Kira-kira setahun yang
lalu iaitu sehari sebelum hari kemerdekaan, aku telah didatangi oleh seorang
gadis Cina yang menawarkan kad cabutan seakan-akan 'kad cabutan bertuah'. Kejadian
itu berlaku ketika aku berada di dalam kereta sendiri untuk pulang ke rumah
setelah selesai berurusan dengan sebuah bank.
Sebaik saja aku memasuki kereta, si gadis Cina itu datang
menghampiri dan terus menghulurkan beberapa keping kad berbentuk segiempat
bujur dan bersaiz lebih-kurang seperti business
card. Dia meminta aku memilih satu daripada kad-kad yang ada di dalam
pegangan tangannya.
"Abang pilih satu kad, kalau ada nasib baik boleh dapat
hadiah," katanya dalam Bahasa Melayu pelat kecinaan.
"Hadiah apa?", tanyaku pula.
"Macam-macam hadiah ada. Kalau abang ada luck boleh
dapat kereta, tv, motorbike, dan cash pun boleh dapat," balas
amoi tersebut.
"Betul ke?," tanyaku lagi. Dalam masa yang sama
tanganku telahpun mengambil sekeping kad yang dihulurkan.
"Bukalah itu kad,
boleh tengok betul ke atau tak betul", Amoi itupun menunjukkan caranya dan
kemudian membantu aku mengoyakkan kad tersebut untuk melihat apa yang ada di
dalamnya. Apabila kad tersebut telah terbuka, hanya perkataan Thank You
yang tertera. Perkataan itu dicetak berwarna-warni dan kelihatan agak menarik.
"Ayooo!, abang betul tak ada ong lah. Itu thank you maksud tak ada hadiah. Sorry
ya, abang tak ada ong ma…,” katanya.
"Ooo, itu macam ka? Lagi satu kali mau cabut boleh ka?,"
pintaku dengan harapan aku diberi peluang untuk membuat cabutan buat kali
kedua. Mana tau kalau-kalau cabutan kali kedua nanti membawa tuah kepadaku.
"Sorry abang, satu
orang boleh cabut satu kali saja. Tapi, kalau kakak mau cuba cabutan, boleh,"
begitu penjelasan si amoi sambil matanya memandang ke arah isteriku yang duduk
di sebelah kiriku.
Seterusnya dia menambah lagi, "Mana tau kalau kakak ada ong, boleh dapat hadiah. Ini cabutan
percuma untuk hadiah hari merdeka," katanya dengan dengan agak
panjang-lebar. Dia cuba untuk meyakinkan isteriku supaya turut berminat dan
seterusnya membuat cabutan sebagaimana yang telah aku lakukan.
Isteriku mengeleng-gelengkan kepala sambil berkata "tak mau
lah, you bagi orang lain, saya tak mau,” kata isteriku dengan nada yang
tegas.
Jawapan isteriku itu menyebabkan aku yang merasa terkilan. Aku
tidak bersetuju dengan jawapan spontan yang diberikan oleh isteriku itu kerana peluang
untuk mendapat hadiah telah disia-siakannya. Apalah
salah dan apalah susahnya untuk mencabut sekeping kad sebagaimana yang
telah aku lakukan. Begitulah di antara alasan-alasan yang bermain di dalam fikiranku ketika itu.
Dengan nada ala memujuk aku berkata, "Alaaahh! ambil saja
lah, bukan susah sangat, bukan kena bayar, bukan rugi apa-apapun," beberapa
ayat perangsang terkeluar dari mulutku dengan tujuan supaya si isteri turut
mencuba nasib sebagaimana yang telah aku lakukan.
Mungkin kerana sayangkan suami atau mungkin juga disebabkan dia
seorang isteri yang sentiasa taat pada suami, maka isteriku turut mencabut
sekeping kad sebagaimana yang telah aku lakukan. Kad yang dicabutnya itu terus
dihulurkan kepada aku untuk urusan membuka dan melihat isi kandungannya.
Sebaik saja kad kedua itu terbuka, si amoi terus berteriak dengan
suara yang agak lantang kedengaran, "Ayooo! Kakak memang ada ong. Kakak sudah dapat hadiah!
Tahniah kakak! Kakak sudah dapat
hadiah untuk hari merdeka." Begitulah antara kata-kata gadis Cina itu yang
kelihatan sangat gembira di atas kejayaan yang isteriku perolehi.
"Hadiah
apa?," aku mengeluarkan soalan bagi pihak isteriku yang kelihatan seperti
tidak berminat dengan apa yang sedang berlaku. Dia tidak langsung
menunjukkan keterujaannya sebagaimana
yang sedang aku alami ketika itu.
"Saya tak tau hadiah apa. Itu 'bulatan warna merah' maksud
ada hadiah. Mungkin kereta, mungkin tv, mungkin juga wang tunai," kata
gadis Cina itu dengan penuh keyakinan sambil jari telunjuknya menghala ke arah
bulatan kecil berwarna merah yang tertera di dalam kad cabutan yang kedua..
"So, macam mana
nak tau, itu hadiah apa?," soalanku seterusnya. Aku semakin berminat dan
semakin teruja untuk mengetahui hadiah apa yang telah dimenangi.
"Abang kena pergi ofis, jumpa dulu sama saya punya bos. Nanti
tunjuk ini kad sama dia. Nanti saya punya bos boleh 'scan' itu kad, baru
boleh tau apa hadiah yang kakak sudah menang". Demikian penjelasan si amoi
yang membuatkan hatiku semakin teruja untuk
mengetahui apakah hadiah yang sudah kami menangi.
Fikiranku ketika itu mula membayangkan hadiah-hadian yang bakal
aku perolehi. Mungkin sebuah kereta, mungkin sejumlah wang tunai ataupun
mungkin juga hadiah melancong ke luar negara?
Hanya Tuhan yang tahu bagaimana seronoknya perasaanku ketika itu kerana
dengan tidak semena-mena telah mendapat hadiah yang tidak diduga sempena hari
kemerdekaan yang akan tiba esoknya.
"Bila boleh jumpa you
punya bos? Di mana ofisnya? Sekarang boleh tak?" Bertalu-talu soalan aku
ajukan dengan harapan akan segera dapat bersemuka dengan bosnya dan dengan seberapa segeranya aku dapat
membawa pulang 'hadiah Hari Kemerdekaan'.
"Nanti haa, saya call saya punya bos dulu," kata
si amoi untuk mententeramkan sifat ketidaksabaran yang aku tunjukkan. Dia
mengeluarkan handphone dari poket seluarnya dan kemudian terus bercakap
dalam bahasa Cina yang aku tidak faham biji-butirnya. Seketika kemudian dia
menoleh kepadaku dan memberikan jawapan yang aku nanti-nantikan.
"Ok, bos kata boleh. Sekarang abang boleh pergi jumpa saya
punya bos. Dia punya ofis sana depan saja. Tak jauh, jalan kakipun boleh,"
jelas si gadis sambil menunjukkan jarinya ke arah sederet bangunan kedai tiga
tingkat yang boleh dilihat dari tempat kami berada.
'Ok, saya mau jumpa sekarang. You
ikut sekalilah. Mari naik saya punya kereta". Aku mempelawa gadis tersebut
menaiki keretaku untuk ke bangunan yang dimaksudkan.
Si amoi tersenyum sambil berjalan ke tempat duduk belakang
keretaku. Isteriku pula sama seperti sebelumnya iaitu lebih banyak membisu
daripada berkata-kata. Yang pasti, dia hanya mengikut sahaja segala keputusan dan
kehendakku tanpa sebarang bantahan.
Reaksinya itu memang bersesuaian sekali dengan sifatnya sebagai
seorang isteri yang taat dan isteri yang penyayang.
Dipendekkan cerita, kami bertigapun bergerak menuju ke sebuah
bangunan kedai tiga tingkat di mana seorang bos sedang menunggu untuk
memberikan 'hadiah Hari Kemerdekaan' kepada si penerima yang bertuah.
Oleh: Md Said Bidin
3 ulasan:
Penulis cerita ini adalah rakan sekolahku dari Darjah 1 (Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, Seremban) hinggalah ke Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Dato' Mohd Said, Nilai.
Kami mempunyai banyak persamaan; saiz badan, minat dan kebolehan. Kelemahan kami juga sama; takut perempuan.
Sewaktu Said ke Maktab Perguran Sultan Idris Tanjong Malim, aku ke Maktab Perguruan Mohd Khalid Johor Bahru (1972-1973). Aku bersara sebagai pensyarah di IPG Kampus Raja Melewar, Said pula bersara sebagai pensyarah di IPG Ilmu Khas.
Seorang lagi ahli trio kami sejak sekolah rendah ialah Johari Kassim, yang kami sama-sama `gunakan' untuk pergi dan balik dari lapangan terbang. Jo pemilik teksi lapangan terbang. Alangkah indahnya kehidupan!
Bahagin kedua kisah Hadiah Hari kemerdekaan dalam proses penulisan. Mungkin makan masa sikit. Hujung minggu ini aku ada kursus perdana haji di Putrajaya.
Alhamdulillah. Kau telah menerima seru-Nya.
Catat Ulasan