Dulu hidup kami mudah dan
langgas!
Tiada TV, tiada internet. Yang ada hanya wayang pacak yang sesekali akan muncul di padang kampung memainkan filem-filem P. Ramlee, filem lakonan Rajesh Khana, Hema Malini atau filem-filem Indonesia lakonan Rano Karno. Jabatan Penerangan akan menayangkan dahulu filem dokumentari pendek menceritakan manifesto kerajaan.
Tiada TV, tiada internet. Yang ada hanya wayang pacak yang sesekali akan muncul di padang kampung memainkan filem-filem P. Ramlee, filem lakonan Rajesh Khana, Hema Malini atau filem-filem Indonesia lakonan Rano Karno. Jabatan Penerangan akan menayangkan dahulu filem dokumentari pendek menceritakan manifesto kerajaan.
Selepas itu barulah tayangan dimulakan. Sambil duduk di atas
tikar yang dibawa dari rumah, kami mengunyah kacang kuda yang dibeli dari Wan
Meriam, yang siangnya berniaga di kantin sekolah.
Ke sekolah, selalunya ayah akan memberikan saya wang 5 sen untuk
dibelanjakan. Itu pun sudah kenyang; 5 sen untuk sepinggan nasi lemak. Air?
Togok saja di paip.
Paling seronok, sepanjang bulan puasa adalah cuti sekolah.
Terasa nikmatnya bangun bersahur dan menantikan waktu berbuka. Dengan wang 5
sen, saya selalu menemani kakak membeli ais ketul yang dibaluti dengan hampas
papan. Ais itu kakak letakkan di tempat duduk basikal ayah. Kami berjalan kaki
balik ke rumah, sementara kakak menuntun basikal yang berpalang di tengah.
Melihat air dingin yang menitik dari ketul ais itu pun sudah cukup tercabar.
Saya selalu mahu berpuasa walaupun tidak berdaya. Sebabnya saya
tidak mahu duduk di belakang dan melihat orang lain menjamu selera. Sudah
menjadi tradisi orang dulu-dulu, sesiapa yang tidak berpuasa tidak boleh makan
bersama-sama orang yang berpuasa. Duduk di belakang dan tunggu sehingga semua
orang selesai berbuka!
Itu sebagai tanda hormat akan orang lain yang sanggup menahan
lapar dan dahaga demi mengikut perintah Allah.
Awal-awal pagi saya dan kakak sudah tiba di sekolah. Sepanjang
jalan kami membaca doa yang diajar ayah. Dengan kasut plastik, kami berjalan
kaki ke sekolah. Kasut plastik lebih murah dan senang dicuci. Beg sekolah pula
berbentuk raga dan diperbuat daripada rotan. Kalau sudah rosak tangkainya, ayah
akan mengikatnya semula dan menggantikan dengan bahan terbuang.
Masalahnya beg rotan itu juga menjadi tempat yang strategik bagi
pepijat bersembunyi! Tengah belajar, tiba-tiba rasa sakit menggigit di
belakang...
Balik dari sekolah, bau makanan emak yang ringkas terasa sangat
menyelerakan. Meskipun tidak mampu bermewah-mewah, tapi emak tetap menyediakan
makanan tengah hari untuk anak-anak yang kepenatan. Selepas makan, terus terjun
ke sungai untuk mandi. Dingin air sungai menyegarkan kami yang kepenatan.
Kadangkala sempat lagi bergayut di dahan pokok dan buurrrr... menjunam
ke dalam sungai.
Dengan seluar pendek, kami mula meliar. Sekejap di atas pokok
jambu, sekejap mencari ikan laga di bendang. Keriangan masa kecil, meskipun
hidup serba kekurangan, sangat menyeronokkan.
Kami tidak takut kerana tiada orang jahat yang akan mengganggu.
Pergaulan budak lelaki dan perempuan tidak bermakna apa-apa, kerana kami memang
tidak tahu apa-apa.
Tetapi sekarang, anak-anak hidup dalam penjara yang tidak
kelihatan...
Kemajuan telah meminta bayarannya. Itulah harga yang terpaksa
kita bayar untuk menikmati kemajuan. Di sekeliling kita, penuh dengan mereka
yang mencari kesempatan. Anak-anak perempuan dan lelaki tidak boleh lagi lepas
bebas, jika tidak dirogol, hilang diculik tanpa bekas.
Semua perkara kita boleh lihat di media termasuk internet.
Kesemuanya itu mendorong orang baik menjadi jahat dan orang jahat bertambah
jahat.
Tapi bukan bermakna yang kemajuan itu mutlaknya bersifat
negatif. Namun kita pasti sedar, hakikatnya kita terpaksa mengorbankan
kebebasan anak-anak menikmati zaman kanak-kanak mereka kerana
kebimbangan-kebimbangan tersebut.
Kasihan anak-anak kita. Zaman kanak-kanak mereka hanya berkisar
di depan komputer sehingga menjadikan mereka obes dan tidak sihat.
Tetapi sekali lagi, itulah harga kemajuan yang terpaksa kita
bayar...
Oleh: Ratna Laila Shahidin
3 ulasan:
Ini antara catatan yang mengiring karyanya yang diemel kepada saya pada jam 4.46 petang tadi. "Saya memohon maaf sebab mengambil masa yang sangat lama sebelum menghantar beberapa tulisan saya daripada blog IBM. Untuk makluman Tuan Haji, saya menjalani tiga pembedahan dan rawatan rapi sejak Disember 2011 sehingga kini akibat kanser. Saya akan kembali semula ke IPRM pada 17 September 2013 yang akan datang.
Saya harap Tuan Haji dapat memilih tulisan-tulisan yang bersesesuaian. Terima kasih banyak-banyak atas peluang yang Tuan Haji berikan kepada saya.
Semoga Allah sentiasa bersamamu sahabatku. Amin!
Terima kasih Tuan Haji. Saya adalah pengikut setia tulisan Tuan Haji sebab macam yang Tuan Haji pernah sebut, gaya penulisan kita hampir serupa. Saya bersyukur dengan anugerah kesakitan yang Allah berikan kepada saya. Banyak sekali kebaikan yang saya dapat di sebalik ujian-Nya.
Catat Ulasan