Mana satu penulis cerita ini? |
Hari ini memang sangat
melelahkan. Dua subjek Sains dijadualkan pada hari yang sama, Fizik
dan Biologi. Walaupun Biologi hari ini merupakan hari amali, tetapi
ketekunan menyelesaikan ujikaji menyebabkan aku alpa dengan deringan loceng
tandanya berakhir persekolahan hari ini.
“Eh,
kamu tidak mahu balik ke, May?” tegur Lim, gadis Cina bermuka bulat dan berkaca
mata itu dan juga merupakan rakan kumpulan ujikajiku di Makmal
Biologi.
“Haah,
nak, sikit lagi nak habiskan penulisan laporan makmal ni, senang, tidak perlu
di bawa balik jika dah siap,” aku menjawab sambil tanganku masih sibuk
bertingkah menulis bait-bait pelaporan berkaitan tulang manusia.
“Hmmm,
beginilah jadinya kalau sudah terlalu minat, berjela-jela menulis,” gumamku
dalam hati.
“Ok,
Lim, dah siap, cuba you baca dan
tambah atau betulkan mana yang perlu, I rasa ini jawapan I yang terbaik tapi you lagi ‘terer’ Biologi daripada
I”. Terus kuhulurkan Buku Kerja Makmal Biologi kepada
Lim.
“Mana
ada, kita sama-sama belajar, sama-sama pandai ma…,” senyum Lim sambil mengambil
buku kerja yang kuhulurkan.
Bersekolah
di sini memberikan satu pengalaman sosial yang baru buatku memandangkan sekolah
lamaku di kampung hampir sukar untuk melihat bangsa lain selain Melayu menjadi
pelajar di sekolah.
Namun
begitu, terdapat juga pelajar anak Orang Asli dari kampung bersebelahan kampung
nenekku turut bersekolah menengah disitu, itu pun boleh dikira dengan
jari. Lantas aku teringat rakan sekelas lama sepanjang di tingkatan
satu hingga tingkatan tiga di kampung, Suhada Binti Nangka, gadis sunti anak
Orang Asli yang tidak pula pernah kuketahui nama keturunannya, Jakunkah?
Semaikah? Sakaikah? Yang aku tahu, sudah sepakat, orang-orang
kampung pun memanggil kumpulan kecil yang mendiami pinggir kampung nenekku itu,
yang rumah penduduknya (atau mungkin hanya layak dipanggil pondok kecil
sementelah keluasannya seperti wakaf menunggu durian di dusun nenekku) tak
lebih dari 15 buah rumah itu, ‘orang Asli’.
“May,
I rasa cukuplah jawapan kita ni, mesti Cikgu Zakiah puas hati dengan kerja
amali kita hari ini,” suara Lim yang lembut mematikan lamunanku tentang Si
Suhada, gadis orang Asli, bekas rakan sekelasku yang pandai melukis itu.
Cikgu
Zakiah tersenyum lebar ketika menerima Buku Kerja Amali Biologi yang kami
berdua hulurkan, “ Bagus, macam inilah cikgu puji, siapkan kerja tanpa
berlengah, bukan macam seorang dua itu, sibuk nak balik ke rumah, walhal rumah
sebelah sekolah sahaja,” komen Cikgu Zakiah sambil tangannya juga sibuk
menyusun buku-buku nota dan rujukan kepunyaannya.
Rupa-rupanya
tinggal kami berdua pelajar yang masih ada di makmal, dan setianya Cikgu Zakiah
menunggu kami menyiapkan kerja tadi. “Terima kasih cikgu, jumpa lagi esok,” riang
sahaja aku dan Lim membalas dan terus menggalas beg masing-masing menuju ke
pintu keluar makmal.
Teriknya
cuaca tengah hari itu kutempuh berhati-hati. “Nasib baik pakai
helmet, kalau tidak mau cair otak aku ni,” desis hatiku sambil tangan memulas
minyak motosikal tua Honda C70 kepunyaan Mak.
Oleh
kerana umurnya yang telah lama, berbelas tahun kukira, kelajuan yang boleh
dicapai oleh motosikal ini hanyalah 50 batu sejam, apatah lagi terpaksa
melepasi lorong-lorong taman perumahan dan melewati tepi kandang-kandang kecil
khinzir (pekan ini asalnya kampung baru khas untuk orang-orang Cina semasa
zaman bermaharajalelanya komunis dahulu di tempatku) sebelum berjumpa jalan
utama, terpaksalah aku mengenderainya tidak lebih dari 30 batu sejam
sahaja.
Begitulah
rutinku hari-hari pergi dan pulang ke sekolah apabila menaiki motorsikal ini,
kalau ku tempuh terus jalan besar, alamat tak sabar-sabar abang polis akan
menahan.
Tengok
rupa dan gaya pun tahu, aku ni belum ada lesen memandu. Inipun,
bukan senang aku nak memujuk emak untuk membenarkan aku ke sekolah menaiki motosikal. Teringat
kata-kata emak dua minggu lepas, “Ti kan belum ada lesen, motor emak tu pun
bukannya ada cukai jalan, abah tak mahu bayar, motor dah tua katanya, nanti
kalau ditahan polis macam mana?”.
“Alah
mak ni, kalau kena tahan polis senyum jelah, Ti kan lawa,” jawabku mengusik
emak.
“Lagipun
mak, dah sebulan Ti ulang-alik naik bas, kena naik basikal lagi dekat sebatu
lebih jauhnya baru sampai di pondok bas, letih lah mak.”
“Bas
tu pulak bukannya datang ikut jadual, selalu lambat, sampai pengawas pun dah
jelak nak tulis nama Ti dalam buku kehadiran sebab selalu lewat, walhal Ti
sampai kat pondok bas tu pukul 6.30 pagi setiap hari.”
“Kalau
naik motosikal, senang mak, sampai awal ke sekolah berbanding kalau Ti nak
mengayuh basikal, dekat lima batu jaraknya nak ke sekolah kat pekan tu.”
Panjang
lebar jawapanku pada mak dengan tujuan nak menjustifikasikan alasanku untuk
menunggang motosikal sendiri ke sekolah. Mak akur sahaja dengan
jawapan anak daranya yang seorang ini, yang memang terkenal banyak cakap dan
hujahnya.
Aku
mencium tangan mak sewaktu mak mengatakan persetujuannya, kerna aku tahu mak
terpaksa mengayuh basikal pula untuk ke kebun jika abah menggunakan motosikalnya. Di
rumah ini, ada dua buah sahaja motosikal untuk kegunaan isi rumah, satu mak dan
satu lagi abah, sebab itu aku tahu mak berat juga nak memberi kebenaran kerana
nak bertolak-ansur dengan abah memang jarang dapat menang.
Tamat
tingkatan tiga di sekolah kampung tahun lepas, aku terus membuat keputusan
untuk meneruskan persekolahanku di pekan Batu Lima kerana sekolah di kampungku
tidak menawarkan aliran Sains.
Keputusan
SRPku yang jauh bezanya dengan keputusan percubaan, sedikit sebanyak
mengecewakan abah. Keputusan 11 agregat tidak melayakkan aku untuk
ke mana-mana sekolah Sains berasrama penuh atau ke Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) yang menjadi impianku sejak dahulu. Walhal, semasa percubaan
aku meraih 7 agregat sehingga diangkat pelajar terbaik tingkatan tiga disekolah
tahun itu.
Oleh: Merhayati Sipon
1 ulasan:
Mer seorang pencerita (The Storyteller) yang baik. Bahasanya boleh mengikat pembaca untuk terus membaca hingga noktah akhir. Koleksi kosa katanya besar. Ini menyebabkan deskripsi latar dan watak jelas, seolah-olah kita adalah wataknya.
Buat permulaan, tentunya Mer belum boleh mengawal jalan cerita (storyline) yang sesuai untuk blog ini, pendek iaitu yang boleh dibaca sambil lalu secara santai.
Untuk makluman bakal penyumbang cerita yang lain, cukuo sekadar dua halaman atau selebih-lebihnya tiga halaman.
Untuk blog ini cukup dengan satu jalur cerita (plot). Teruskan menulis Mer. `Untuk belajar menulis ialah dengan menulis.' Syabas!
Catat Ulasan