Pagi itu aku menghantar anak, Khairul Rizal yang
mengalami internal bleeding sejak kecil hingga berusia 20
tahun, menghadiri temujanji pemeriksaan ulangan dengan doktor pakar, Hospital
Universiti Kebangsaan (HUKM) di Bandar Tun Razak.
Ketika
duduk di ruang menanti, terpandang seorang tua bertongkat dan dipimpin oleh
isterinya. Jam di dinding ketika itu menunjukkan pukul 10.00 pagi. Kami
sama-sama menunggu giliran menemui doktor pakar di Klinik 2. Setelah tiga jam
berlalu barulah sampai giliran anakku
dan orang tua itu tetapi bilik yang berlainan.
Kemudian, aku duduk di kerusi ruang legar,
menunggu anak mengambil ubat di Pusat Farmasi. Orang tua tersebut turut
melabuhkan punggung di kerusi yang sama di sebelah kiriku. Wajahnya lembut, air
muka jernih dan lembut diiringi dengan senyuman memandang ke arahku.
“Tan
Sri,” tegurku sambil menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Aku sangka
beliau telah bergelar Tan Sri.
“Saya
bukan Tan Sri, abang saya Tan Sri,” jelasnya lembut membetulkan kesilapanku.
Abang beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Prof Tan Sri Ainuddin
Wahid, mantan Naib Cancelor UTM.
“Isteri
pergi ambil ubat di Pusat Farmasi, saya
tidak larat,” terangnya.
“Dato
sakit apa?” aku tanya. Aku guna gelaran yang sepatutnya.
“Parkinson,” jawabnya lembut. “ Sudah lama dan sekarang
bertambah baik,” jelas beliau.
“Encik
bekas pelajar UKM, pernah saya ajar,”
kata dan sangkaannya.
“Tidak
Dato’, saya lepasan UPM,” jelasku.
“Lama
tunggu Datuk?,” tanyaku bersama rasa simpati kerana tempoh menanti yang
menyiksakan bagi tokoh yang uzur itu.
“Tak
mengapa, orang ramai,” jawabnya merendah diri.
Ketika
itu, isu Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggersis (PPSMI)
sedang hebat diperkatakan oleh tokoh-tokoh pejuang Bahasa Kebangsaan. Aku cuba mencungkil
pandangan beliau tentang isu yang hangat diperkatakan ketika itu.
“Bagaimana
kemampuan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik?,”
tanyaku terus-terang segera.
“Mengapa
tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Prof Dr Shahril Md Zin, pakar Matematik pun
aliran Bahasa Melayu dan ramai lagi,” katanya kesal. Jelas, jawapan itu
membuktikan beliau tidak menyokong PPSMI. Satu jawapan yang dalam maknanya.
Aku
berasa kesal dengan layanan yang diterima oleh Prof Zainalabidin yang uzur
dibiarkan menunggu giliran pemeriksaan kesihatan lebih tiga jam. Dalam
fikiranku, mengapa pentadbiran UKM tidak menghargai jasa Prof Zainalabidin
kepada UKM. Sepatut pentadbiran UKM, khusus HUKM memberi kemudahan atau layanan
istimewa kepada Prof Zainalabidin mendapat rawatan dan pemeriksaan sebagai mengenang dan menghargai jasa beliau
memperjuangkan penubuhan UKM.
Tanpa Prof Zainalabidin bersama lima orang rakannya
yang lain secara sukarela dengan tenaga dan
berkongsi wang ringgit, membincang penubuhan UKM sehingga menjadi
kenyataan.
Aku
jangka ramai generasi UKM hari ini tidak menyedari dan menghargai Prof
Zainalabidin bersama-sama sekumpulan
tenaga akademik di Universiti Malaya merupakan kumpulan kecil yang mula-mula
membicarakan dan membayangkan sebuah universiti yang dapat dilahirkan sebagai
sebuah Universiti Kebangsaan.
Antara
tokoh yang berada bersama-sama Prof Zainalabidin dalam kumpulan ini ialah,
Profesor Tunku Shamsul Bahrin, Profesor Syed Husin Ali, Profesor Abu Bakar
Hamid, Profesor Mohd Ghazali Abdul Rahman dan Mohd Zain Majid (kini Datuk).
Bahkan
satu ketika, Profesor Zainalabidin dan Profesor Tunku Shamsul Bahrin, memberi
bimbingan tambahan kepada kumpulan pelajar Melayu secara sukarela ketika itu
mengalami kesukaran mengikuti pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Tambahan
pula, pada ketika itu tiada buku teks dalam bahasa kebangsaan.
Tokoh-tokoh
akademik ini ternyata sangat berani dalam
melahirkan buah fikiran malahan keyakinan tatkala kebanyakan tokoh
akademik lain masih sangsi akan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di peringkat universiti. Akhirnya satu perjumpaan telah diadakan pada
28 Ogos 1968 dengan dihadiri oleh tokoh-tokoh Melayu dari pelbagai latar
belakang kerjaya dan fahaman politik hadir dengan satu misi dan visi untuk
melihat sebuah Univerisiti Kebangsaan ditubuhkan.
Aku
sungguh kesal dan sakit hati mengenangkan peristiwa itu. Dalam satu pertemuan
dan memberi ceramah,’ Asal Usul Kampung Selemak’ dengan kira-kira 100 pelajar
UKM dalam satu Program Khidmat Masyarakat, Persatuan Mahasiswa Anak Negeri
Sembilan (PEMANIS) UKM di kampungku, Kampung Selemak, Rembau, aku menimbulkan
soalan adakah mereka mengetahui dan mengenali siapa pengasas sukarela penubuhan
UKM.
Malang,
tidak ada seorang pun yang memberi jawapan betul. Aku bercerita dan berpesan
kepada Majlis Perwakilan Pelajar UKM supaya menyuarakan cadangan memberi
keistimewaan rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada enam tokoh tersebut yang
masih hidup, termasuk Prof Dato Zainalabidin.
Sejenak
bersama tokoh berjasa yang lembut, sopan, dan merendah diri itu, aku dapat menyelami hati budinya dan
perjuangan bahasa Melayu dan pendidikan orang Melayu yang diperjuangkanya.
Semangat perjuangannya yang luhur terserlah sejak usia mudanya dan tetap
menyala dan membara hingga berusia emas.
Di mana
generasi muda Melayu hari ini? Adakah perjuangan mereka bermatlamatkan
perjuangan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan negara Malaysia. Aku
kabur kerana kepentingan diri, materialistik, kekuasaan lebih menyerlah
diiringi dengan 1001 persepsi.
Oleh : Mohamad Abd Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan