Rabu, 14 Ogos 2013

Tanda Sahabat Sejati


Sewaktu menulis entri sebelum ini, “Cerita Ada Di Sekeliling Kita” isyarat  mesej masuk melalui Facebook, kedengaran.
     Aku segera menjengahnya. Ternyata ia mesej daripada sahabat lama; sama-sama di pejabat Berita Harian sekitar hujung 80-an.
     Bagi sesetengah orang, menerima mesej yang sebegini akan menjengkelkan. Mengapa tidak? Teguran yang diberi tepat kena ke muka.
     Alhamdulillah! Sejak sekian lama aku telah mendisiplinkan diri, “kalau pandai menegur, pandai jugalah menerima teguran. Bukankah kita insan yang tidak pernah sempurna?”
     Bagaimanapun dalam kehidupan harian, amat sukar menemui manusia yang memahami hakikat ini. Kita tahu tapi tak buat seperti apa yang kita tahu.
     Segera terterjah di ingatan, “Lebih baik sedikit kita tahu tapi kita melaksanakan sebahagian besar daripada yang kita tahu daripada banyak kita tahu tapi tak buat apa yang kita tahu,” begitulah lebih kurang pesanan seorang penceramah.
     Apabila menyebut menegur, banyak juga kisah silamku memberi isyarat, “Mengapa kau sengaja nak cari pasal. Dia bos. Segala-galanya dia betul.
     “Tak payahlah kau bongkarkan kesilapan dalam mesyuarat ini. Manusia mana boleh lagi membezakan antara teguran profesional dengan peribadi.”
     Ternyata kenyataan ini benar. Teguran seorang subordinat kepada bosnya sering dianggap serangan peribadi. Teguran pahit seorang rakan kepada rakan yang disayangi; dianggap membenci.
     Terima kasih Zabidi atas teguran ini:
“Assalamualaikum, tuan haji, Apa khabar, saya tengok oi gambar tuan haji hebat dgn baju hitam bergaya dengan motivasinya. Apa pun syabas saya ucapkan kpd tuan. Dlm ruangan kecil ini saya ingin menasihatkan saya dan juga tuan haji supaya foto-foto lama zaman jahiliah itu tidak perlu di uploadkan demi kebaikan tuan haji.
     Saya tengok tuan haji bukan main bergitar rancak semuanya, sewajarnya zaman lampau kita itu menjadi lipatan sejarah untuk mengimbau yang lebih baik.
     Selain itu, foto isteri tuan haji yg x bertudung itu x perlu dipaparkan sekali gus menunjukkan kelemahan kita, begitu juga foto terbaru keluarga yg tidak menutup aurat dipaparkan bagi tontonan ramai.
     JANGANLAH kita melawan apa yg Allah tentukan sebagaimana surah An-Nur ayat 31 kalau x silap yg bererti kita munafik kpd Allah, apa ertinya kita solat berjanji kpd allah solatku, amal ibadatku, hidupku dan matiku semuanya kepada Allah, tetapi tidak ditunaikan.
     Saya faham yg tuan haji lakukan tetapi inilah kehendak agama. Agama tidak menyusahkan tetapi memandu ke arah kebaikan. INGATAN INI BUKAN SJA KEPADA TUAN HAJI TETAPI JUGA SAYA Tk Selamat hari raya maaf zahir bathin.

Tiada ulasan: