Jumaat, 23 Ogos 2013

Harga Kemajuan

Dulu hidup kami mudah dan langgas!
Tiada TV, tiada internet. Yang ada hanya wayang pacak yang sesekali akan muncul di padang kampung memainkan filem-filem P. Ramlee, filem lakonan Rajesh Khana, Hema Malini atau filem-filem Indonesia lakonan Rano Karno. Jabatan Penerangan akan menayangkan dahulu filem dokumentari pendek menceritakan manifesto kerajaan.
     Selepas itu barulah tayangan dimulakan. Sambil duduk di atas tikar yang dibawa dari rumah, kami mengunyah kacang kuda yang dibeli dari Wan Meriam, yang siangnya berniaga di kantin sekolah.
     Ke sekolah, selalunya ayah akan memberikan saya wang 5 sen untuk dibelanjakan. Itu pun sudah kenyang; 5 sen untuk sepinggan nasi lemak. Air? Togok saja di paip.
     Paling seronok, sepanjang bulan puasa adalah cuti sekolah. Terasa nikmatnya bangun bersahur dan menantikan waktu berbuka. Dengan wang 5 sen, saya selalu menemani kakak membeli ais ketul yang dibaluti dengan hampas papan. Ais itu kakak letakkan di tempat duduk basikal ayah. Kami berjalan kaki balik ke rumah, sementara kakak menuntun basikal yang berpalang di tengah. Melihat air dingin yang menitik dari ketul ais itu pun sudah cukup tercabar.
     Saya selalu mahu berpuasa walaupun tidak berdaya. Sebabnya saya tidak mahu duduk di belakang dan melihat orang lain menjamu selera. Sudah menjadi tradisi orang dulu-dulu, sesiapa yang tidak berpuasa tidak boleh makan bersama-sama orang yang berpuasa. Duduk di belakang dan tunggu sehingga semua orang selesai berbuka!
     Itu sebagai tanda hormat akan orang lain yang sanggup menahan lapar dan dahaga demi mengikut perintah Allah.
     Awal-awal pagi saya dan kakak sudah tiba di sekolah. Sepanjang jalan kami membaca doa yang diajar ayah. Dengan kasut plastik, kami berjalan kaki ke sekolah. Kasut plastik lebih murah dan senang dicuci. Beg sekolah pula berbentuk raga dan diperbuat daripada rotan. Kalau sudah rosak tangkainya, ayah akan mengikatnya semula dan menggantikan dengan bahan terbuang.
     Masalahnya beg rotan itu juga menjadi tempat yang strategik bagi pepijat bersembunyi! Tengah belajar, tiba-tiba rasa sakit menggigit di belakang...
     Balik dari sekolah, bau makanan emak yang ringkas terasa sangat menyelerakan. Meskipun tidak mampu bermewah-mewah, tapi emak tetap menyediakan makanan tengah hari untuk anak-anak yang kepenatan. Selepas makan, terus terjun ke sungai untuk mandi. Dingin air sungai menyegarkan kami yang kepenatan. Kadangkala sempat lagi bergayut di dahan pokok dan buurrrr... menjunam ke dalam sungai.
     Dengan seluar pendek, kami mula meliar. Sekejap di atas pokok jambu, sekejap mencari ikan laga di bendang. Keriangan masa kecil, meskipun hidup serba kekurangan, sangat menyeronokkan.
     Kami tidak takut kerana tiada orang jahat yang akan mengganggu. Pergaulan budak lelaki dan perempuan tidak bermakna apa-apa, kerana kami memang tidak tahu apa-apa.
     Tetapi sekarang, anak-anak hidup dalam penjara yang tidak kelihatan...
     Kemajuan telah meminta bayarannya. Itulah harga yang terpaksa kita bayar untuk menikmati kemajuan. Di sekeliling kita, penuh dengan mereka yang mencari kesempatan. Anak-anak perempuan dan lelaki tidak boleh lagi lepas bebas, jika tidak dirogol, hilang diculik tanpa bekas.
     Semua perkara kita boleh lihat di media termasuk internet. Kesemuanya itu mendorong orang baik menjadi jahat dan orang jahat bertambah jahat.
     Tapi bukan bermakna yang kemajuan itu mutlaknya bersifat negatif. Namun kita pasti sedar, hakikatnya kita terpaksa mengorbankan kebebasan anak-anak menikmati zaman kanak-kanak mereka kerana kebimbangan-kebimbangan tersebut.
     Kasihan anak-anak kita. Zaman kanak-kanak mereka hanya berkisar di depan komputer sehingga menjadikan mereka obes dan tidak sihat.
     Tetapi sekali lagi, itulah harga kemajuan yang terpaksa kita bayar...

Oleh: Ratna Laila Shahidin

3 ulasan:

ceritaapaapasaja berkata...

Ini antara catatan yang mengiring karyanya yang diemel kepada saya pada jam 4.46 petang tadi. "Saya memohon maaf sebab mengambil masa yang sangat lama sebelum menghantar beberapa tulisan saya daripada blog IBM. Untuk makluman Tuan Haji, saya menjalani tiga pembedahan dan rawatan rapi sejak Disember 2011 sehingga kini akibat kanser. Saya akan kembali semula ke IPRM pada 17 September 2013 yang akan datang.
Saya harap Tuan Haji dapat memilih tulisan-tulisan yang bersesesuaian. Terima kasih banyak-banyak atas peluang yang Tuan Haji berikan kepada saya.

ceritaapaapasaja berkata...

Semoga Allah sentiasa bersamamu sahabatku. Amin!

IBU BUNGA MATAHARI berkata...

Terima kasih Tuan Haji. Saya adalah pengikut setia tulisan Tuan Haji sebab macam yang Tuan Haji pernah sebut, gaya penulisan kita hampir serupa. Saya bersyukur dengan anugerah kesakitan yang Allah berikan kepada saya. Banyak sekali kebaikan yang saya dapat di sebalik ujian-Nya.