak 1988 itu, tapi aku tidak
pernah menjangka jumlahnya sebesar itu.
Sebelum menganggotai Jawatankuasa PIBG
sekolah kira-kira tiga tahun lalu, serba sedikit aku tahu juga latar belakang
Dato’ Murad yang tinggal bersebelahan sekolah ini.
Dulu, dia memang tokoh perniagaan Melayu
yang disegani. Punya kilang kayu dan beberapa perniagaan lain dan pernah diberi
kepercayaan mengemudikan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan.
Bagaimanapun selepas itu terdengar juga
khabar berita, perniagaannya menghadapi masalah tetapi beberapa tahun kemudian
mampu pula menubuhkan East-West College. Kolej ini pula diserahkan kepada
rakanku, Mokhtar Alias, mantan Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan wartawan
Berita Harian yang kukenali agak lama itu menguruskannya.
“Bilalah lagi saya mampu buat macam Dato’?,”
celah Cikgu Tamyis, Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan KGV yang duduk
minum bersama selepas solat tarawih itu.
“Bayangkanlah! Lebih 200 anak yatim
mendoakan Dato’ Murad setiap hari,” katanya.
“Banyak you
belanja untuk beri makan-minum dan menyekolahkan budak-budak itu?,” bagaikan
tiba-tiba perasaan ingin tahuku terpancut.
“You
percaya tak? Selain menyediakan tempat penginapan, sudah lama saya tidak
mengeluarkan duit untuk membeli keperluan makan-minum mereka,” katanya dalam
senyum.
“Kalau Dato’ tidak beli, siapa pula yang
sediakan?,” perasaan ingin tahuku semakin membuak.
“Tak tahulah. Saya tidak pernah nampak sesiapapun
yang menghantarkannya. Bila saya ke asrama mereka, saya lihat ada sahaja beras,
gula, biskut dan pelbagai lagi. Berguni-guni pula tu,” katanya selamba.
Aku semakin kehairanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan