Rabu, 25 September 2013

Abah Menang Kali Ini! (3)

Seperti biasa, rumahku sunyi sepi saat aku tiba di rumah awal petang itu.  Kakakku tinggal di asrama dan sebulan sekali baru pulang kebkampung. Adik pula sudah ke sekolah agama yang memang dijadualkan sebelah petang.  Kami hanya tiga beradik dan kesemuanya perempuan.  Satu-satunya lelaki dalam rumah ini adalah abah.  
    Tangga kayu anak tujuh itu kudaki perlahan-lahan.  Rumah yang seusia denganku ini sebenarnya peninggalan arwah datukku, dan sebagai anak tunggal, abah mewarisi segala-galanya dari arwah atuk termasuklah rumah pusaka ini.  
    Bahagian hadapan dan tengah rumah telah ditambah binaannya oleh ayah selepas aku lahir, hanya tinggal bahagian dapur yang masih kekal warisan rumah pusaka arwah atuk.  Agaknya, niat abah membesarkan rumah adalah memikirkan bilangan ahli keluarga yang mungkin semakin bertambah.  Namun nampaknya Allah hanya mengurniakan kami tiga beradik.  
    Selepas kelahiran adikku sembilan tahun yang lepas, tidak nampak pula  tanda yang aku akan mendapat adik lagi.  Sudah rezeki abah agaknya.  Aku tahu, abah sangat menginginkan anak lelaki, namun apakan daya, Allah jua yang menentu dan mengatur segalanya.  
    Kutolak pintu hadapan yang memang tidak pernah berkunci, hanya diselak dari dalam bila berpergian jauh.  Jika tidak, ke mana, cukup sekadar dirapatkan.  Tidak pernah pulak terfikir akan kecurian.  Mungkin orang-orang di kampungku baik-baik belaka.  
    Sebaik melangkah, kakiku tersadung sesuatu.  “Eh, kenapa ada beg besar di ruang tamu ni?,”gumamku di dalam hati.  Aku melihat sekeliling dan melihat ada selimut, bantal dan beberapa barang yang kelihatan seperti pakaian di dalam satu kotak di ruang tamu.  
    “Assallammualaikum, mak oh mak,”nyaring sahaja suaraku memanggil mak.  Terpisat-pisat mak datang dari ruang tengah rumahku sambil membawa sebakul pakaian kering.  
    “Wa’alaikumsalam, hah dah balik, lambat, kenapa?,” terus mak menyoal bertubi-tubi.  “Haah, lambat sikit keluar dari makmal sekolah tadi mak, cuaca pun terik, tak berani nak bawa motor buruk mak tu laju-laju, takut termati di tengah jalan,” jawabku perlahan sambil meletakkan beg sekolah yang kusandang ditepi pintu bilikku.
    “Ish, ada sahaja jawapannya, seburuk-buruk motor mak tu, banyak jasanya tahu, sudah pergi salin baju dan makan,” omel mak sambil tangan lincah melipat kain yang dipegangnya.  
    “Emm, mak, kenapa ada banyak barang ni mak? Siapa punya? Kak Jannah ke?,” soalku pada mak.  
    “Oh, abah la tu, masa mak balik dari ambil adik di sekolah tengah hari, abah tengah menyusunnya dalam kotak, katanya untuk Ti,” jawab mak tanpa sedikitpun menoleh ke arahku.  
    Tangan mak terus lincah melipat kain, baju dan seluar yang baru sahaja diangkat dari jemuran ketika aku sampai ke rumah tadi.  “Untuk Ti? Nak buat apa pulak? Macam nak lari dari rumah je,” jawabku tersengeh-sengeh seperti kerang busuk sambil duduk bersimpuh di depan mak.  
    Jauh di lubuk hati, aku rasa pelik dan macam ada sesuatu yang kurang enak menerawang difikiranku.  Tiba-tiba mak bangun lantas mengambil sesuatu di atas meja makan di ruang tengah.  
    Mak menghulur sampul surat berwarna putih dengan tulisan “Urusan Seri Paduka Baginda” di sudut kiri atasnya kepadaku. “Nah, cuba baca isi surat ni”, pinta mak kepadaku.  Aku segera menyambut surat tersebut dari mak dan membaca nama yang tertera di hadapan surat, “Mer…”, “Eh surat aku lah?,” bisik hatiku sambil terasa benar jantungku berdegup kuat.  
    Aku terus membaca perlahan isi kandungan surat itu.  Aku tidakpun melihat reaksi emak ketika aku habis membacakan isi surat tersebut kepada emak dan tidak pula aku kisah hendak melihat keterujaaan emak menceritakan tentang abah yang gembira bukan main bila membaca surat yang tiba pagi tadi.  
    Emak terus bercerita tentang abah yang tidak sabar-sabar terus ke pekan membeli barang-barang persiapan untukku.  Aku merasa seakan terawang-awang, degup jantungku semakin laju, seolah-olah sama seperti perasaan si Alice dalam cerita ‘Alice in Wonderland’ ketika terjatuh ke dalam lubang arnab yang gelap sambil memikir ke mana dia akan jatuh akhirnya.  Itulah yang aku rasa ketika itu.
    Usai solat isyak malam itu, aku mendekati abah perlahan-lahan, sambil dikepala aku menyusun berangkai ayat untuk kuluahkan kepada abah. Kulihat abah sedang membaca perlahan kitab Al-Quran tafsiran Jawa peninggalan arwah atuk.  
    Santai sekali bahasa Jawa yang abah lagukan ketika membaca tafsir.  “Mood abah baik ni nampaknya,” fikirku. “Abah, betul ke abah nak Ti pergi ke sekolah Teknik?,” perlahan aku melontarkan pertanyaan ini pada abah.  Abah memberhentikan bacaannya seraya memandang tepat ke mataku.
    “Eh mestilah, bukan senang nak dapat masuk kan? Lagipun itu salah sebuah sekolah asrama juga, bagus tu,” tegas sahaja suara abah menjawab. “Rasanya Ti tak pernah isi borang permohonan untuk masuk ke sekolah Teknik, pelik pula bila tiba-tiba dapat surat tawaran,” aku meneruskan pertanyaan pada abah.  
    “Hah, itulah, apa Ti ingat bila abah tak sekolah tinggi, abah tak tahu semua ni, siapa lagi, abahlah yang tolong isikan untuk Ti, Kak Edah yang kerja di Majlis Perbandaran tu yang tolong tengokkan borang, lagipun Ti kan memang nak masuk sekolah asrama kan?,” dalam renungan abah padaku.  Terungkai segala persoalan yang berlegar di mindaku sejak petang tadi.  “Pandai-pandai je abah ni, Kak Edah pun satu, tolong buat apa?,” jeritku dalam hati sambil menggetap bibir. 
    Lantas ingatanku kembali menyorot ketika aku baru sahaja menamatkan sekolah rendah agamaku (SRA) dahulu.  Abah cukup bersemangat nak menghantar aku ke sekolah berasrama aliran agama di Banting atau Klang, katanya ingin melihat salah seorang anaknya jadi ustazah atau jadi tahfiz.  
    Besarnya cita-cita abah tapi bila aku beritahu abah yang keputusan sekolah agamaku sederhana sahaja sedangkan untuk memasuki mana-mana sekolah aliran agama berasrama penuh perlu mendapat keputusan yang cemerlang 80 peratus ke atas keseluruhannya, abah terkedu.  
    Abah hampir tidak percaya namun dia akur bila aku maklumkan yang mana-mana pelajar yang berkeputusan cemerlang telahpun menerima surat tawaran dari sekolah-sekolah yang berkaitan sedangkan aku tidak menerimapun sebarang surat. Abah menerima sahaja pilihanku untuk meneruskan persekolahan tingkatan satuku di kampung sahaja.  Sungguh, abah tidak tahu, sebenarnya aku telah menyembunyikan dan membakar surat tawaran ke sekolah berasrama aliran agama yang aku terima dari Ustaz Ali, Guru Besar Sekolah Rendah Agama di kampungku.   
    Nasib baik ustaz beri semasa di sekolah, bolehlah aku sorok dari pengetahuan abah. Masih terngiang-ngiang lagi kata Ustaz Ali kepada ku, “Mer, awak di antara yang mendapat pencapaian bagus dalam peperiksaan Sekolah Rendah Agama yang lepas, keseluruhan markah awak 83 peratus, jadi peluang awak untuk memasuki mana-mana sekolah berasrama aliran agama cerah, biasanya pihak sekolah akan menyenaraikan nama-nama pelajar yang berpotensi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk ditawarkan sekolah yang bersesuaian.”
    “Terima kasih ustaz, tapi rasanya biarlah saya belajar di kampung dahulu. Kakak saya telahpun bersekolah di asrama, kalau saya pun masuk sekolah asrama, jauh pula tu, takut menyusahkan abah pula. Pendapatan abahpun cuma harapkan hasil kebun kelapa sawitnya sahaja, takut banyak perbelanjaannya nanti,” balasku sopan tidak mahu mengecilkan hati ustaz kesayanganku ini.  
    “Tidak mengapa kita cuba dahulu, jika dapat tawaran nanti awak fikirkan semula ya,” pujuk Ustaz Ali lembut.  Ustaz Ali tidak tahu yang ketika itu aku telahpun bulatkan tekad untuk menolak mana-mana tawaran yang aku terima nanti, sudahlah aku tak minat aliran agama, kalau abah tahu mesti aku kena paksa pergi juga.  
    Faham sangat aku dengan kuasa ‘veto’ abah.  Sudahlah dicanangnya di seluruh kampung kata anaknya nak jadi ustazah.  Ustazah benarlah aku ni, kehulu ke hilir masih lagi memakai skirt dan gaun, sambil rambut bertocang dua, kadang-kadang ikat ekor kuda.  
    Salah aku juga belajar rajin sangat sampai tiap tahun mesti dapat nombor di antara lima yang teratas.  Semasa aku melihat api yang perlahan-lahan membakar surat tawaran ke sekolah asrama aliran agama itu, aku tahu abah kalah dan akulah pemenangnya. 
    Kurenung kembali wajah abah dalam-dalam. “Tapi abah, Ti tak minatlah nak belajar di sekolah Teknik, bidang kejuruteraan awam pulak tu, tak pernah belajar masa di sekolahpun, lagipun Ti minat bidang Sains, sekolah sekarang pun dah ok je,” jawabku penuh panjang lebar mengharapkan abah faham permintaanku.  
    “Abah, kalau tak pergi tak apa kan?”, pintaku manja sambil mengharapkan abah faham cita-cita dan impianku dalam bidang Sains.  “Apa!”, jegil abah membuntangkan matanya ke arahku.  “Abah dah bersusah payah isi borang, tolong hantarkan borang, ini jawapan kau!”, jerkah ayah menusuk ke gegendang telingaku.  
    Emak segera datang ke sisiku bila terdengar suara abah yang kuat.  Adik macam biasa mengerekot di tepi emak, dia memang cukup takut dengan abah, apatah lagi bila abah marah-marah macam singa lapar.
    “Semua barang abah dah belikan, beg, baju sekolah baru, kasut baru, apa nak lagi hah? Abah nak Ti pergi juga ke sekolah Teknik tu, nanti keluar boleh jadi arkitek, cerah masa depan kalau berjaya jadi arkitek,” pujuk abah dalam nada suara yang bergetar menahan marah.
    “Ti tak minatlah abah, janganlah paksa, kak Jannah tu abah tak pernah paksapun, dia nak sekolah mana abah tak kisahpun? Belajar Sains pun bagus juga, boleh jadi saintis, doktor, ahli farmasi, dahlah lukisan Ti teruk, kalau nak jadi arkitek mesti pandai melukis, tak sesuailah dengan jiwa Ti abah,” panjang lebar aku menjawab kembali dengan nada yang agak tinggi juga, menambah lagi ketegangan ketika itu.  
    “Ah, sudahlah! aku kerja susah payah siang malam, nak minta balas sikit pun tak boleh, kalau tak mahu, buang sahaja semua barang-barang ni!”, jerit ayah membuatkan aku, mak dan adik terkejut dan berundur setapak ke belakang.  
    Abah terus meluru keluar sambil menghempas pintu.  Terkedu aku, air mata berjujuran membasahi pipiku, selaju air terjun Niagara rasanya, dan dinginnya menusuk sampai ke jantung, dalam lukanya.  
    Emak terpempan seketika sambil membetulkan semula beg yang ditendang abah ke sudut semasa hendak membuka pintu.  Barang-barang dalam kotak yang abah beli siang tadi bertaburan di ruang tamu.  
    Sambil mengutip barang-barang dan meletakkan semula ke dalam kotak, lembut emak memujukku, “Pergilah Ti, janganlah dilawan cakap abah tu, gembirakanlah hati abah tu, lagipun Ti kan lebih manja dengan abah, sebab tu abah nak yang terbaik buat Ti, mak yakin Ti boleh belajar dengan baik nanti, Insya-Allah minat tu akan datang nanti, kalau kita gembirakan hati ibu bapa kita pasti Allah akan bantu permudahkan urusan kita,”
    Ya Allah, ujian apakah ini? Apakah ini balasan aku atas perbuatanku membakar surat tawaran ke sekolah agama dahulu?  Hatiku tiba-tiba merasa bersalah yang amat sangat, keinsafan menerpa di mindaku kerana meninggi suara kepada abah tadi.  Terbayang wajah Lim, Pei Pei, Rajish, Jef, Munim, Cikgu Zakiah, guru Biologi kesayanganku, berputar ligat di depan mataku.  
    Aku merenung jauh, semakin sayup suara emak kudengar, kabur pandangan mataku dengan air mata yang tidak henti merembes keluar.  Hatiku merintih, menggembirakan hati abah bermaksud merenggut kegembiraanku sendiri, mampukah aku mengharunginya nanti, bila hari-hariku terasa suramnya berpanjangan, saat itu jua aku sama seperti Alice, yang hanya pasrah menerima apa jua yang mendatang.  Ya, malam itu, ternoktah kemas di lipatan sejarah hidupku, abah menang kali ini.
Oleh: Merhayati Sipon


Tiada ulasan: