Along Amat, sebelah kiri. Pak Kitam sebelah kanan Sang Pencerita |
Sewaktu
berbual-bual dengannya di anjung belakang rumah, baharu kusedari Along Amat,
sepupu tertua di sebelah emak sudah lama tidak ke rumahku.
Sewaktu berhari raya di rumahnya malam
semalam, Along Amat ingin kepastian sama ada aku berada di rumah keesokan
harinya kerana dia akan datang.
“Lama dah along tak ke sini,” katanya. “Dulu
along ikut Anjung,” sambungnya yang merujuk adik keduanya.
Sambil berbual aku sempat menyelami wajah
sepupuku yang sudah berusia kira-kira 63 tahun itu.
Sebagai pesara tentera, Along Amat masih menyara
kehidupan dengan membawa teksi setelah lama menjadi pemandu peribadi tokoh
korporat di Kuala Lumpur.
“Agak uzur juga sepupuku ini,” bisik hati.
Lantas filem tahun 1970 bermain di layar benakku.
“Hantar surat kat Long Amat kau. Nenek tak
ada duit. Abah kau pula buat hal,” kata nenek sewaktu menjengukku di serambi.
Memang nenek yang meminta aku tinggal di
rumahnya bersama Anjung, Tapa dan Mansor; adik-adik Long Amat yang sudah lama yatim
piatu.
Aku tahu nenek menyedari badai sedang
melanda kehidupan rumahtangga emak dan abah. Abah ketika itu gilakan Mariamah,
janda peninggalan seorang lelaki Inggeris.
Seperti yang diarahkan Nenek Siti, aku
lantas mengoyakkan sehelai kertas buku latihan sekolah lalu menulis warkah yang
antara lain berbunyi begini.
“Ke hadapan kekandaku Yahafi Yaacob, semoga
kekanda berada dalam keadaan sihat-walafiat hendaknya.
Tujuan adinda menulis surat ini adalah untuk
meminta wang sebanyak RM70.00 bagi bayaran yuran Sijil Pelajaran Malaysia.
Untuk pengetahuan kekanda, adinda kini
tinggal bersama nenda kerana menurut katanya adinda akan lebih selesa untuk
menghadapi peperiksaan di rumahnya.”
Seingat-ingatku, kira-kira seminggu kemudian
satu kiriman wang berjumlah RM70.00 tiba dari alamat yang bertulis Pulau
Sebatik, Sabah.
Along Amat ketika itu bertugas sebagai
tentera di perbatasan Malaysia-Indonesia.
“RM70.00 ini adalah kira-kira setengah bulan
gaji kasar Along Amat,” bisik hatiku. Tanpa disedari air jernih bergenang di
mata.
Sambil meneruskan perbualan dalam penuh
keceriaan di anjung yang menghadap Kelab Golf Antarabangsa, Seremban itu
benakku terus tertancap soalan demi soalan.
“Apakah yang terjadi agaknya kalau Along
Amat tidak mengirimkan wang RM70.00 itu? Di manakah nenek akan meminjam? Di
mana pula emak hendak mencekau wang sebesar itu? Untuk mencari abah, menurut emak
dia sudah pandai tidak balik ke rumah.”
“Ya Allah! Sesungguhnya atas keagunganmu jua
segala-galanya menurut perencanaan-Mu. Dilahirkan Along Amat untuk suatu hari
nanti dapat membantu sepupunya yang bermasalah.
“Atas perencanaan-Mu juga, emak dan abah
didatangkan ujian penguji kesetiaan cinta yang pernah terakru.
“Pastinya jua dilahirkan Zulkifli anak Abu agar
dia menjadi makhluk yang dapat memahami erti sebenar bersyukur. Mengapa dia
terus-terusan berasa tidak puas sedangkan 1,001 nikmat telah kaucurahkan
sepanjang tempoh hampir enam dekad ini.”
Tanpa dapat disekat, aku tidak dapat menahan
sebak ketika mengakhiri catatan ini.
“Allahu Akbar! “Allahu Akbar!,” Haji Aziz, bilal
Masjid Paroi Jaya kedengaran jelas memanggilku untuk solat Subuh.
1 ulasan:
Dalam kehidupan, setiap manusia yang dilahirkan akan saling melengkapi. Mengapa manusia masih tidak menyedari?
Catat Ulasan