Sehabis
belajar di UM pada Mac 1989, saya ditawarkan kerja sebagai wartawan di Amir
Enterprise. Saya bertugas di bahagian majalah, khususnya unit penerbitan
majalah Sarina. Waktu itu wartawan Sarina terdiri daripada wartawan senior
Kak Webah, Adam Salleh, dan beberapa orang lagi.
Tugas saya selain daripada mencari dan
menulis berita; juga menterjemah. Terjemahan artikel daripada bahasa Inggeris
itu lebih banyak tertumpu kepada isu kesihatan wanita.
Suatu hari ketua editor memberikan saya
keratan akhbar The Star mengenai kisah seorang wanita warga emas
berketurunan Tionghua yang tinggal bersendirian di sebuah perkampungan
setinggan di Setapak. Wanita tersebut sudah uzur dan dilaporkan tidak pernah
mandi selama 10 tahun.
Saya ditugaskan mencari dan mendapatkan
berita lanjutan mengenai wanita tersebut.
Masalahnya, saya hanya diberikan sebuah
keratan akhbar.
Saya cuba menelefon The Star. Tetapi
jawapannya mengecewakan. Saya ditugaskan bersama dengan jurukamera, Allahyarham
Izi Yahya (yang kemudiannya menjadi pelakon)untuk ke perkampungan tersebut.
Izi memberitahu saya, "kita kena naik
motosikal. Laluan ke perkampungan itu sempit, van syarikat tidak boleh
masuk..."
Saya diam sahaja. Bersetuju pun tidak, tidak
bersetuju pun tidak. Naik motosikal dengan lelaki? Saya teringat ayah. Sebab? Ayah
agak Islamik. Meskipun ayah tidak banyak cakap, tapi saya masih ingat
teguran-teguran ayah.
"Tidak apalah," kata saya.
"Izi bawa motor perlahan-lahan. Saya ikut belakang.”
Saya pun berjalan, dengan beg sandang yang
berisi nota, pen, alat perakam, juga telefon bimbit yang saiznya hampir
memenuhkan beg. Telefon bimbit itu akhirnya saya pegang di tangan, sebab
fungsinya waktu itu memang untuk dibimbit. Kalau bawa beg tangan yang kecil,
jangan haraplah sebab tidak muat.
Jenamanya Sony Ericson, berwarna
hitam. Berat dan besar. Ada seconet areal seperti walkie-talkie. Kalau
ada yang menelefon, hanya keluar perkataan "calling", tiada
nombornya pun. Bunyinya juga masih tradisional. Tapi ia dianggap barangan
mewah. Wah, kalau naik bas mini, bukan main riak lagi dengan telefon bimbit di
tangan. Apalagi jika ia berbunyi. Semua akan memandang kagum.
Jalan ke perkampungan setinggan Cina itu
memang sempit dan penuh lalang di kiri kanan. Saya kira van boleh masuk memang
muat-muat sahaja. Izi membawa motor perlahan, menunggu saya yang menyeka peluh
sambil laju berjalan.
Tiba-tiba sekumpulan anjing berada di
belakang. Entah dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Tapi salakannya sangat
menakutkan. Agaknya anjing-anjing itu dapat mengesan bau asing yang sebelum ini
tidak ada.
Melihat anjing-anjing ini mendekat,
mencemaskan betul. Saya menggenggam telefon. Rasa-rasanya kalau saya membaling
objek itu kepada anjing-anjing tersebut, mahu koma dalam dua tiga hari. Dengan
saiz dan beratnya itu, pasti akan berbenjol-benjol kepala anjing itu dibuatnya.
Masalahnya, telefon itu berharga seribu
lebih!
Kumpulan itu semakin mendekat, sedikit
meluru dengan salakan yang kian menjadi-jadi. Saya tiada pilihan lain. Saya
terus melompat ke belakang motosikal dan menggesa Izi lekas memecut. Nasib baik
berat badan saya pada masa itu barangkali separuh daripada berat saya sekarang.
Badan saya kurus waktu itu. Kurus pendek.Nasib baik betul...
Kalau tidak, mahu terangkat motosikal kapcai
si Izi!
Terlupa sekejap pesanan-pesanan ayah. Tapi
saya pasti jika ayah tahu pun, tentu ayah tidak marah kerana situasi saat itu
memang sangat bahaya.
Memang kami terjumpa pondok usang tempat
berteduh wanita malang itu. Tapi sebuah pertubuhan telah membawanya ke hospital
untuk mendapatkan rawatan, susulan daripada laporan akhbar The Star.
Tugasan yang gagal. Nasib baik tidak kena
marah dengan ketua editor. Tapi sepanjang hari kami diketawakan. Cerita saya
yang seperti "superwoman" melompat naik ke atas motor itu,
menjadi bahan lelucon para wartawan.
Tahun-tahun itu telefon bimbit baharu sahaja
diperkenalkan. Fungsinya bukan sahaja sebagai alat komunikasi (yang liputannya
terbatas!) bahkan juga sebagai senjata terbaik untuk menjaga keselamatan
pemiliknya!
Oleh: Ratna Laila Shahidin
Oleh: Ratna Laila Shahidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan