Sabtu, 3 Ogos 2013

Sekadar Dokumentasi



APABILA Datuk Farid Alias diumumkan sebagai CEO Maybank yang baharu melalui tv sebentar tadi, sebagai guru saya boleh membuat hipotesis ciri-ciri murid atau pelajar yang berpotensi menjadi orang penting suatu hari nanti sewaktu kita mengajar mereka. Antara ciri-ciri itu ialah proaktif, tenang, sering tersenyum, cepat matang, berani, suka bertanya dan sering menganggap guru sebagai rakannya. Datuk Farid adalah antara murid saya sewaktu di Sekolah Rendah Tunku Besar, Tampin. Antara rakan sekolahnya ketika itu ialah Datuk Mohd Ashraf Abdullah (Media Prima). Di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban saya temui Ramli Karim (Kumpulan Utusan) dan IPG Kampus Raja Melewar, saya temui Nordin Malik (Institut Skilltech).
     Catatan di atas adalah apa yang saya tulis di Facebook sebentar tadi sebagai tanda penghargaan guru kepada bekas muridnya. Catatan ini tidak berhasrat untuk mendakwa bahawa sayalah yang bertanggungjawab menjadikan mereka begini.
     Catatan ini lebih berupa bahan dokumentasi betapa bahagianya seorang guru terhadap kejayaan bekas muridnya. Pada masa yang sama, saya juga sedar, ukuran kejayaan itu bersifat luwes dan subjektif. Walaupun tidak dikenali, kita juga dianggap berjaya sekiranya mampu membentuk diri mengikut acuan Ilahi.

     

Tiada ulasan: