Pernah
tak terjumpa dengan orang yang suka bercakap? Orang yang bercakap non-stop?
Hujan pun berhenti kalau sudah penat
mencurahkan air ke bumi. Tapi ada orang yang memang dilahirkan untuk bercakap.
Entah di mana silapnya, orang ini tidak ditakdirkan menjadi peguam. Kalau
tidak, pasti sahaja dia asyik menang kalau bertarung di mahkamah.
Kerjaya orang yang suka bercakap ini ada
tiga. Juruhebah radio (atau sekarang dipanggil DJ), peguam atau penjual ubat
(teringat drama Tok Perak; saya pernah mementaskan drama ini). Kalau zaman saya
kecil dahulu, orang yang suka bercakap tanpa henti ini digelar "radio
malaya" atau "laudspika" (loud-speaker).
Saya kenal dengan orang yang suka bercakap.
Kerjayanya pun memang memerlukan dia banyak bercakap meskipun dia bukan DJ,
peguam atau penjual ubat. Ada sahaja idea untuk dia bercakap.
Kadang-kadang saya seperti mahu terlena
mendengar dia bercakap. Sudah macam dengar lagu-lagu balada atau lagu irama
Malaysia. Kadang-kadang macam dengar ceramah politik di padang sekolah
tahun-tahun 70-an dahulu. Kalau sudah penat mengiyakan, saya akan mengangguk-angguk.
Penat sebenarnya mendengar dia bercakap.
Saya pernah bertanya begini,"tak penat
ke asyik bercakap?"
Dia menjawab tidak... dan kemudian kembali
menyambung percakapan. Sepanjang perjalanan dua jam setengah, dia bercakap
sahaja. Macam-macam isu, macam-macam cerita kelakar. Walaupun penat, saya
dengar juga. Apa boleh buat, takkan saya mahu menyumbat telinga saya dengan
kapas.
Kadang-kadang bila dia tidak ada, saya sunyi
pula. Sebab tak dapat dengar lagi dia bercakap. Waktu-waktu seperti itu, saya
rindu pula mendengar kisah-kisah lucunya. Itulah, waktu dia ada dan asyik
bercakap; rasa macam pekak telinga saya. Tapi apabila dia tidak ada, saya buka
laptop dan dengar rakaman video dia bercakap!
Pelik betul!
Saya cakap dengan dia, "nasib baik
abang bukan perempuan. Kalau tak, mesti laki cabut lari sebab bercakap sahaja
24 jam..."
"Agaknya bidan yang sambut abang dulu,
spesis radio malaya kut?"
"Tak pun, abang kenan burung
murai..."
Cakap saya yang macam itu pun, dia boleh
buat modal untuk mengulas atau buka cerita lucu.
Dengan budak jaga tol pun dia boleh jadi
kawan dengan menjual cerita lucu. "Kesian," katanya, "budak tu
mengantuk, kerja dalam kotak kecil macam tu. Hari tu sampai abang kejutkan
sebab dia tertidur"
Sampai sekarang, budak jaga tol itu sudah
kenal dan sentiasa menunggu pak cik kereta xxx sampai ke plaza tol dan
menghilang kantuknya dengan cerita lucu.
Nasib baik anak-anak ikut saya. Tak ada yang
berbakat menjadi "radio malaya" atau "laudspika".
Tapi terus-terang, saya susah hati kalau
tiba-tiba dia diam tidak bercakap. Pasti ada perang dingin yang tercetus,
menyebabkan dia diam sahaja. Tapi saya tahu dalam hatinya membuak-buak
keinginan untuk bercakap. Oleh sebab itu, perang sedingin mana pun akan
berakhir dengan cepat.
Sebab dia radio saya...
Hidup akan sunyi tanpa mendengar lagu-lagu
balada dan irama Malaysia daripada radio saya...
Radio kesayangan saya!
Maka hargailah orang-orang yang ada di sisi
kita, biar pun mereka spesis radio atau pun tidak!
Oleh: Ratna Laila Shahidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan