Setiap
Khamis pagi saya bersama ‘orang rumah’ ke Pasar Tani Tampin untuk beli bekalan
lauk-pauk untuk seminggu. Saya pergi jam
8.00 pagi dan akan balik kira-kira satu jam kemudian. Rutin mingguan ini telah
berjalan lebih enam tahun, mudahnya
selepas bersara.
Tetapi pada Khamis 25 Julai 2013 agak malang. Dalam perjalanan
pulang, saya di tahan oleh polis trafik Rembau di hadapan Sekolah Kebangsaan Chengkau
kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Kira-kira satu kilometer dari lokasi, sebuah kereta telah memberi kerlipan isyarat lampu. Aku cepat-cepat dan
terkial-kial mengenakan tali pinggang keledar. Pada masa yang sama seorang
anggota polis yang menyamar di satu perhentian bas dekat persimpangan ke
Kampung Chengkau Ulu telah memerhati dan
melaporkan melalui walkie-talkie ke sepasukan anggota polis yang membuat sekatan.
“Kami menjalankan operasi, encik!,” kata anggota
polis berpangkat koperal itu.
”Encik tidak memakai tali pinggang
keledar.” Pada masa itu saya telah pun mengenakan tali pinggang keledar. Saya tersentak dan mulut menjadi bisu dan
tidak berkata apa-apa kerana sedar melakukan kesalahan trafik.
“Lesen Encik,” minta koperal itu lagi. Saya terkial-kial cemas mengeluarkan
lesen memandu daripada kotak dalam
kereta lalu menghulurkan lesen memandu kepada anggota polis tersebut.
Saya tidak merayu bukan sahaja kerana
terperanjat tetapi saya lebih rela disaman daripada ‘menghulur’ sogokan kepada
anggota polis tersebut. Saya bukan sahaja kasihan pada diri saya tetapi kepada
anggota dan keluarga anggota polis tersebut kerana perbuatan itu berdosa dan
haram memakan hasil rasuah.
“Encik boleh membayar kompaun di mana-mana
balai polis,” katanya sambil menghulurkan lesen memandu saya bersama surat
saman. Saya terus bisu menerima saman itu. Saya tatap surat saman itu,
dikeluarkan oleh Koperal 119578, Shari Mamat.
Saya terus memandu semula. ‘Orang rumah’ di
sebelah kiri menjeling seolah-olah memperli kesalahan trafik yang saya terima.
“Suruh orang pakai, ingat. Tapi diri
sendiri tak pakai,” katanya.
“Malang. Sudah nak malang,” jawab saya ringkas.
Saya menganggapnya malang kerana tidak
pernah polis trafik membuat operasi pada waktu sebegini dan tidak pernah
menahan kenderaan dari arah Tampin. Kebiasaanya dari arah Seremban.
Ini lah kali kedua saya kena saman/ kompaun
trafik setelah lebih 30 tahun memegang lesen memandu. Ketika itu perasaan
berbaur lucu ada, kecewa ada, kesal pun ada. Lucu kerana mulut terkunci untuk
jual temberang. Kecewa kerana duit bonus akan hangus kerana membayar saman atau
kompaun. Kesal kerana sengaja melanggar peraturan lalu-lintas.
“Habislah bonus RM250.00 dikutip balik oleh
kerajaan,” kata hati saya.
Kali pertama, saya menerima saman trafik
kira-kira 15 tahun lalu berhampiran Taman Tasik Tampin dalam perjalanan dari
Rembau ke Bandar Tampin. Kesalahan trafik iu ialah penggunaan cermin gelap pada
cermin sisi tiga segi kiri-kanan, di bahagian
belakang.
Ketika itu sekatan jalan raya oleh polis
trafik daripada anggota polis hutan yang
diserap dalam polis trafik. Saya fikir anggota polis itu bodoh dan tidak tahu tujuan
larangan penggunaan cermin gelap. Saya berpendapat undang-undang penggunaan cermin gelap hanya menjadi kesalahan jika tidak nampak orang di dalam kereta.
Sebaliknya, asalkan penggunaan cermin gelap menjadi kesalahan.
Betulkah undang-undang itu? Saya
jumpa Ketua Trafik Tampin, Inspektor Rukbi, yang kebetulan kawan (guru sementara) ketika
mengajar di SMK Mengkarak, Pahang. Pegawai polis itu menjelaskan saya salah dan
dikenakan kompaun sebanyak RM30.00.
Sebaliknya, pada kali ini, saya hendak
jumpa siapa pula? Harap-harap, jangan sampai habis duit bonus membayar kompaun
trafik itu. Hahahaahaaaaaaaaaa!
Oleh: Mohamad Abd Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan